Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis Taktikal: Chelsea Menyusahkan Liverpool Dengan ‘Fluiditi’ Namun Ada Isu Disiplin Taktikal

Liverpool menang Piala Super Eropah selepas menewaskan Chelsea dalam penentuan sepakan penalti.

Secara umumya, perlawanan ini berakhir seri 2-2. Ia rumusan terbaik kepada aksi kedua-dua pasukan ini.

Perlawanan ini akan memberikan banyak pengajaran kepada kedua-dua pasukan. Kelebihannya, pengajaran itu diambil daripada perlawanan seawal ini.

Improvisasi Chelsea

Anda perlu baca analisis perlawanan Manchester United vs Chelsea – dalam perlawanan pembukaan EPL – di mana The Blues tewas 4-0. Jika anda sudah membaca artikel itu, anda akan mendapati isu yang kami gariskan adalah isu bertahan Chelsea.

Beberapa perkara yang mereka sangat lemah dalam aksi pertama adalah, ruang yang besar, tak kompak ketika bertahan. Barisan tengah tidak melindungi bek berempat dengan lebih baik. Dan yang ketiga adalah isu pemain sayap malas untuk turun bertahan.

Di dalam aksi Chelsea menentang Liverpool ini, anda akan dapati kesemua aspek itu diperbaiki. Jadi perkara ini bukan masalah untuk Chelsea, mereka hanya fokus kepada aspek ketika bertahan untuk persediaan perlawanan ini.

Secara bertahan, Chelsea menekan Liverpool dengan segera di garisan tinggi. Liverpool sukar untuk menggerakkan bola melalui bahagian tengah. Chelsea menggunakan formasi 4-3-3 dengan meletakkan Kante-Jorginho-Kovacic di tengah.

Ketika dalam perlawanan Kante dan Jorginho banyak berada di hadapan pertahanan berempat dan Kovacic lebih dalam keadaan ofensif. Ini menampakkan bentuk taktikal dalam beberapa fasa mereka seperti 4-2-1-3 ataupun 4-2-3-1.

Liverpool sangat banyak hilang bola di tengah. Taktikal Jurgen Klopp adalah melalui gerakan berpasukan tanpa ‘bypass’ bahagian tengah. Apabila ini berlaku, Liverpool terputus sumber kepada penyerang bertiga.

Lihat laporan pintasan dilakukan oleh kedua dua pasukan. Chelsea (biru) banyak memintas bola di bahagian tengah daripada 22 keseluruhan.

Chelsea adalah pasukan yang ada keberanian yang tinggi untuk menggerakkan bola dengan sangat cepat di zon serangan. Perkara itu mereka turut lakukan dalam perlawanan menentang Man. United – dengan beberapa pemain muda.

Kali ini mereka kekalkan elemen itu dengan menggunakan pemain lebih berpengalaman seperti Giroud, Kante dan juga Pulisic.

Peranan Kante

Ini merupakan masalah utama Liverpool sama ada ketika beliau bertahan atauapun menyerang. Ini mungkin antara aksi terbaik Kante sebagai box to box midfielder.

Beliau menjadi pemain paling banyak menghancurkan gerakan Liverpool dan pada masa sama pemain tengah paling banyak mencetuskan gerakan bahaya di zon serangan.

Kredit kepada Frank Lampard dalam isu ini. Musim lalu Kante dijadikan sebagai no.8 secara tetap. Namun dalam perlawanan ini beliau sangat dinamik, mirip kepada box to box klasik.

Lampard mahu mendapatkan yang terbaik daripada Kante ketika bertahan dan pada masa yang sama mahu menggunakan tenaga yang ada pada Kante untuk memacu (drive) mereka ke hadapan.

Peranan Kante musim lepas yang diberikan Sarri telah banyak membantu pemain ini meningkatkan kualiti ofensif beliau. Cuma perlu mempelbagaikan lagi kualiti hantaran untuk mencipta peluang secara terus. Ini penjelasan Lampard tentang peranan Kante malam itu.

Permainan kombinasi dan larian taktikal Chelsea

Chelsea mengancam Liverpool dengan permainan kombinasi yang sangat baik. Mereka juga banyak melakukan larian lewat mengatasi pertahanan lawan. Lihat salah satu contoh permainan kombinasi mereka yang berjaya menghasilkan gol.

Chelsea sangat fluid di zon serangan dan banyak melakukan larian dan hantaran yang mengelirukan lawan.

Liverpool banyak kali diatasi dengan larian lewat ini di garisan pertahanan sangat tinggi.

