Analisis Taktikal Bayern Munich 5-1 Arsenal (UEFA Champions League 2015/2016)

Bayern Munich mengotakan janji mereka bahawa mereka akan ‘menunjukkan Bayern yang sebenar’ di Allianz Arena selepas membelasah Arsenal 5-1.

Ia adalah perlawanan yang secara keseluruhannya didominasi oleh Bayern Munich. Tetapi Arsenal tetap berbahaya ketika naik menyerang terutamanya pada separuh masa kedua.

1. Apa perubahan taktikal yang dilakukan oleh Pep Guardiola dalam perlawanan ini?

Pep Guardiola membuat 2 pertukaran kepada kesebelasan utamanya yang tewas 0-2 di Emirates Stadium. Kingsley Coman dan Javi Martinez menggantikan Juan Bernat dan Arturo Vidal.

Perubahan 1: Robert Lewandowski bermain seperti pemain no.9 sebenar

Ini adalah perubahan paling ketara yang kami kesan pada 15 minit pertama perlawanan.

Jika dalam perlawanan di Emirates Stadium, Lewandowski banyak turun ke zon tengah untuk menerima bola, dalam perlawanan perlawanan ini beliau banyak menghabiskan masanya di kawasan final third Arsenal – seperti penyerang sebenar.

Perubahan 2: Lebih banyak larian overlapping dan underlapping dibekalkan oleh bek kanan dan kiri Bayern

Kami menjelaskan dalam analisis taktikal kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Bayern sebelum ini, bahawa punca kesukaran Bayern menembusi pertahanan Arsenal walaupun mendominasi penguasaan bola adalah – ketiadaan larian overlapping daripada bek kanan dan kiri Bayern.

Tetapi dalam perlawanan ini, bek kanan Bayern, Philip Lahm beberapa kali melakukan larian overlapping sehingga mendedahkan Natxo Monreal terhadap situasi 2v1.

bayernarse19

Pada mulanya, Mesut Ozil ada melakukan larian tracking back untuk membantu dan mengelak Monreal daripada berhadapan dengan situasi 2v1 dengan Douglas Costa dan Lahm.

Tetapi lama-kelamaan keletihan kedua-dua pemain ini jelas kelihatan. Sebaik sahaja serangan Arsenal gagal, Ozil dan Alexis lambat melakukan larian tracking back dan memberikan perlindungan kepada Monreal.

Ini menyebabkan Bayern dapat mencipta sekurang-kurangnya 4 situasi 2v1 di kawasan Monreal pada minit 29′, 31′, 42′ dan 70′. Peluang pada minit 29′ itu menghasilkan gol ke-2 Bayern.

Bukan sahaja larian overlapping, pemain Bayern sangat fleksibel sehinggakan mereka juga mampu membuat larian underlapping. Apa itu larian underlapping? Kami berikan Pat Nevin daripada BBC untuk menjelaskannya.

Belum sampai seminit Robben masuk pada separuh masa kedua, Costa memberi hantaran ke laluan larian underlapping Alaba.

bayernarse21

Larian ini langsung tak dijangka oleh Joel Campbell. Alaba mudah untuk membuat hantaran lintang dari sebelah kiri yang disudahkan dengan baik oleh Robben untuk gol ke-4 Bayern pada minit 55′.

Perubahan 3: Mueller kembali bernyawa

Antara isu yang kami bangkitkan dalam analisis taktikal kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Bayern sebelum ini, adalah Thomas Mueller yang langsung ‘senyap’ sepanjang perlawanan.

Tetapi tidak dalam perlawanan ini.

Dengan adanya Costa di sayap kanan dan Lahm yang naik menyokong serangan, Mueller dapat berfungsi sebagai ramdeuter.

Hasilnya Mueller dapat menjaringkan gol ke-2 Bayern.

bayernarse18

Apabila Arsenal semakin galak menyerang pada separuh masa kedua, Mueller memanfaatkan larian solo Costa untuk menyudahkan serangan balas dan menjaringkan gol ke-5 Bayern.

Perubahan 4: Alaba – 2 pemain dalam satu pakej.

Dengan Alaba yang bermain di posisi bek kiri, Bayern mempunyai kelebihan yang sangat besar.

Pertama Alaba sendiri berpengalaman bermain di posisi tersebut. Kedua, Guardiola dapat memanfaatkan kemahiran teknikalnya. Contohnya kemahiran rembatan jauh yang dilakukannya untuk gol ke-3 Bayern.

Tak keterlaluan untuk kami mengatakan Alaba adalah antara pemain paling lengkap dan versatil di dunia ketika ini.

2. Mengapa Alaba penting dalam perlawanan ini?

Pep Guardiola adalah antara jurulatih yang mempopularkan konsep false nine dan false ten ketika di Barcelona.

Baca: Pengenalan Kepada Taktik False Ten

Secara ringkasnya, false nine bermula dari posisi pemain no.9 (posisi penyerang) tetapi berubah ke posisi lain apabila pasukannya mempunyai penguasaan bola.

False ten pula bermula dari posisi pemain no.10 (posisi central attacking midfielder) tetapi berubah ke posisi lain apabila pasukannya mempunyai penguasaan bola.

Secara asasnya, tugas Alaba juga mempunyai persamaan dengan dua tugas di atas. Cuma Alaba bermula dari posisi pemain no.3 (posisi bek kiri) tetapi berubah ke posisi pemain no.10 (posisi central attacking midfielder) apabila pasukannya mempunyai penguasaan bola.

bayernarse2

bayernarse4

Adakah posisi Alaba ini perlu dipanggil sebagai false three?

Dengan Alaba, Bayern seolah-olah mempunyai 2 pemain dalam satu pakej. Mereka mempunyai bek kiri dan tambahan satu pemain tengah.

3. Mengapa Guardiola memerlukan Alaba di tengah?

Perubahan posisi Alaba ketika Bayern mempunyai penguasaan bola dan tidak, membawa satu lagi persoalan: kenapa Guardiola mahu Alaba bermain di tengah?

Melihatkan Arsenal yang mempunyai 3 pemain tengah (Cazorla, Coquelin, Ozil), Guardiola memerlukan 4 pemain di zon tengah untuk mencipta situasi 4v3 di tengah dan mendominasi penguasaan bola.

Ketika di Emirates Stadium, Guardiola mencuba Lewandowski. Sebab itulah Lewandowski kerap turun ke zon tengah untuk menerima bola. Hasilnya Bayern mudah menguasai bola.

Tetapi ia serangan Bayern tumpul dan pertahanan Arsenal selesa. Tanpa Lewandowski di kotak penalti Arsenal, Bayern tiada outlet untuk menyerang dari tengah.

Jadi bagaimana Guardiola memastikan ada 4 pemain di tengah tanpa mengorbankan potensi sebenar Lewandowski? Beliau mengarahkan Alaba bermain di tengah. Dengan Alaba di tengah, Bayern berjaya mencipta situasi 4v3 di tengah.

bayernarse8

4. Jika Alaba naik menjadi attacking midfielder, siapa yang melindungi kawasan kiri Bayern?

Ketika Alaba naik menjadi attacking midfielder, Thiago adalah pemain yang ditugaskan untuk melindungi kawasan kiri Bayern.

Thiago cemerlang dalam tugas ini. Beliau berjaya melakukan 7 tackles dan 5 interceptions!

bayernarse9

5. Apa pula pelan taktikal Arsene Wenger?

Arsenal jelas berpegang kepada pelan taktikal mereka semasa kemenangan 2-0 di Emirates Stadium. Melaksanakan deep, compact defending dan memaksa Bayern menyerang melalui kawasan sayap.

Strategi ini berkesan untuk mengatasi kekurangan mereka di tengah (kerana situasi 4v3).

Cazorla dan Coquelin pula sentiasa berdisiplin untuk mengekalkan bentuk kompak dan padat Arsenal. Strategi ini mungkin menyebabkan Thiago dan Xabi Alonso bebas daripada tekanan dan mempunyai ruang dan masa yang banyak untuk memegang bola.

Tetapi Bayern masih tak dapat menyerang dari tengah. Kecuali pada minit 29′.

Bola hantaran Thiago ke Lewandowski dari tengah boleh termasuk perangkap ofsaid Arsenal jika tidak kerana kesilapan Gabriel. Akibatnya, Bayern memperoleh gol pertama mereka.

bayernarse1

Satu lagi gol Bayern yang dicipta dari tengah, berpunca daripada kualiti individu Alaba. Kekuatan fizikal Alaba membolehkannya merampas bola daripada Cazorla di tengah sebelum melepaskan rembatan jauh untuk gol ke-3 Bayern.

6. Perubahan taktikal Arsenal pada separuh masa kedua

Pada separuh masa kedua, Arsenal tampil lebih positif. Tempo hantaran dilajukan. Transisi fasa pertahanan ke fasa serangan mereka juga dilajukan. Mereka juga sudah mula meninggikan garisan defensif mereka.

Hasilnya Arsenal hampir-hampir berjaya menjaringkan gol pada minit 56′. Malangnya rembatan jarak dekat Cazorla tepat ke arah Manuel Neuer.

Arsenal berjaya juga menjaringkan gol melalui Olivier Giroud pada minit 69′. Tetapi mereka perlu berterima kasih kepada kesilapan Mehdi Benatia yang leka sehingga menggagalkan penrangkap ofsaid Bayern.

bayernarse24

Bagaimanapun garisan defensif Arsenal yang tinggi membolehkan Mueller menambah gol keduanya. Midfield Arsenal yang jelas nampak penat gagal menghalang larian solo Costa di tengah.

Larian Costa disudahi oleh hantaran ke arah Mueller yang tiada masalah untuk menambah gol ke-5 Bayern.

Baca juga: Analisis Taktikal Arsenal 2-0 Bayern Munich (UEFA Champions League 2015/2016)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN