Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis Taktikal: Kesilapan Defensif Bawa Padah Kepada Liverpool

Jika anda mencari satu perlawanan berkualiti untuk peringkat awal Liga Juara-Juara Eropah, perlawanan Liverpool dan Napoli menepati ciri-ciri yang anda inginkan.

Napoli menang 2-0 dalam aksi menentang juara bertahan, Liverpool. Namun kemenangan itu bukannya mudah untuk mereka capai, kerana banyak perkara yang perlu dilakukan.

Keutamaan Napoli adalah struktur bertahan

Perlawanan ini adalah perlawanan dengan tempo yang tinggi daripada minit pertama sehingga wisel penamat. Namun Napoli tetap memiliki biologi gaya Ancelotti yang jelas iaitu, utamakan dahulu aspek bertahan, dan kemudian serang lawan dengan kelajuan dan secara lebih direct.

Ini bukan bermaksud, Napoli bermain defensif. Anda membuat kesilapan jika menyataka demikian. Maksud kenyataan kami adalah, Napoli akan cuba memastikan struktur mereka stabil dahulu sebelum melancarkan serangan.

Binaan struktur ini penting kerana mereka tahu ancaman Liverpool dengan kepantasan dan fluiditi ketika menyerang.

Kedua-dua pasukan bertahan dengan baik secara unit. Namun Napoli adalah lebih cepat ketika fasa ‘regroup’ untuk bertahan dalam sistem klasik 2 banks of 4.

Disiplin bertahan Napoli sangat baik. Lihat contoh pemain ini melakukan track back sehinggalah pemain yang beliau kawal dineutralkan. Seringkali kita melihat pemain yang track back tidak berdisiplin dan akan berhenti, merasakan tugas mereka sudah selesai.

Napoli berani bertahan dengan garisan tinggi dan tidak takut terdedah akan kesilapan. Dalam bola sepak, kesilapan itu biasa, namun tanggungjawab kolektif untuk sentiasa ‘cover’ dan ‘recover’ sebagai satu unit itu sangat penting.

Koulibaly misalnya, banyak kali melakukan ‘recovery’ ataupun memperbaiki kelompongan pertahanan rakan-rakannya.

Napoli elak pertarungan di tengah

Napoli awalnya cuba menyerang Liverpool menerusi tengah. Namun ianya kerapkali gagal kerana kecemerlangan pemain seperti Fabinho.

Keupayaan Fabinho untuk mengitar semula bola menjadi titik asas kepada serangan berkualiti telah membuatkan Ancelotti menukar pendekatan agar bola cepat ditolak ke tepi ataupu half-space.

Liverpool hilang karakter pada babak akhir

Amat jarang untuk melihat Liverpool melakukan 2 kesilapan defensif yang mengundang gol lawan. Namun itu yang berlaku.

Napoli turut mengaktifkan tekanan di garisan tinggi (high pressing) untuk mendesak Liverpool melepaskan bola segera, dan melakukan kesilapan.

Gol kedua Napoli adalah hasil daripada high pressing dan memaksa Van Dijk melakukan hantaran ke belakang, dan ianya hantaran yang lemah, lalu dimanipulasi Llorente.

Seterusnya, usaha berterusan pemain Napoli untuk sentiasa menyerang segera ke dalam kotak penalti juga membuatkan mereka mendapat penalti.

Ketumpulan Liverpool

Perlawanan ini menuntut serangan kedua-dua pasukan untuk lebih klinikal kerana pertahanan dan penjaga gol berada dalam prestasi terbaik.

Kedua-dua pasukan mencipta peluang gol yang seimbang dalam perlawanan ini.

Namun Liverpool kali ini tumpul di hadapan gol. Mereka beberapa kali memecahkan pertahanan lawan dengan ‘fast break’ serta serangan balas. Tetapi gagal menyudahkannya.

Napoli juga bergelut dengan ketajaman di hadapan gol dalam situasi permainan terbuka. Namun mereka memanipulasi sebaiknya 2 kesilapan defensif Liverpool.

Kepantasan kedua-dua pasukan

Ini adalah elemen yang sangat penting dalam perlawanan ini. Serangan kedua-dua pasukan sangat dinamik dan memiliki keupayaan individu yang baik.

Napoli dan Liverpool menggerakkan bola dengan sangat laju dalam setiap gerakan mereka. Ini kerana mereka sedar, tempo yang laju sangat penting untuk melalui ruang yang dibuka sekejap, sebelum pertahanan lawan ‘regroup’.

Kepantasan di bahagian sayap dengan sokongan oleh bek sisi yang progresif seringkali diaktifkan.

Rumusan

Perlawanan ini secara taktikalnya sangat seimbang, kerana keupayaan Napoli untuk berhadapan dengan tempo, tenaga dan juga serangan balas dengan Liverpool.

Perubahan taktikal Napoli pada saat akhir sebenarnya tidak begitu memberikan impak secara taktikal. Di mana Carlo Ancelotti menggunakan plan B dengan target man.

Namun Llorente tetap berhak mendapat kredit kerana beliau berada di tempat yang betul pada masa yang tepat.

Apa yang Liverpool harus perbaiki selepas perlawanan ini adalah ‘decision making’ di kawasan serangan, apabila berhadapan dengan pasukan yang berjaya bertahan dengan sangat baik dengan tempo yang tinggi.

Seterusnya, agak klise, namun terpaksa disebut juga, elakkan membuat kesilapan yang tidak sepatutnya dalam perlawanan penting seperti ini. Kerana, dalam bola sepak, jika kamu tidak dapat menjaringkan gol, jangan bolos.

Jika anda mahu melakukan kajian tentang cara bertahan yang baik, perlawanan ini antara perlawanan yang anda boleh jadikan bahan. Ianya penuh dengan ‘recoveries’ daripada kedua-dua pasukan, apabila rakan melakukan kesilapan. Cuma elakkanlah melakukan kesilapan defensif. Itu sahaja.

Seterusnya, stamina dan tenaga serta komitmen yang ada pada pemain-pemain kedua pasukan sangat luar biasa.

Apabila anda cukup stamina untuk sentiasa berlari di atas padang, anda akan menikmati perlawanan dan dapat melakukan tugasan dengan baik. Apabila ada peluang melakukan sesuatu, sila ambil kesempatan. Ini yang membuatkan Napoli menang.

Apapun, masterclass daripada Don Carlo.

Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA
Kalidou Koulibaly (Napoli)

80% pass accuracy
70 touches 45 passes completed
5 clearances
5 recoveries
3 ground duels won
2 blocked shots
2 interceptions