Strikers win you games, but defenders win you titles.
Mungkin inilah madah kata paling tepat untuk menggambarkan perlawanan akhir Piala FA semalam. Kelantan menyerang dan mempunyai banyak percubaan tepat ke arah gol tetapi hanya menjaringkan 1 gol. Singapura bertahan sepanjang perlawanan dan menjaringkan 3 gol untuk menjulang Piala FA buat kali pertama.
Kesebelasan utama
Hanya satu pertukaran dilakukan oleh Azraai Khor kepada Kelantan. Jonathan McKain kembali berpasangan dengan Amirizwan Taj di pertahanan tengah, menggantikan Farisham Ismail. Austin Amutu masih tidak cergas sepenuhnya dan tugas beliau di sayap kanan digalas oleh Wan Zack.
Lions XII menampilkan kesebelasan utama yang menewaskan Terengganu pada separuh akhir pertama. Safuwan Baharudin berpasangan dengan Izzdin Shafiq di tengah manakala kapten Isa Halim masih di bangku simpanan.
Kelantan mengekalkan taktikal sama ketika separuh akhir
Jika anda membaca beberapa analisis taktikal Kelantan yang kami lakukan sebelum ini, anda akan tahu Azraai Khor ada membuat sedikit perubahan taktikal semasa kemenangan ke atas Pahang dalam separuh akhir Piala FA.
Pada perlawanan separuh akhir tersebut, Kelantan mula menggunakan khidmat Wan Zack (dan Austin Amutu) sebagai pemain sayap sebenar untuk memberi keluasan kepada serangan mereka.
Sebelum ini, Kelantan gemar menyerang melalui tengah. Pemain sayap kanan mereka diarah bermain seperti pemain sayap kiri (Wan Zaharulnizam) – membuat hantaran pendek kepada 2 penyerang sebelum menyerang melalui pertukaran hantaran yang pantas (quick interchange of passing) dan larian dari zon tengah (deep runs from middle third).
Dalam perlawanan semalam, Kelantan mengekalkan perubahan taktikal yang mereka lakukan ketika separuh akhir Piala FA – menyerang melalui sayap kanan. Di sayap kiri, Wan Zaharulnizam diarahkan masuk ke zon tengah untuk membentuk pemain tengah ke-3 bersama Badhri Radzi dan Norhafiz Zamani Misbah.
Lions XII menyerang melalui sayap, bertahan dengan double pivot
Di bawah Fandi Ahmad, serangan Lions XII selalunya dimulakan dengan hantaran pepenjuru (diagonal pass) dari zon tengah ke pemain sayap mereka – Faris Ramli di sayap kiri dan Gabriel Quak di sayap kanan.
Ketika Lions XII kehilangan bola, double pivot mereka Safuwan Baharudin dan Izzdin Shafiq sentiasa ada untuk melindungi pertahanan mereka.
Pemain paling penting dalam sistem ini adalah Khairul Amri. Berfungsi sebagai penghubung jentera pertahanan dengan serangan, Amri kerap turun ke zon tengah untuk memberi pilihan hantaran (passing options) kepada Safuwan dan Izzdin.
Penyakit lama Kelantan berulang kembali
Untuk kebaikan pasukan bola sepak Kelantan, kami mencadangkan mereka menggunakan dana persatuan mereka untuk membawa Arrigo Sacchi untuk mengajar pertahanan pasukan Kelantan ‘shadow play’ dalam sesi latihan mereka. Kami serius.
Melihat kelemahan Kelantan dalam organisasi pertahanan mereka dan menganalisis kelemahan pemain-pemain pertahanan mereka dalam aspek ini bukanlah sesuatu yang kami suka tetapi ianya perlu. Ini kerana Kelantan sudah melakukan kesilapan sama berulang-ulang kali dalam banyak perlawanan.
Perhatikan persamaan antara dua gambar ini yang diambil dari dua perlawanan berbeza.
Gambar 1: Separuh akhir kedua Piala FA 2015 (Kelantan vs Pahang, 16 Mei 2015)
Gambar 2: Final Piala FA 2015 (Kelantan vs Lions XII, 23 Mei 2015)
Daripada 2 gambar ini, apakah persamaan yang dapat anda lihat? Ya, kelemahan organisasi pertahanan Kelantan. Ketika pertahanan lain memasang perangkap ofsaid, pertahanan yang lain menghancurkan perangkap ofsaid tersebut.
Kesilapan asas inilah yang menghadiahkan gol pertama untuk Lions XII.
Baca: Shadow Play – Latihan Ciptaan Arrigo Sacchi Untuk Membentuk Pasukan Lagenda 90-an AC Milan
Perangkap ofsaid Kelantan gagal
Apabila pasukan anda perlu menyerang untuk mendapatkan gol, satu-satunya cara untuk menghentikan pasukan lawan daripada melakukan serangan balas melalui penyerang mereka yang laju adalah – melalui perangkap ofsaid.
Perangkap ofsaid memerlukan komunikasi secara berterusan antara 2 pertahanan tengah dengan bek kiri dan kanan.
Kami tidak pasti apa yang berlaku kepada komunikasi pertahanan Kelantan semalam, tetapi mereka nampak seperti tidak berkomunikasi. Seperti tiada pemimpin di bahagian pertahanan. Tiada sesiapa yang mengambil tanggungjawab untuk menyusun pertahanan.
Gol pertama Lions XII hadir apabila perangkap ofsaid Nik Shahrul dan Jonathan McKain terlalu dalam sehingga memberi ruang kepada Faris Ramli untuk melakukan larian tanpa bola (off ball movement) di sayap kiri.
Nik Shahrul yang pada mulanya kelihatan seperti mahu memotong (intercept) hantaran panjang Izzdin kemudiannya berubah fikiran pada saat terakhir.
Sebaik sahaja bola singgah di kaki Faris, Nik Shahrul tak mungkin dapat mengejar Faris kerana Faris sudah pun memulakan lariannya 2-3 saat sebelum Nik Shahrul. Ketika Nik Shahrul baru memulakan lariannya, Faris sudah pun mencapai kelajuan maksimum.
Lions XII bertahan selepas gol
Selepas gol pertama mereka, Lions XII bertahan dengan 8 pemain di kubu mereka sendiri.
4 pertahanan mereka sangat kompak untuk meminimumkan ruang Erwin Carillo dan Gilmar beroperasi. Bentuk mereka sangat kompak sehinggakan Gabriel Quak kelihatan seperti bek kanan.
Tetapi di sebalik strategi tersebut, Kelantan masih banyak mencipta peluang. Hal ini ada kaitannya dengan perubahan taktikal Kelantan sejak separuh akhir Piala FA menentang Pahang yang lepas.
Kelantan menyerang melalui sayap kanan
Dengan Wan Zack, Kelantan mempunyai keluasan (width) di sayap kanan. Keluasan yang dibekalkan Wan Zack banyak memberi masalah kepada Hafiz Sujad kerana bentuk mereka yang sangat kompak. Hampir semua serangan Kelantan bermula dari sayap kanan.
Lebih membahayakan adalah sikap sambil lewa Faris Ramli yang tidak merantai larian Wan Zack. Jika dibandingkan dengan Gabriel Quak, Faris lebih kasual ketika Lions XII bertahan.
Gol penyamaan Kelantan bermula dengan larian Wan Zack di sayap kanan. Kelantan berpeluang menjaringkan lebih banyak gol lagi jika tidak kerana penyudah yang tumpul dan kecekapan Izwan Mahbud.
Kesilapan individu menghukum Kelantan
Selepas Khairul Nizam digantikan dengan Sahil Suhaimi, Lions XII tidak mempunyai sebab untuk menguasai bola sepanjang masa. Apatah lagi bila Kelantan mengeluarkan satu-satunya polisi insurans mereka di tengah, Norhafiz Zamani Misbah. Apa yang mereka perlu lakukan adalah:
1. Bertahan,
2. Tunggu sehingga ada ruang di belakang pertahanan Kelantan,
3. Lakukan hantaran panjang ke ruang tersebut dan
4. Mengharapkan kelajuan dan teknik penyudah Sahil memberikan gol.
Dan inilah yang berlaku pada gol ke-2 dan ke-3 mereka walaupun gol ke-2 mereka dibantu oleh kesilapan ala budak sekolah yang dilakukan Nik Shahrul.
Gol ke-3 Lions XII pula bukanlah berpunca daripada kesilapan Amirizwan seorang. Ia berpunca dengan pendekatan gung-ho Kelantan yang tidak berhasil.
Kesimpulan
Untuk memperbaiki prestasi pasukan mereka di Liga Super, langkah pertama yang perlu dilakukan Kelantan adalah memperbaiki organisasi pertahanan mereka. Mereka memerlukan pemimpin di bahagian pertahanan dan amat malang sekali, Jonathan McKain bukanlah orangnya.
Bagi Lions XII, tahniah kerana memenangi Piala FA buat kali pertama.
Baca juga: Berita Yang Peminat Pro Evolution Soccer (PES) Tidak Mahu Dengar
LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter