Analisis Taktikal: Berjaya Senyapkan ‘Sarri-Ball’, Mourinho Dikecewakan Oleh Kelemahan Pertahanan

Satu mata dikongsi oleh Chelsea dan Manchester United setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stamford Bridge semalam.

Manchester United mungkin sedikit kecewa, kerana melepaskan peluang untuk mencipta kemenangan di Stamford Bridge, sekaligus menamatkan rekod cemerlang Chelsea pada musim ini di bawah kendalian Maurizio Sarri.

Apa yang boleh kita pelajari lewat daripada perlawanan semalam?

Formasi

Seperti dijangka pasukan tuan rumah akan mengekalkan formasi 4-3-3 di dalam sistem ‘Sarri-Ball’, yang telah memberikan permulaan cemerlang kepada Chelsea pada musim ini.

Morata dipilih sebagai penyerang tunggal, dengan Eden Hazard dan Willian masing-masing berada di kiri dan kanan penyerang tersebut.

4-3-3 Chelsea

Manakala Manchester United jelas dengan formasi 4-2-3-1, dengan Paul Pogba bergandingan dengan Nemanja Matic sebagai pemain tengah pertahanan dalam perlawanan ini.

Sanchez sekadar diletakkan di bangku simpanan, dan Martial menjadi pilihan Mourinho setelah pemain itu cemerlang dalam perlawanan menentang Newcastle United dua minggu yang lalu.

4-2-3-1 Manchester United

Sarri-Ball Chelsea

Chelsea jelas sudah menguasai taktikal yang amat sinonim dengan Sarri, yang dikenali sebagai Sarri Ball.

Kami cadangkan untuk anda membaca artikel: Analisis Taktikal: Evolusi Taktikal Napoli Di Bawah Maurizio Sarri terlebih dahulu untuk memahami corak bola sepak yang diterapkan oleh pengendali dari Itali itu.

Sepanjang perlawanan Chelsea merekodkan 611 hantaran, dengan 819 sentuhan, sekaligus merekodkan 63% penguasaan bola.

Apakah ideanya? Idea oleh Sarri sudah tentu untuk mengeksploitasi kreativiti Hazard untuk menghukum pertahanan United yang sudah dibolosi 14 kali dalam lapan perlawanan sebelum itu.

Kredit: Behind The Post.

Fokus serangan oleh Chelsea adalah dari kiri, terutamanya di bahagian half-space pertahanan United.

Kredit: Behind The Post

Statistik oleh Behind The Post ini menunjukkan 72 hantaran dilakukan di bahagian half-space pertahanan United, dengan kebanyakkannya dilakukan di sebelah kiri serangan Chelsea.

Adakah Sarri-Ball ini berjaya menhukum pertahanan United? Secara teknikalnya tidak. Bagaimana pula United menyekat Eden Hazard?

Mari kita lihat bagaimana Manchester United menidakkan taktikal agung oleh Sarri ini.

4-5-1 Manchester United

Mengambil kira prestasi semasa Chelsea, tidak hairanlah Mourinho memilih untuk bertahan di dalam perlawanan ini.

Namun demikian mereka tidak bermain dengan taktikal ultra-defensive, seperti membentuk rantaian 6 pemain pertahanan.

Apakah idea oleh Mourinho?

Sarri-Ball ialah taktikal yang berdasarkan penguasaan bola dengan hantaran pendek di dalam sistem segi tiga untuk memerangkap lawan.

4-5-1 Man Utd

Perhatikan rajah di atas. Ketika Chelsea menguasai bola, United memilih untuk kompak di bahagian tengah.

4-2-3-1 adalah sistem asal Mourinho. Sistem ini membenarkan mereka membentuk 4-5-1 ketika bertahan.

Mereka tidak melakukan pressing kepada pemain Chelsea, dan lebih selesa untuk berada di kawasan sendiri untuk mengelakkan keletihan.

Langkah ini berjaya membendung United dihukum oleh Sarri-Ball. Perhatikan heat-map Chelsea di sebelah kiri.

Pemain serangan Chelsea lebih banyak berlegar di luar kawasan penalti lawan, dan United hanya membiarkan sahaja hantaran-hantaran tersebut dilakukan selagi tidak mengancam.

