Analisis Taktikal Arsenal 2-0 Bayern Munich (UEFA Champions League 2015/2016)

Salah seorang penulis kami, Axello Tacts telah membuat analisisnya sendiri untuk perlawanan ini di fanpage nya.

Jadi kami ingin mengambil pendekatan berbeza untuk menganalisis taktikal kedua-dua pasukan dalam perlawanan ini.

Daripada menganalisis perlawanan ini secara umum, kami ingin menjawab 5 soalan popular yang pasti akan ditanya oleh peminat bola sepak yang menonton 90 minit perlawanan ini.

1. Mengapa Bayern Munich berjaya mendapat sehingga 69% penguasaan bola?

Arsenal bermula dengan sistem dan formasi kebiasaan, 4-2-3-1/4-4-1-1.

Menentang majoriti pasukan di England, Arsenal biasanya akan boleh mendapat sehingga lebih 60% penguasaan bola.

Tetapi ketika menentang Bayern semalam, Arsenal hanya memperolehi 31% penguasaan bola. Mengapa?

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu berbalik kepada peristiwa kekalahan 0-6 Arsenal kepada Chelsea di Stamford Bridge dan 1-5 kepada Liverpool di Anfield dalam musim liga 2013/2014.

Dalam 2 perlawanan ini, Arsenal sentiasa lapar untuk memburu penguasaan bola.

Mereka bermain dengan garisan defensif yang tinggi. Pantas memberikan tekanan kepada pemain lawan.

Tetapi mudah dihukum Chelsea dan Liverpool dalam serangan balas.

Sejak 2 kekalahan memalukan ini, Arsene mula menyediakan pelan B untuk pasukannya. Pelannya adalah: berikan bola kepada pasukan lawan.

Minit 1′ – 25′

Pada 25 minit pertama, Arsenal kerap memberikan tekanan (pressing) kepada pemain Bayern yang mempunyai bola, terutamanya Ozil dan Alexis.

Ozil dan Alexis kerap kali meninggalkan posisi mereka untuk memberikan tekanan kepada Jerome Boateng dan Xabi Alonso. Siapa kata Ozil malas?

Alexis juga kerap kali dilihat memberi isyarat tangan kepada Aaron Ramsey, Santi Cazorla dan Francis Coquelin untuk naik memberikan tekanan kepada pemain Bayern.

arsenal1

Sistem pressing Arsenal vs sistem pressing Bayern a.k.a gegenpressing

Tetapi tekanan (pressing) yang diberikan oleh Ozil dan Alexis tidak membawa apa-apa masalah kepada Bayern kerana Coquelin dan Cazorla tidak menyokong tekanan mereka.

Sebaliknya Coquelin dan Cazorla lebih memilih untuk kekal kompak dan padat untuk melindungi Per Mertesacker dan Laurent Koscielny di tengah.

Jika kita bandingkan tekanan yang dibuat oleh Arsenal dengan Bayern, Bayern nyata lebih efektif.

Sistem tekanan Bayern (dipanggil gegenpressing atau counter-pressing) dilaksanakan oleh semua pemain Bayern. Bukan seorang dua sahaja seperti Arsenal.

Arsenal sukar mengeluarkan bola dari kawasan kubu mereka apabila gegenpressing Bayern berfungsi.

Itulah sebabnya Bayern memiliki sehingga 70% penguasaan bola pada 25 minit pertama.

arsenal4

Hanya sekali sahaja sistem gegenpressing Bayern tidak menjadi. Ia berlaku pada minit 32′.

Entah macam mana, Alexis yang dikepung oleh 5 pemain Bayern berjaya melepasi gegenpressing Bayern.

Ini menyebabkan Ozil dan Monreal secara tiba-tiba mempunyai ruang di sebelah kiri.

Monreal membuat hantaran lintang kepada Walcott yang menunggu di dalam kotak penalti.

Tetapi seperti Alexis, Manuel Neuer juga istimewa. Entah macam mana, beliau berjaya menyelamatkan tandukan Walcott.

Minit 25′ dan seterusnya

Selepas minit ke 25′, Arsenal sudah mula mengurangkan tekanan kepada pemain Bayern yang mempunyai bola.

Sebaliknya mereka lebih berminat untuk mengekalkan struktur defensif mereka.

4 pemain tengah dan 4 pemain pertahanan Arsenal membentuk 2 blok defensif yang kompak dan padat.

arsenal3

Pertukaran strategi pertahanan ini menyebabkan Bayern lebih selesa memegang bola.

Tetapi ia membuatkan pertahanan Arsenal menjadi lebih kukuh. Terutamanya di tengah, kawasan 2 pemain Bayern paling berbahaya – iaitu Thiago dan Vidal – beroperasi.

Malah kebanyakan hantaran yang dilakukan oleh Alonso, Boateng dan Alaba adalah hantaran ke tepi (sideways) yang tak berbahaya.

Ketika ini, Ozil dan Alexis dilihat telah bertukar posisi. Kami tak pasti sama ada ia arahan Wenger atau dirancang oleh mereka sendiri.

Tetapi ketika ini, Alexis dilihat lebih banyak berlegar di tengah. Ozil pula di sebelah kiri.

arsenal5

2. Mengapa Bayern mudah diserang balas oleh Arsenal? Bukankah mereka dah buat gegenpressing?

Untuk menjawab soalan ini, anda perlu tahu kekuatan Arsenal:

  • Boleh passing dengan tempo yang tinggi (laju).
  • Mempunyai pemain yang laju seperti Walcott, Alexis, Ozil, Bellerin dan Monreal.

2 kekuatan ini jika diaplikasikan dalam taktikal serangan balas (counter attack), ia mampu merobek mana-mana sistem pertahanan pasukan.

Dengan pemain-pemain yang mempunyai kualiti teknikal yang tinggi, Arsenal boleh passing dengan tempo yang laju.

Jika anda melaksanakan strategi sama kepada pemain yang lemah teknikalnya, counter attack pasukan anda akan gagal dengan sendirinya.

Kemudian dengan pemain yang laju, Arsenal boleh membuat hantaran ke ruang di belakang Boateng dan Alaba.

Sebab itulah Wenger memilih Walcott sebagai penyerang pilihan utamanya.

Dan melalui kelajuan Bellerin, beliau dapat melancarkan serangan balas dan membolehkan Arsenal mendapat gol kedua.

3. Mengapa Robert Lewandowski dan Thomas Mueller ‘senyap’ dalam perlawanan itu?

Jawapan kepada soalan ini ada kena-mengena dengan gambar di bawah.

Robert-Lewandowskis-touches-Most-of-them-are-far-away-from-the-box

Gambar di atas menunjukkan posisi Lewandowski ketika menerima bola daripada rakan sepasukannya.

Seperti yang anda dapat lihat, kebanyakan hantaran yang diterima oleh Lewandowski adalah di luar kotak penalti.

Sedangkan beliau adalah penyerang klasik. Pemain no.9 klasik. Bukannya false nine.

Dalam teori taktikal, false nine sentiasa bermain dengan false ten. Dan dalam perlawanan ini, siapa yang menjadi false ten Bayern? Kami memperkenalkan kepada anda: Arturo Vidal.

arsenal6

Pada pendapat kami, Guardiola mungkin mahu mengelirukan Mertesacker (sama ada untuk mengawal Lewandowski atau Vidal). Tetapi kredit kepada Mertesacker kerana tidak termakan dengan muslihat Guardiola.

Mueller pula terpinggir di sayap sebelah kanan. Di antara semua pemain Bayern yang bermain 90′, Mueller adalah pemain yang menerima pass paling sedikit, iaitu 32.

Mengapa Mueller menerima pass paling sedikit? Kami akan jawab dalam soalan ke-4 kerana ia ada kena-mengena dengan punca Bayern sukar menembusi pertahanan Arsenal.

4. Apakah punca Bayern sukar tembus pertahanan Arsenal?

Satu aspek serangan yang jarang dieksploit oleh Bayern dalam perlawanan itu adalah serangan melalui kawasan sayap.

Ya, Bayern banyak menggunakan servis Douglas Costa untuk menyerang melalui kawasan sayap. Ya, Costa beberapa kali menewaskan Hector Bellerin dalam situasi 1 lawan 1.

Tetapi kekurangan larian overlapping daripada Juan Bernat di sebelah kiri dan Philip Lahm (kemudian Rafinha) di sebelah kanan menyebabkan pertahanan Arsenal agak selesa.

Pertahanan yang kompak dan padat mungkin kebal daripada serangan dari tengah. Tetapi ia boleh dikucar-kacirkan dengan serangan melalui kawasan sayap.

Ia tidak menjamin gol. Tetapi sekurang-kurangnya ia mampu menguji kebolehan Mertesacker dan Koscielny bertarung di udara dengan Lewandowski.

Dalam perlawanan tersebut, Bernat hanya membuat 2 hantaran lintang. Manakal Lahm hanya membuat 4 hantaran lintang. Kesemuanya berjaya dikeluarkan pertahanan Arsenal.

Kemudian, walaupun Costa banyak menewaskan Bellerin dalam situasi 1 lawan 1, kebanyakan hantaran lintang beliau tidak berkualiti dan mudah ditangani oleh pertahanan Arsenal.

Kami berpendapat kekurangan serangan daripada kawasan sayap dan larian overlapping daripada Bernat dan Lahm membuatkan Bayern sukar menembusi pertahanan Arsenal.

Itu juga punca mengapa Mueller sangat ‘senyap’ dalam perlawanan tersebut.

5. Apakah impak kemasukan Olivier Giroud?

Seperti yang kami beritahu tadi, penyerang seperti Giroud tidak sesuai bermain menentang pasukan yang boleh menguasai bola dan bermain dengan garisan defensif tinggi seperti Bayern.

Ini kerana Giroud tidak mempunyai kelajuan untuk mengeksploit ruang besar di belakang Boateng dan Alaba.

Tetapi dengan Giroud, Petr Cech akhirnya mempunyai outlet dan target yang boleh disasarkan daripada sepakan golnya.

Dari segi teori, Arsenal mungkin tidak mampu mengeksploit ruang di belakang Boateng dan Alaba lagi.

Tetapi dengan ketinggian dan kemahiran teknikal Giroud, Arsenal boleh menjadikan sepakan gol Cech sebagai cara untuk meredakan tekanan yang dihadapi jentera pertahanan mereka.

arsenal7

Malah kemasukan Giroud memberi ancaman udara (aerial threat) kepada sepakan percuma dan sepakan sudut Arsenal. Dan itulah cara Arsenal mendapat gol pertama.

Baca juga: Bagaimana Taktikal Bayern Munich Berfungsi?

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN