Indonesia tewas 2-3 di gelanggang sendiri – di tangan Malaysia – dalam aksi kelayakan Piala Asia/Piala Dunia yang lalu.
Indonesia bermula dengan intensif
Pada separuh masa pertama, Indonesia bermula dengan intensif. Mereka mengenakan beberapa siri tekanan di garisan tinggi.
Ini memberikan masalah kepada Malaysia yang cuba membina serangan daripada bawah.
Indonesia beberapa kali mendesak pertahanan Malaysia melakukan kesilapan. Seterusnya, struktur Malaysia yang agak goyah, juga menjadi punca kenapa Malaysia bermasalah nak berhadapan dengan tekanan seperti ini.
Brendan Gan dan Azam Azih, pada separuh masa pertama, komunikasi mereka dengan bek berempat adalah kurang baik.
Kedua-dua mereka juga kerapkali tidak mengimbangi posisi antara satu sama lain. Sebagai contoh, kedua-duanya bergerak ke atas untuk menjadi penyerang tambahan dan meninggalkan zon posisi no.6.
Ini membuatkan Malaysia kerap menggunakan opsyen hantaran ke bahagian sayap untuk binaan serangan. Ini antara contoh tekanan yang dikenakan oleh Indonesia di high line.
Malaysia pada fasa ini sudah menolak pemain-pemain ke atas dan ‘team shape’ sudah dibuka.
Di sini kita dapati, Davies sebenarnya boleh memilih 2 opsyen lain jika beliau mahu terus kekalkan pengawalan bola.
Opsyen 1, untuk memulakan semula binaan serangan daripada blok paling rendah.
Opsyen 2, menukar arah bola
Gol kedua Indonesia adalah contoh terbaik Malaysia melakukan kesilapan kerana desakan seperti ini dan akhirnya membolehkan Alberto Goncalves melakukan percubaan yang mencetuskan gol.
Malaysia bergelut dengan larian dari belakang
Isu yang jelas pada separuh masa pertama adalah, Malaysia kerap bermasalah dengan larian-larian tanpa bola dari bahagian belakang.
Salah satu sebabnya adalah posisi pemain-pemain pertahanan ketika bertahan. Adam Nor Azlin kerapkali meng-on-side-kan pemain lawan.
2 bek sisi Malaysia jelas sekali kerap selari dengan posisi Shahrul Saad, yang kami rasakan beliau adalah positioning check utama bagi unit pertahanan.
Masalah serangan Malaysia
Separuh masa pertama, serangan Malaysia tidak bermain baik. Norshahrul ‘isolated’, Hadin Azman dan Safawi Rasid gagal mendapatkan ‘game’ mereka.
Di bahagian tengah, Syafiq Ahmad mulai hilang fokus. Tahniah kepada Tan Cheng Hoe yang cepat ‘menarik’ semula Syafiq agar fokus kembali ke dalam perlawanan ini.
Malaysia hilang kreativiti dan pemain kerap hilang bola dengan terlalu mudah.
Isu half-space
Jika anda perasan, ketiga-tiga gol pada separuh masa pertama ada kaitan dengan half-space. Ruang yang gagal diberikan kawalan lebih baik secara zonal.
Half space adalah ruang paling bahaya yang membolehkan peluang dicipta dengan mudah kerana jaraknya yang sangat dekat dengan zon bahaya.
Seterusnya adalah, ia juga tempat di mana para pemain boleh melakukan lencongan ke arah gol.
Bercerita soal half-space, separuh masa pertama, Malaysia lebih banyak didedahkan kelemahan mereka kerana beberapa siri binaan serangan dan hantaran yang gagal.
Half space adalah ruang di antara pemain sisi dengan tengah. Jadi ianya perlukan kemampuan pemain berkomunikasi dan ‘covering’ secara unit.
Improvisasi Malaysia vs keletihan Indonesia
Separuh masa kedua adalah berkaitan dengan improvisasi pasukan Malaysia selepas ketinggalan 2 kali.
Ia bukan perkara yang mudah untuk mereka lakukan. Tan Cheng Hoe melakukan pertukaran dengan mengembalikan semula Safawi Rasid ke sayap kanan sebagai inverted winger.
Sumareh diarahkan menjadi 9 jadian dan Akhyar Rashid menjadi sayap kiri.
Di bahagian tengah Brendan Gan dan Azam Azih meningkatkan pengaruh dan dominasi mereka. Malaysia mulai menekan Indonesia secara berterusan.
Arahan taktikal McMenemy mungkin lebih fokus kepada bertahan dan menyerang balas Malaysia – yang mencari gol penyamaan.
Namun isu utama Indonesia, stamina pemain mereka mulai hilang dan ramai yang keletihan. Andik Vermansyah dan Stefano Lilipaly misalnya, mereka tidak seenergetik separuh masa pertama.
Akibat keletihan Indonesia mulai melakukan banyak kesilapan dan hilang fokus.