Tetapi sistem ini menyebakan United gagal mengancam.

Tiada Poket untuk Eden Hazard

Anda pasti masih ingat bagaimana Mourinho menyekat Chelsea dengan merantai pergerakan Hazard pada musim lalu.

Ideanya ialah dengan mengarahkan Ander Herrera mengikuti gerakan pemain tersebut, dan tidak membenarkan Hazard bebas dengan bola.


Kali ini ia berbeza. Tidak ada man marking khusus oleh mana-mana pemain United terhadap pemain antarabangsa Belgium itu.

Tetapi 3 kali dikasari di dalam tempoh 15 minit, menunjukkan tumpuan tetap diberikan kepada pemain tersebut, setiap kali beliau memperolehi bola.

Apa yang dilakukan oleh United untuk menyekat Hazard?

Pertahanan United erus kompak, tanpa memberi banyak ruang.

Manchester United terus kompak, tanpa memberi banyak ruang untuk Hazard dan mana-mana pemain Chelsea.

Bagaimana United menyerang?

Ketinggalan pada separuh masa pertama, United perlu lebih berani ke hadapan untuk memburu gol.

Seperti yang dinyatakan di atas, United memilih untuk melakukan serangan balas pantas dalam perlawanan ini.

Di dalam sistem Chelsea, dua bek sayap iaitu Marcos Alonso dan Azpilicueta akan cenderung untuk membantu serangan.

Ini sekaligus akan meninggalkan ruang yang banyak di belakang, dengan hanya Rudiger dan David Luiz di bahagian pertahanan.

Kerana itulah Martial dan Rashford sering berada di wide area ketika menyerang. Itulah ruang yang boleh dieksploitasi dalam serangan balas oleh United.

Gol kedua Manchester United oleh Martial adalah bagaimana ruang di sebelah kanan telah digunakan oleh serangan balas United secara berkesan.

Apa masalah United?

Manchester United jelas mempunyai masalah ketika bertahan.

Mereka mampu menjaga ruangan yang baik, tetapi lemah ketika melakukan man marking.

Gol pertama Chelsea adalah disebabkan kekeliruan yang berlaku di antara Lindelof dan Paul Pogba.

Man United gagal melakukan man-marking berkesan.

Perhatikan bulatan kuning itu. Sebelum sepakan penjuru oleh Chelsea, Rudiger berjaya melarikan diri dari kawalan Pogba.

Lindelof sepatutnya terus meninggalkan Luiz untuk dikawal oleh Pogba, dan terus menjejaki Rudiger.

Tetapi salah faham ini menyaksikan Pogba mustahil untuk melakukan kawalan terhadap Rudiger.

Pertahanan United jelas mempunyai isu dengan man-marking, khususnya ketika bertahan dari ancaman set-pieces dan bola tinggi.

David Luiz lolos dari pemain pertahanan Man Utd.

Lakaran di atas adalah salah satu contoh bagaimana David Luiz hampir-hampir menjaringkan gol dari gerakan sepakan penjuru oleh Chelsea.

Bukti man marking lemah oleh pertahanan United.

Ini adalah satu lagi contoh man marking lemah oleh United sejurus sebelum gol penyamaan di minit akhir. Perhatikan dua pemain Chelsea bebas di hadapan gawang yang dikawal David de Gea.

Barkley turut lolos.

Lindelof yang sepatutnya mengawal Barkley turut gagal melakukan man-marking berkesan, untuk gol kedua Chelsea.

Rumusan

United mungkin berjaya menyekat Sarri-Ball, dan hampir memenangi perlawanan. Tetapi mereka dihukum kerana kelemahan bahagian pertahanan.

16 gol dari 9 perlawanan, adalah indikasi jelas Mourinho perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki bahagian pertahanan. Dalam perlawanan ini, man marking adalah isu utama.

Manakala penyerang Chelsea seperti Morata atau Giroud perlu memberikan lebih banyak impak kepada bahagaian serangan, agar serangan Chelsea tidak tertumpu kepada pemain tengah serangan seperti Hazard, Barkley atau Willian semata-mata.

Dalam perlawanan ini, kami berpendapat Mourinho mengatasi Sarri dalam tactical battle. Tidak hairanlah mengapa beliau emosi di akhir perlawanan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN