Zon padat merujuk kepada zon 14 yang berada di luar kotak penalti. Masalah utama Malaysia dalam perlawanan menentang Vietnam adalah kegagalan untuk memecahkan zon tersebut.
Dalam perlawanan menentang Vietnam di Hanoi, Malaysia tewas 2-0 di tangan Vietnam.
Taktikal Vietnam
Secara asasnya Vietnam bermain dengan sistem 3-4-3 dan bertahan dengan 5-4-1. Selepas mendapat gol pertama Vietnam lebih fokus kepada aspek bertahan berbanding dengan terlalu terdesak mahukan gol kedua.
Tahun lalu, kami ada menjelaskan corak pengurusan taktikal Park Hang Seo bersama skuad B-23 Vietnam – di mana beliau menekankan aspek menutup ruang ketika bertahan dengan disiplin pertahanan yang tinggi. Beliau adalah orang yang sama menjadi pengendali skuad senior Vietnam.
Vietnam dalam perlawanan ini bertahan secara zonal. Cuba menyukarkan pemain Malaysia untuk bergerak di kawasan pertahanan mereka. Mereka akan mengenakan tekanan dengan pemain pertama (first man pressure) di zon bertahan mereka untuk menekan pembawa bola dan cuba mengelakkan diri daripada melakukan kekasaran.
Ini adalah gambar daripada analisis skuad B-23 mereka musim lalu ketika menentang Australia dengan sistem rantaian berlima. Seorang pemain akan keluar menekan penerima bola tanpa perlu terlalu fizikal – beliau hanya mendesak.
Lihat pendekatan yang sama mereka lakukan ke atas Malaysia dengan seorang pemain keluar memberikan tekanan untuk mendesak Akhyar melepaskan bola segera yang berpotensi untuk melakukan kesilapan.
Seterusnya mereka akan cuba bertahan mengikut arah bola ataupun ball oriented defending. Juga pendekatan yang sama digunakan skuad B-23 mereka.
Pendekatan yang sama mereka gunakan dalam perlawanan menentang Malaysia.
Seterusnya Vietnam sangat efektif dalam serangan. 2 percubaan tepat pertama mereka menghasilkan 2 gol.
Malaysia buntu
Kebuntuan Malaysia adalah kerana tiada pemain yang mampu memecahkan blok pertahanan Vietnam terutama sekali di kawasan ‘hole’ ataupun zon 14 itu (bulatan). Ianya membuatkan gerakan pasukan Malaysia ditolak ke bahagian sayap dengan kritikal.
Apabila pemain Malaysia sampai di bahagian sayap, Vietnam bertahan dengan kompak dalam 5-4-1 dan tidak memberikan jarak ataupun ruang selesa kepada pemain sayap untuk melakukan hantaran silang.
Vietnam membenarkan/membiarkan Malaysia memiliki penguasaan bola tanpa perlu terdesak mahukan bola itu segera sehinggalah bola itu masuk ke zon pertahanan (defensive third) mereka. Kebanyakan masa, Vietnam tak agresif untuk cuba memenangi bola – sebaliknya terus kekal di zon masing-masing melihat Malaysia gagal mengalirkan bola ke zon bahaya.
Malaysia tiada perancang
Isu yang jelas dihadapi pasukan Malaysia adalah ketiadaan perancang yang mampu mengolah serangan bagi mempelbagaikan gerakan di kawasan serangan. Tak kira apa jua jenis perancang, sama ada perancang dari bawah (deep lying playmaker) ataupun di zon serangan (no.10).
Kesannya gerakan Malaysia tidak dijana ataupun dihubungkan dengan baik. Barisan serangan dan tengah terputus hubungan (disjointed) teruk dalam perlawanan ini.
Malaysia sekali lagi berhadapan dengan isu terlalu banyak hantaran neutral dan terlalu kurang hantaran pembunuh (killer passes). Lihat bagaimana killer passes Vietnam ini mematikan (eliminated) 3 pemain Malaysia dan terus mencipta peluang gol kedua mereka.
https://youtu.be/1LzNWIh5nHo?t=70
Malaysia tak cukup pantas dan tajam
Malaysia tak cukup pantas untuk segera memecahkan ruang yang ada apabila ruang itu terbuka. Kesannya, Vietnam ada masa secukupnya untuk membentuk semula formasi (reshape).
Lihat situasi ini, hanya dengan satu ‘extra move’ daripada Norshahrul – Malaysia yang awalnya 3 vs 1 di kiri gagal memanipulasi keadaan itu. Ini kerana Vietnam sangat cepat untuk ‘reshape’.
Rumusan
Vietnam berjaya mendesak Malaysia bermain mengikut ‘shape’ pasukan mereka. Vietnam jelas pasukan yang jauh lebih bersedia untuk menghadapi lawan mereka. Manakala Malaysia seperti tidak cukup ‘study’ tentang pasukan lawan.
Vietnam mungkin ada sedikit rasa ‘hormat’ kepada Malaysia dengan tidak mahu terlalu agresif mencari gol kedua kerana takut dibolosi. Mungkin mereka menjangkakan Malaysia akan hadir dengan corak taktikal yang tajam. Malangnya Tan Cheng Hoe tidak ada jawapan ke atas taktikal Vietnam.
Isu yang jelas adalah pivot kembar di tengah yang tidak dinamik ketika transisi. Mereka kerap berada di zon yang terlalu rapat dalam fasa pembentukan serangan. Seterusnya, pivot perlu memperbaiki aspek variasi dalam hantaran termasuk hantaran untuk ‘unlock’ terus pertahanan lawan. Begitu juga hantaran untuk mengubah arah bola dengan segera.
Seterusnya, Malaysia tak ada kemampuan memecahkan zon padat. Ditambah dengan gerakan yang tidak cukup pantas untuk bergerak dalam ruang yang kecil.
Agak naif untuk kita mahu meminta Malaysia bermain seperti Man. City – namun kami kemukakan bagaimana kepantasan dan ketepatan dapat membunuh dan membuka ruang pasukan lawan dengan contoh ini.
https://www.youtube.com/watch?v=YorsHwScQ6E
Seterusnya, kita perlukan seorang jeneral di tengah yang vokal selain daripada perlu memperbaiki aspek kreativiti, permainan kombinasi, playmaking dan ‘killer passes’ di zon serangan.