Analisis Taktikal: Chelsea Masih Jauh Daripada Siap, Man. City Memanipulasi Ruang

Perlawanan Perisai Komuniti 2018/19 telah dimenangi oleh Manchester City dengan jaringan 2-0. Kami bawakan analisis daripada kaca mata kami.

Sistem high pressing Chelsea

Chelsea tampil dengan gaya permainan Maurizio Sarri. Namun masih banyak perkara yang mereka gagal laksanakan dengan lebih efektif.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Maurizio Sarri mengakui pasukan beliau masih jauh daripada apa yang beliau mahukan. Sarri berkata:

“Kita ada idea untuk melakukan tekanan (press). Kadangkala kita melakukannya dengan betul dan kadangkala tidak betul. Kita mahu menguasai perlawanan hari ini tetapi gagal.”

“Saya tidak pasti berapa lama masa yang akan diambil untuk para pemain dapat menyesuaikan diri dengan taktikal ini.”

Daripada kenyataan Sarri ini jelas, masalah Chelea adalah kerap melakukan high pressing dengan cara yang tidak betul.

Jika mereka melakukannya dengan betul, Manchester City tidak akan terlalu selesa bermain di garisan rendah dengan penjaga gol mereka.

City kelihatan tidak panik ditekan oleh Chelsea. Apa yang pemain Chelsea lakukan, mereka menekan bola ataupun ball carrier tetapi mereka tidak menutup garis hantaran (passing lane).

Seterusnya, Chelsea agak lemah di rantaian tengah bertiga, Jorginho-Fabregas-Barkley boleh dikatakan ‘tidak bertahan’ secara unit.

Jorginho bukan pemain tengah defensif yang combative jadi beliau memerlukan 2 rakannya untuk memenangi bola dan dia akan melakukan perancangan (playmaking) daripada bawah sebagai no.6.

Ini adalah anatomi gol pertama di mana, barisan atas dan tengah Chelsea gagal untuk menekan ataupun mengganggu kelancaran aliran bola Man. City.

Dalam sistem high pressing amat penting pemain tengah membantu garisan serangan untuk ‘bertahan di kawasan lawan’ ataupun counterpressing, bagi mengurangkan bola lepas ke garisan pertahanan akhir.

Jika terlepas, anda dalam masalah berhadapan dengan pasukan seperti Chelsea, dalam keadaan garisan pertahanan anda yang tinggi. David Luiz sangat malas untuk ‘track back’ ataupun melakukan recovery run.

Serangan Manchester City

Untuk serangan pasukan Chelsea, kami rasa sukar untuk diulas kerana mereka memang ada isu no.9 mereka ‘isolated’ daripda sistem.

Untuk Manchester City, mereka melaburkan pemain secara 1 v 1 di ruang penting. Mahrez dan Sane akan menyerang 2 halfspace kiri dan kanan.

Manakala Walker dan Mendy akan memberikan kelebihan secara kuantiti di bahagian sayap apabila Alonso dan Azpilicueta cuba merantai Mahrez dan Sane.

Seperti yang kami nyatakan di atas, ruang tengah itu terlalu mudah untuk Phil Foden dan Bernardo Silva atasi. Mahrez akan kerap pergi ke zon Jorginho untuk menerima bola di kawasan itu.

Di bawah ini anda melihat, passing lane sangat terbuka dan dengan mudah Laporte membuat ‘killer pass’ kepada Foden.

Dan ia akan terus mewujudkan kelebihan kepada Man. City. Sane akan lebih di hujung sayap dan Mahrez lebih cepat ke half space.

Manchester City juga dilihat tidaklah terlalu intensif, tetapi ia kelihatan sudah cukup untuk memaksa Chelsea panik dan hilang bola di zon penting.

Ini antara masalah utama Chelsea dalam perlawanan ini, mereka kerap hilang bola dengan terlalu mudah dan membolehkan City melancarkan serangan balas segera.

Seterusnya Chelsea kerap gugup dan kurang tenang dalam fasa binaan serangan dari blok rendah. Rudiger dalam situasi di bawah ini boleh memilih menghantar bola kepada Azpilicueta ataupun ‘restart’ daripada bawah.

Namun dia terus melakukan hantaran panjang dan mudah dipatahkan Mancheste City.

Manchester City juga terlalu mudah untuk sampai ke garisan akhir pertahanan Chelsea kerana counterpressing Chelsea yang lemah di blok atas dan blok tengah.

Ia menyebabkan bek berempat mereka seringkali ditewaskan dengan mudah, mujur juga Caballero beraksi cemerlang. Ada persoalan yang mustahak ke atas kualiti David Luiz dalam sistem bek berempat Sarri. Adakah beliau boleh menjadi pemain penting?

Beliau jelas tak komited untuk mengejar ataupun melakukan ‘recovery run’.

Rumusan

Manchester City dilihat sangat sudah bersedia dengan musim baharu walaupun tanpa beberapa tonggak penting.

Perlawanan ini akan menjadi rujukan penting kepada Maurizio Sarri. Ia memberikan reality check kepada Chelsea dalam banyak situasi.

Pertamanya, bagaimana mereka mahu membentuk tengah bertiga yang boleh bermain sebagai unit. Kehadiran Kante sangat penting tetapi siapakah seorang lagi yang akan menjadi trio kepada Kante dan Jorginho?

Seterusnya, Alonso dan David Luiz seperti tidak tahu cara bermain bek berempat. 2 pemain ini juga dalam senarai semak penting untuk dipersiapkan dalam beberapa hari ini.

Luiz adalah calon terbaik untuk menjadi pemain seperti mana Koulibaly di Napoli. Pemain yang akan melakukan hantaran kunci ke zon hadapan.

Isu penjaga gol juga sangat penting, mereka pastinya menagih kehadiran Courtois yang tak pasti masa depan beliau macamana. Jika Courtois kekal sekalipun, beliau masih perlu banyak latihan tambahan untuk menjadi asas binaan di belakang.

Dalam beberapa situasi musim lalu, Courtois kerap panik bila ditekan dan dia bukannya ball playing keeper seperti Reina di Napoli.

Seterusnya, Alvaro Morata juga perlu membuktikan kualiti dirinya dalam pasukan ini selepas mendapat pujian Sarri dalam pra musim kali ini.

Sarri menggariskan beliau hilang beberapa pemain utama yang masih bercuti. Namun bagi kami, ia bukan alasan pemain pilihan kedua tidak memberikan aksi lebih baik. Misalnya Ross Barkley yang gagal memahami kehendak taktikal dalam perlawanan ini.

Yang pasti Chelsea jelas dalam proses pertukaran kepada sistem high pressing football dalam Sarriball.

Segalanya akan mengambil masa. Bak kata Sarri, cuma isu sekarang cepat atau lambat pemain dapat beradaptasi dengan sistem ini.

Pemain terbaik pilihan SemuanyaBOLA

Aguero (Manchester City)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN