Analisis Taktikal: Kegagalan JDT ‘Unlocked’ 5-3-2 Ciptaan Hodak Undang Padah

Di atas kertas, JDT sentiasa menjadi pilihan. Namun ini tidak bererti KL City FC tidak mampu menghadirkan kejutan. Apatah lagi perlawanan tersebut adalah pentas perlawanan akhir.

Itulah yang berlaku di perlawanan akhir Piala Malaysia pada malam tadi. Tidak ramai yang berani bertaruh KL City FC mampu menewaskan jaguh seperti JDT pada mulanya.

Lalu bagaimana Bojan Hodak selaku Ketua Jurulatih skuad warga kota melakukan percaturan sehingga mampu melumpuhkan JDT yang dikenali sebagai sebuah pasukan yang memiliki corak serangan berintensiti tinggi diterapkan oleh Benjamin Mora?

Ketiadaan Corbin dan Cabrera rencatkan JDT

Ketiadaan Gonzalo Cabrera di dalam perlawanan ini sedikit sebanyak mengganggu sistem JDT. Corbin Ong pula hanya dimasukkan pada babak kedua perlawanan. Pemain sayap kiri ini mungkin mempunyai isu kecergasan menyebabkan beliau memulakan perlawanan dari bangku pemain simpanan.

Anda boleh membaca bagaimana pentingnya peranan Cabrera dan Corbin di dalam sistem JDT melalui previu taktikal yang kami sediakan sebelum perlawanan.

Previu Taktikal: Intensiti JDT VS Disiplin KL City FC Jadi Taruhan Mora Dan Hodak

Tanpa Cabrera dan Corbin, Mora terpaksa melakukan sedikit rombakan. Arif Aiman menggantikan tempat Corbin.

Manakala peranan asal Arif yang sebelum ini juga efektif di sebelah kanan diambil alih oleh S. Kunanlan.

Peranan pemain berdasarkan posisi di JDT dalam perlawanan sebelum ini.

Afiq Fazail pula menggantikan Cabrera, dan Mora turut memilih Safawi Rasid untuk bergandingan dengan Kunanlan – sepertimana peranan Nazmi-Arif dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Walaupun tanpa Cabrera dan Corbin, JDT masih lagi dianggap mempunyai kesebelasan utama yang ampuh dan mampu mendatangkan bahaya kepada lawan melalui intensiti serangan yang mereka miliki.

JDT gagal ‘unlocked’ 5-3-2 Hodak

Secara asasnya, Bojan Hodak menggunakan sistem 4-3-3 dalam perlawanan ini. Merupakan jurulatih yang cukup berpengalaman, Hodak juga sedar akan ancaman yang mampu dihasilkan JDT.

Seperti dijangka, JDT menguasai peringkat awal perlawanan dengan melakukan tekanan dengan hantaran-hantaran pendek. Intention dari JDT sangat jelas. Cari gol awal untuk setled-down seawal mungkin.

Kesebelasan utama KL City FC dengan formasi 4-3-3.

KL City juga mungkin agak gementar di awal perlawanan, sehingga membenarkan rembatan bebas daripada Bergson da Silva. Mujurlah tiang gol menjadi penyelamat. Selepas amaran awal tersebut, barulah KL City seperti tersentak dan mulai bermain mengikut perancangan yang ditetapkan oleh jurulatih mereka.

Secara asasnya, KL City FC membentuk 5-3-2 ketika bertahan. Di dalam sistem ini, J. Partiban turut akan beraksi sebagai pemain pertahanan di sebelah kiri. Partiban-Daniel Ting-Giancarlo Gallifuoco-Kenny Pallraj-Kamal Azizi membentuk barisan lima pemain.

Shape KL City setiap kali JDT memiliki penguasaan bola.

Diketuai oleh Akram Mahinan, bersama-sama dengan Ryan Lambert dan Zhafri Yahya, tiga serangkai ini membentuk lapisan kedua pertahanan KL City di hadapan barisan pertahanan utama.

Paulo Josue dan Romel Morales pula berada di hadapan sekali untuk melakukan pressing awal terhadap pemain lawan, setiap kali bola memasuki kawasan sebelah padang KL City FC.

Sistem zonal marking KL City FC yang mengunci ancaman JDT.

Sistem pertahanan secara zonal ini nyata membuahkan hasil. Rajah di atas menjelaskan bagaimana pemain-pemain KL City melakukan marking masing-masing. Tetapi anda tidak akan menang hanya dengan bertahan.

Sistem 5-3-2 Hodak bukan sahaja digunakan untuk meneutralkan serangan JDT. Ia

juga digunakan untuk recyled transisi permainan daripada bertahan kepada serangan balas pantas.

Di sinilah peranan gandingan tiga pemain di bahagian tengah amat penting. Walaupun tidak sempurna, pemain seperti Ryan Lambert, dan Akram harus dipuji kerana melakukan tugasan yang baik. Lambert misalnya memiliki composure yang baik setiap kali berjaya merampas bola dan memulakan gerakan menyerang.

Setiap kali berjaya memenangi bola di kawasan yang digelar Zon14, bentuk permainan KL City juga akan berubah. Partiban dan Zhafri akan keluar dari posisi bertahan dan menjadi penyerang sayap.

Perubahan transisi daripada bertahan kepada serangan KL City FC.

Josue pula menjadi pemain yang menyediakan link-up di antara tengah dan serangan. Dan transisi tersebut berlaku dengan pantas untuk mendapatkan kelebihan numerical kerana JDT hanya mempunyai tiga pemain di bahagian pertahanan.

Selepas berjaya menjaringkan gol pertama, momentum perlawanan mulai menjadi milik KL City sehingga jaringan kedua turut terhasil.

Rumusan

Walaupun bermula dengan baik, JDT harus menerima hakikat mereka gagal membuka kunci 5-3-2 yang disediakan Hodak untuk KL City FC.

Keadaan mungkin tidak sama sekiranya JDT berjaya mendahului awal melalui percubaan Bergson yang terkena tiang.

Tapi inilah bola sepak. Kalah dan menang, adat permainan. Menang kita raikan, kalah kita cuba lagi.

Leave a Reply