Perlawanan kedua Liga Super 2018 melibatkan pasukan Selangor dan Melaka berakhir 4-1 memihak tuan rumah. Selangor ternyata pasukan lebih baik dalam perlawanan ini.
Permulaan
Selangor kekalkan formasi biasa mereka 3-4-2-1 yang bertahan dengan 5-4-1. Mereka menggunakan no.6 kembar (double 6) Evan Dimas dan Calero yang menjadi pivot mereka.
Melaka turun dengan formasi yang memerlukan pasukan mereka dinamik di tengah iaitu formasi 4-1-4-1.
Isu pertahanan Melaka
Dalam perlawanan ini Melaka ada 3 kesilapan bertahan. 2 kesilapan pertahanan dan 1 kesilapan penjaga gol. 2 daripada 3 kesilapan ‘jerut diri’ itu telah memberikan Selangor gol. 1 adalah penalti yang diselamatkan oleh Zamir Selamat.
Ianya kesilapan yang terlalu banyak dalam 1 perlawanan. Gol pertama adalah kesilapan Steven Tichot yang salah agakan (misjudge) dan memberikan bola kepada Rufino untuk menjaringkan gol daripada sudut agak sukar.
Kesilapan pertahanan kedua adalah memberikan penalti kepada lawan. Dan ia diselamatkan. Kesilapan ketiga adalah daripada Zamir Selamat yang menghadiahkan gol kepaa Syahmi Safari.
Untuk gol ke-4 mereka dipecah masuk segera ketika mereka cuba mencari gol sagu hati. Satu lagi aksi menari Syahmi Safari menewaskan Zamir Selamat di ‘near post.’
Isu serangan Melaka
Dalam perlawanan ini Melaka tidak ada keberanian bermain di tengah terutama zon padat di zon 14. Mereka akan cepat pergi ke bahagian sayap yang ada Surendran dan Fakhri Saarani.
Taktik mereka adalah mahu mengumpan bola menerusi bola lintang. Namun secara realstiknya, agak sukar untuk mereka berbuat demikian kerana Pachecho sangat kuat dalam duel udara. Mereka tidak ada kelebihan untuk bola tinggi. Hanya mengharapkan pertahanan Selangor melakukan kesilapan.
Selangor pula hanya perlu kekal berdisiplin dalam 5-4-1 mendesak pemain Melaka ke sisi. Dalam prinsip bertahan dalam bola sepak, anda harus kompak.
Kenapa kompak? Ini untuk menolak lawan anda ke sisi. Kenapa tolak ke sisi? Ini untuk mengurangkan ancaman langsung daripada half-space dan zon 14. Itu yang mewujukan jaringan (network) berbentuk U yang melampau
Apabila U-Shape ini terlalu dominan dan tidak ada kemampuan bermain di tengah dengan lebih kerap ia petanda sesebuah pasukan itu tidak penetratif.
Anda boleh luangkan masa membaca artikel berbahasa Inggeris analisis Liverpool Dreaded U-Shape di pautan sini.
Ini antara gambar diambil daripada artikel tersebut. Penganalisis menggariskan masalah U-Shape yang kritikal ini membuatkan pasukan hilang cengkaman di tengah dan zon 14.
Ini adalah tujuan 5-4-1, mereka mahu menolak aliran bola pasukan lawan supaya menjadi U-Shape ke sisi dan tidak penetratif.
Tetapi itu yang berlaku kepada Melaka. Mereka seakan-akan menganggap satu ‘kejayaan’ untuk sentiasa memiliki bola di bahagian sayap dan berterusan melakukan hantaran lintang.
Bukannya satu kesalahan melakukan hantaran lintang dari sisi namun, mereka sudah melakukannya terlalu banyak dan terus berharap ada keputusan lebih baik. Ini penjelasan dari kami.
Melaka tiada kreativiti di tengah dan seorang yang boleh mengawal tempo perlawanan mereka seperti yang dilakukan Evan Dimas dan Calero di pasukan sebelah.
Serangan balas Selangor
Setiap kali Selangor melakukan serangan balas, Melaka dalam bahaya. Ancaman mereka datang daripada pemain bek sayap dan juga pemain penyerang sayap.
Selangor sentiasa ada orientasi lebih kuat untuk memecahkan zon 14 pasukan Melaka. Walaupun awalnya terlalu banyak hilang bola di kawasan tersebut.
Evan Dimas mengawal tempo pasukan Selangor dalam perlawanan ini. Mereka memiliki pemain yang rajin turun naik. Kanna dan Kugan sangat baik aksi mereka di bek sayap yang menjadi asas penting dalam menolak Syahmi dan Amri Yahyah ke dalam.
Ini adalah corak pergerakan asas mereka daripada 5-4-1 kepada 3-4-2-1. Evan Dimas lebih ofensif daripada Calero dalam proses ini.
Pertahanan Selangor
Selangor asasnya tidak agresif menekan di garisan tinggi, namun mereka sangat berdisiplin ketika bertahan terutamanya ketika bertahan di kawasan sendiri.
Meeka sabar untuk kekal dalam formasi dan cuba memenangi bola dengan usaha berpasukan. 2 pemain sayap mereka, Amri dan Syahmi Safari rajin untuk membantu pertahanan. Amri mungkin tidak sedinamik Syahmi dalam turun ke belakang kerana faktor usia.
Syahmi pula membuktikan perubahan posisi beliau daripada bek sayap sehinggalah ke peyerang sayap banyak membantu pemain ini dalam keserbabolehan di dalam padang. Musim lalu beliau pernah bermain sebagai no.10 dalam pasukan Selangor.
Pemain-pemain Selangor sudah dibekalkan dengan arahan taktikal yang jelas. Bertahan dalam 5-4-1, sekat aliran bola di garisan tengah dan cuba melakukan serangan balas segera.
Penilaian
Selangor selayaknya menang perlawanan ini kerana lebih berdisiplin dan mengambil kesempatan yang ada. Melaka masih perlu memperbaiki aspek kreativiti dan permainan berpasukan supaya tidak terlalu mudah dijangka lawan.
Melaka memiliki unit pemain yang bersemangat dan bertenaga tetapi tiada idea untuk memecahkan kawasan padat.
Pemain terbaik pilihan SemuanyaBOLA
Syahmi Safari (Selangor)