Disiplin taktikal

Ini adalah perkara yang harus digariskan Chelsea. Ketika menyerang para pemain mereka kurang disiplin berhadapan dengan pertahanan Liverpool yang berdisplin dalam menetapkan garisan ofsaid.

Chelsea terlalu banyak ofsaid dalam perlawanan ini. Apabila ini berlaku, ada 3 perkara harus anda kaji kembali – mana satu yang krtitikal.

1. Larian terlalu awal

2. Hantaran terlalu lambat

3. Pemain tidak kembali ke garisan dengan segera apabila terlajak

Daripada pemerhatian kami, Chelsea ada kesemua 3 masalah itu. Maksud kami adalah pada kadar yang sama tinggi.

Misalnya, pemain mereka kerap malas untuk kembali ke posisi onside apabila sudah terlajak dan menunjukkan riak kecewa kerana tidak mendapat bola.

Untuk isu nombor 1 dan nombor 2, ia memerlukan Chelsea lebih banyak latihan taktikal agar para pemain terhubung sebaik mungkin, di antara pelepasan hantaran dan juga larian.

Taktikal Liverpool

Liverpool bermasalah dengan cengkaman di tengah. Pada awal separuh masa kedua, mereka memasukkan Roberto Firmino. Pemain itu terus memberikan impak.

Ini kerana Firmino bermain peranan 9 jadian dengan sangat baik dengan menghubungkan 2 garisan di zon serangan.

Liverpool banyak menggunakan gerakan di bahagian sayap untuk mengatasi kegagalan mereka untuk melalui bahagian tengah.

Liverpool memiliki kualiti pemain sayap yang sangat baik terutama sekali ketika mereka menggunakan Mane dan Salah sebagai pemain sayap – ketika Firmino dimasukkan.

Liverpool membina serangan menerusi blok rendah dan Fabinho menjadi pemain penting dalam fasa ini.

Seterusnya, Liverpool akan sentiasa memberikan masalah kepada Chelsea ketika ‘counter pressing’. Mereka kerap membuatkan Chelsea panik. Dan Lampard kemudian mengarahkan para pemainnya untuk tidak terlalu cuba melepasi counterpressing itu dengan bermain di zon belakang. Banyak hantaran terus ke serangan dibuat selepas itu pada fasa binaan serangan.

Isu taktikal Liverpool

Chelsea telah mendedahkan kelemahan utama Liverpool. Apabila pasukan ini gagal mendapat rentak di tengah mereka akan bermasalah. Ini kerana, 2 bek sisi mereka cepat naik, ketika mereka hilang bola di tengah, Chelsea secara terus menekan ruang itu dan melancarkan ancaman.

Dari segi perlindungan kepada pertahanan, tengah bertiga Liverpool tidak sebaik Chelsea. Milner dan Henderson ada isu dengan jarak yang jauh dengan Fabinho. 3 pemain ini kurang ‘melekat’ antara satu sama lain.

Kesannya Liverpool tidak memiliki platform yang baik untuk mengalirkan bola melalui tengah. Lihat laporan peta hantaran ini. Anda dapati bahagian tengah Chelsea berjaya meneutralkan pengaruh Liverpool di tengah.

Rumusan

Perlawanan ini adalah gambaran terbaik bahawa Frank Lampard dan Chelsea melakukan analisis dan latihan tambahan untuk memperbaiki kelemahan mereka ketika perlawanan pertama EPL.

Mereka memperbaiki aspek pertahanan dan juga ketajaman di hadapan gol. Dalam perlawanan pertama EPL, Chelsea sangat baik ketika menyerang dengan banyak gerakan fluid tetapi tiada penyudah.

Kedua dua pasukan boleh dikatakan seimbang dengan menyentuh bola 957 untuk Liverpool dan 926 untuk Chelsea.

Dalam perlawanan ini, Chelsea lebih baik ketika bertahan dan mematikan serangan balas berbanding dengan perlawanan sebelum ini.

Cuma, mana-mana pasukan akan berhadapan masalah berhadapan dengan serangan bertiga Liverpool, terutama sekali apabila Firmino dalam prestasi terbaik.

Untuk Liverpool, mereka bermain garisan tinggi dengan baik dan banyak memerangkap para pemain Chelsea dengan ofsaid. Namun Liverpool terlalu banyak hilang bola di tengah pada fasa mereka menolak pemain naik ke atas. Kesannya, ruang besar tercipta dan Chelsea mengancam mereka secara langsung.

Pemain terbaik pilihan SemuanyaBOLA
N’golo Kante (Chelsea)