Man Utd bermula dengan baik meskipun pertahanan mereka nampak goyah apabila Sergio Aguero memegang bola. Man City mempunyai 3 rayuan penalti – salah satunya Aguero yang menggelecek di hadapan barisan pertahanan Man Utd di dalam kotak penalti dan dikasari Rojo – tetapi pengadil Michael Oliver nampak tidak berminat untuk melayan sebarang permintaan penalti dalam perlawananan itu.
Agak mengejutkan apabila Man Utd bermain lebih baik selepas Smalling dibuang padang. Pujian harus diberikan kepada David de Gea, Antonio Valencia, Luke Shaw dan Michael Carrick yang mengekang serangan demi serangan Man City dengan baik.
Dari segi taktikal, ia adalah pertemuan 4-4-2 menentang 4-2-3-1.
James Milner adalah nama wajib untk Man City dalam setiap perlawanan besar. Diletakkan di sayap kiri, Manuel Pellegrini nyata mahu James Milner mengekang larian bahaya dari Valencia. Ketika Man City hilang bola, Man City kelihatan bermain dalam formasi 4-2-3-1. Jovetic selalu turun ke zon midfield (membentuk situasi 3v3 di zon tengah) dan Aguero selalu berkeliaran di bahagian yang dikosongkan oleh Shaw dan Valencia.
Apabila Man City memegang bola, mereka segera membentuk formasi 4-4-2. Larian Milner ke dalam disokong oleh larian overlapping Gael Clichy. Di sebelah kanan, mereka lebih tradisional. Jesus Navas terus menyerang Luke Shaw sambil dibantu Pablo Zabaleta.
Man Utd pula bertahan dalam posisi 4-2-3-1 dan menyerang dalam posisi 4-2-4.
Fellaini ditugaskan untuk hadir ke dalam kotak penalti Man City dengan lebih kerap setiap kali mereka memegang bola. Untuk memberi keseimbangan, di Maria bermain lebih pasif dan hanya menyalurkan deep cross dan through ball. Boleh dikatakan sejak Fellaini bermain, kebebasan di Maria untuk menyerang terbatas.
Selepas Smalling dibuang padang, Man Utd bermain dalam formasi 4-4-1. Fellaini bermain lebih defensif dan di Maria bebas menyerang semula. Tidak lama kemudian, Sergio Aguero menjaringkan gol hasil cross dari larian Gael Clichy yang gagal dibaca oleh di Maria.
Selepas ketinggalan 1-0, peliknya Man Utd bermain dengan lebih baik. Apabila di Maria diberi kebebasan untuk berlari ke final 3rd Man City, mereka nampak lebih bahaya. Rooney juga memukau dengan satu larian solo menarik sebelum dihentikan oleh Joe Hart.
Man City terpaksa bertahan dalam 15 minit terakhir untuk mempertahankan 3 mata dan hak untuk erlagak terhadap jiran mereka. Secara keseluruhannya, Man Utd ada sebab untuk berasa positif selepas perlawanan ini. Reaksi penyokong Man City dalam 15 minit terakhir ini menceritakan segalanya.