Penyudah Malaysia
Ya kita menang dan menjaringkan 2 gol pada separuh masa kedua. Namun Malaysia sebenarnya telah melepaskan banyak sekali peluang gol terbaik. 2 menerusi Syafiq Ahmad, 3 menerusi Safawi Rasid. Itu yang sempat saya kira.
Syafiq Ahmad menjadi pemain penting pada separuh masa kedua. Beliau kembali fokus kepada perlawanan selepas dia agak hilang fokus pada separuh masa pertama.
Selepas 2 peluang gagal disudahkan, Syafiq Ahmad menjaringkan gol dengan kepakaran beliau iaitu kepala.
Indonesia mulai hilang arah dan juga mereka seolah-olah hanya menantikan wisel penamat dibunyikan. Melihat 3 mata sudah menjadi 1 mata, dan mereka rasa itu sudah cukup baik.
Masa tambahan 8 minit
Ramai yang menyatakan perlawanan tergendala adalah memberikan kelebihan kepada Indonesia.
Sebenarnya, saya berpandangan berbeza. Ketika Malaysia menjaringkan gol ke-2 dan perlawanan dihentikan, itu adalah fasa Malaysia bermain bola sepak sangat baik.
Malaysia lebih pantas mengalirkan bola dari kotak ke kotak. Para pemain Malaysia mencipta peluang berterusan dan Indonesia dibuli secara fizikal dan juga teknikal, terutama sekali dengan kepantasan.
Saya mulai merasakan, ia mungkin akan menjadi ‘penghalang’ kepada momentum Malaysia. Kerana tempo sudah terganggu.
Malaysia mencipta banyak peluang dan gagal disudahkan. Secara mentaliti, gol Syafiq Ahmad adalah fasa di mana pemain Malaysia menjadi lebih yakin selepas merasakan malam itu bukan malam mereka.
Malaysia kekal fokus
Sebaik sahaja perlawanan disambung, Malaysia memastikan momentum mereka dikekalkan. Ini adalah momen penting. Bukan mudah para pemain nak dapatkan kembali momentum dengan gangguan dan juga terpaksa berhenti mengejut.
Dan pada masa kecederaan, minit-minit akhir, Malaysia mendapat gol yang selayaknya kita dapat.
Malaysia mendapat gol daripada keadaan ini, di mana pertahanan Indonesia berada di zon pertahanan yang baik, tetapi gagal menghentikan bola ini kerana isu fokus dalam bertahan. Seterusnya penjaga gol mereka juga tidak cukup commanding dalam situasi ini.
Rumusan
Ia kemenangan sangat berharga. Dari segi taktikal, Malaysia jauh lebih baik berhadapan dengan pasukan yang hilang stamina pada separuh masa kedua. Tamat perlawanan, jurulatih Indonesia menuding jari kepada penjadualan liga, punca mereka keletihan.
Malaysia bermula dengan kegugupan. Perlawanan di GBK bukannya mudah. Ia di hadapan penyokong Indonesia di dalam perlawanan klasiko Nusantara.
Aspek mentaliti dan fokus, adalah perkara yang paling penting. 2 kali Malaysia ketinggalan, 2 kali Malaysia bangkit.
Ketika tempo dan momentum pasukan berada dalam tahap terbaik dan berjaya ‘unlock’ 1 gol yang menjadi nadi penting untuk mencari gol seterusnya, perlawanan dihentikan kerana kekacauan penyokong.
Namun sekali lagi Malaysia membuktikan, perlawanan ini hanya untuk mereka yang lebih keinginan, lebih jiwa, lebih hati, siapa lebih kental, untuk menang. Bukan perlawanan yang semata-mata untuk menunjukkan taktikal siapa lebih bagus, ataupun skil siapa lebih bagus.
Pasukan mana yang lebih bersungguh-sungguh mahu memberikan sesuatu kepada penyokong mereka.
Ironinya, kita ada elemen tambahan itu yang membolehkan kita berjaya memperbaiki beberapa kerosakan pada separuh masa pertama.
Pertukaran pemain Tan Cheng Hoe jauh lebih berkesan berbanding McMenemy terutama sekali Mohamadou Sumareh. Tan Cheng Hoe cepat menggunakan pelan B apabila pelan utama kurang efektif.
Namun Malaysia perlu memperbaiki aspek penyudah di hadapan gol dan juga beberapa situasi pemain membuat sentuhan tambahan yang tak perlu.
Kredit juga kepada pasukan kecergasan dan semua staf yang mempersiapkan para pemain dengan mentaliti dan kecergasan yang terbaik.
Bagi orang yang tidak mengerti, ini hanyalah satu kemenang biasa. Namun bagi peminat yang jiwanya untuk Harimau Malaya, ini adalah kemenangan ke atas Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.
Indonesia ada isu stamina yang kritikal. Dan pada masa yang sama tidak dapat mengekalkan bola dengan baik pada fasa mereka keletihan.
Kita ada segala alasan untuk lambat ‘move on’ sebagai peminat. Cuma di pihak pemain, sebagai profesional pastinya mereka perlu cepat move on dan fokus perlawanan seterusnya.
Tahniah Malaysia.
Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA
Mohamadou Sumareh (Malaysia)