Ketika Andrew Robertson tiba di Anfield pada musim panas lalu, tidak ramai yang mengambil perhatian terhadap ketibaan pemain ini.
Malah rata-rata pemerhati agak skeptikal sama ada bekas pemain Hull City ini mampu memberikan impak di dalam kesebelasan utama Liverpool.
Namun selepas permulaan yang agak perlahan, bek kiri berusia 24 tahun ini berjaya mengambil alih posisi di sebelah kiri daripada Alberto Moreno, dan menjadi pilihan utama Jurgen Klopp untuk Liverpool di posisi tersebut.
Aset serangan pasukan
Musim lalu posisi tersebut sering diisi oleh James Milner. Ia adalah prestasi yang baik dari Milner mengambilkira 56 peluang yang dicipta oleh pemain ini di EPL pada musim lalu.
Namun untuk seorang yang berkaki kanan dan beraksi di posisi bek kiri, ia bukan sesuatu yang ideal. Ia memaksa Milner untuk melakukan perubahan posisi badan untuk membenarkan beliau menghantar bola lintang dengan kaki kanan.
Tanpa seorang bek kiri yang memiliki keupayaan kaki kiri semulajadi, ini bermakna Liverpool memiliki penetration yang rendah dari bahagian sisi (width) terebut.
Minat oleh Klopp untuk medapatkan Robertson adalah logik. Robertson adalah seorang bek kiri moden yang tidak rigid di satu posisi.
Robertson adalah pemain yang akan berlari sepanjang 90 minit untuk bertahan, dan kemudian menyerang sekaligus memberikan fluidity kepada gerakan pantas yang sering diperagakan oleh Liverpool dalam serangan. Kehadiran pemain ini pasti akan memberi dimensi baharu kepada corak permainan Liverpool berbanding pilihan sebelum ini.
Musim lalu Robertson merekodkan 26 situasi satu lawan satu di peringkat liga dengan kadar kejayaan 62%. 19 peluang turut dicipta dari posisi bek sayap oleh pemain ini, dengan 10 daripadanya dicipta di kawasan pertahanan lawan.
Dua daripadanya menghasilkan bantuan gol untuk pasukan lamanya, Hull City. Statistik ini mungkin kurang memberangsangkan berbanding pemain bek sayap kiri yang lain di EPL. Namun secara teori, statistik ini akan meningkat jika Robertson beraksi dengan pasukan yang memiliki penguasaan bola yang lebih tinggi.
Untuk rekod, Hull City adalah pasukan ke-16 terendah dengan penguasaan bola di EPL pada musim lalu.
Aspek pertahanan
Sepertimana bek sayap moden pada hari ini, aksi Robertson adalah lebih cemerlang ketika melakukan serangan. Namun ini tidak bermakna pemain ini adalah liabiliti di zon pertahanan miliknya. Inilah kelemahan Alberto Moreno pada musim lalu.
Musim lalu Robertson merekodkan 97 clearance dan 55 intercept, selain daripada 36 terjahan berjaya bersama Hull City.
Penyokong Liverpool tentu gembira untuk mendengar bahawa Robertson turut tidak melakukan sebarang kesilapan pertahanan (defesive error) sepanjang musim lalu.
Musim 2017/18
18 perlawanan di Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk Liverpool setakat ini membuktikan pemain antarabangsa Scotland ini mulai menjadi pilihan utama Klopp.
Kecemerlangan di dalam kemenangan 4-3 ke atas Manchester City pada Januari lalu membuktikan Robertson mampu beraksi di tahap tertinggi.
Highlight of the game was probably Andy Robertson closing down the opposition left centre back. pic.twitter.com/4y7CWCcZbF
— James Nalton (@JDNalton) January 14, 2018
Dalam perlawanan tersebut, Robertson berjaya merantai pergerakkan Raheem Sterling sekaligus menyekat bola menuju Sergio Aguero untuk mengancam kubu pertahanan Liverpool.
Robertson bukan sahaja membantu memperkuatkan pertahanan Liverpool yang longgar di awal musim.
Selain daripada tugas pertahanan, Robertson juga merupakan seorang pemain bek kiri dengan peranan pemain sayap yang mempunyai profail yang sepadan dengan taktikal Klopp.
Kerja keras dan kesungguhan yang dipamerkan oleh pemain ini menjadikan Robertson sebagai aset penting dalam taktikal high pressing yang diterapkan pengendali dari Jerman itu.
Analisis taktikal
Mengapakah diperkatakan Robertson merupakan pemain dengan profail terbaik di posisi bek kiri untuk Liverpool?
Di dalam sistem 4-3-3 yang diamalkan oleh Klopp, gandingan pemain ini bersama Sadio Mane di sebelah kiri serangan adalah sesuatu yang mengujakan.
Ketika Robertson melakukan larian ke blok atas serangan, Mane akan lebih bebas untuk mengeksploitasi ruang di belakang Roberto Firmino dan Mohamed Salah.
Firmino yang merupakan seorang No.9 jadian di dalam sistem ini juga akan bergerak bebas untuk mengelirukan pertahanan lawan.
Kekeliruan oleh pertahanan lawan dalam variasi gerakkan serangan ini sering kali menghukum pertahanan lawan.
Satu lagi aspek di dalam taktikal ini yang menarik perhatian kami ialah peranan Jordan Henderson yang berperanan sebagai half-back sebagai sistem sokongan pertahanan Liverpool jika diserang balas.
Ini bermakna Robertson mempunyai profail yang ideal dan merupakan kepingan jigsaw yang sepadan di dalam pasukan Liverpool ini.
Statistik
Prestasi cemerlang Robertson bersama Liverpool turut boleh dilihat secara statistik.
Di dalam perlawanan liga, Robertson telah menghasilkan purata 1.1 hantaran utama (key pass) dengan peratus hantaran 86.6% dilengkapkan.
Robertson turut berjaya menghasilkan 3 bantuan gol setakat ini bersama Liverpool.
Aspek pertahanan juga menggambarkan pemain ini menunjukkan aspek peningkatan sesuai dengan keyakinan yang diperolehi dari perlawanan demi perlawanan yang dilaluinya.
Purata 2.1 clearance dan 1.4 tackles untuk setiap 90 minit perlawanan masih lagi rendah, tetapi adalah petunjuk pemain ini mampu melakukan tugas yang diberikan sebagai bek kiri pada musim pertama di Liverpool.
Pada usia 24 tahun, penulis percaya pemain ini mempunyai ruang untuk penambahbaikkan untuk menjadi bek sayap yang lebih baik pada masa hadapan.
Rumusan
Lupakan sebentar Mohamed Salah. Dengan nilai £8 juta, Andrew Robertson adalah pembelian paling berbaloi yang dilakukan oleh kebal Merseyside ini pada musim 2017/18.
Jika Salah adalah penjaring gol untuk Liverpool, kehadiran Robertson adalah untuk melengkapkan sistem taktikal Liverpool yang dinamik di bawah bimbingan Klopp.
Atau mungkin wajarkah penulis mengatakan: Siapalah Salah tanpa Robertson?