Analisis: Kontroversi Pengadil Suresh Jayaraman Di Perlawanan Akhir Piala Malaysia

Nama Suresh Jayaraman menjadi sebutan ramai pengikut bola sepak di negara ini selepas berakhirnya perlawanan akhir Piala Malaysia pada Sabtu lalu.

Perak TBG muncul juara, selepas berjaya menewaskan Terengganu FC melalui penentuan sepakan penalti.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas selesai masa tambahan dalam perlawanan mendebarkan penyokong kedua-dua pasukan.

Kontroversi

Bagi penyokong bola sepak yang neutral, ini adalah perlawanan akhir Piala Malaysia yang boleh dianggap epik dan menghiburkan.

Namun bagi penyokong Perak dan Terengganu, sudah pasti beberapa keputusan pengadil boleh dipersoalkan.

Enam gol dijaringkan selepas selesai masa tambahan, dua layangan kad merah, dua gol dibatalkan, gol sendiri minit akhir Igor Zonjic dan sudah tentu tarian luar biasa Landro Dos Santos dan Wander Luiz antara yang menjadi bualan hangat.

Oleh itu, kami cuba membincangkan beberapa keputusan kontroversi yang dilakukan oleh pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman dalam perlawanan ini.

Gol Leandro dos Santos

Ketika kedudukan masih lagi 1-0 memihak kepada Terengganu FC, gol penyamaan Perak hasil tandukan ke belakang oleh Leandro telah dibatalkan pengadil.

Rata-rata komen di media sosial bertanggapan ianya adalah jaringan yang sah oleh penyerang import dari Brazil itu.

Mari kita lakukan semakan satu berkenaan berdasarkan peraturan oleh FIFA.

Sumber: FIFA

Dari pandangan mata kasar, jaringan oleh Leandro pada minit ke-31 perlawanan dianggap sah. Namun pengadil mempunyai pendapat beliau tersendiri mengenai gol tersebut.

Walaupun sebelum itu beliau tampak seperti memberikan gol tersebut kepada Perak, Suresh membatalkan jaringan tersebut selepas mendapati penjaga gol Terengganu dikasari oleh pemain tersebut, sebelum jaringan dihasilkan.

Menurut peraturan FIFA seperti di atas, sebarang hadangan yang menghadkan pergerakan penjaga gol oleh pemain lawan adalah tidak dibenarkan. Walaupun mengambil contoh situasi dari sepakan penjuru, situasi jaringan Leandro juga tidak jauh bezanya.

Sumber: FIFA

Suresh juga pasti sudah mendapatkan pendapat pengadil kedua perlawanan yang berada di belakang gol dan lebih dekat untuk melihat situasi tersebut sebelum mengambil keputusan tersebut.

Secara keseluruhan, pembatalan gol tersebut adalah mengikut operasi standard oleh FIFA. Akan ada juga pengadil yang akan memberikan jaringan di dalam situasi tersebut, jika mereka berpendapat saingan yang diberikan oleh Leandro sebagai munasabah.

Gol Gilmar dibatalkan akibat offside

Selain daripada gol oleh Leandro, Perak juga mempunyai satu lagi jaringan yang dibatalkan pengadil kerana penjaring gol, Gilmar Da Silva terlebih dahulu berada di dalam posisi offside.

Jaringan ini sebenarnya tidak perlu diperdebatkan, kerana Gilmar jelas berada di posisi offside sebelum jaringan tersebut dihasilkan.

Perhatikan lakaran di atas, penyerang berjersi No.9 itu jelas mendahului pertahanan lawan ketika bola dihantar oleh rakan sepasukan.

Mungkin ada yang akan mempertikaikan jaringan tersebut harus dikira kerana bola melantun dari pemain pertahanan Terengganu, sebelum percubaan oleh Gilmar.

Sumber: FIFA

Peraturan oleh FIFA bagaimanapun menjelaskan ia tetap tidak sah walaupun bola tersebut melantun terlebih dahulu daripada pemain pertahanan lawan.

Ini kerana Gilmar sudah berada di posisi offside sebelum itu.

Kami berpendapat keputusan Suresh Jayaraman membatalkan gol tersebut sebagai tepat.

Layangan kad merah Gilmar

Dua kad merah dilayangkan dalam perlawanan ini dalam dua insiden berbeza.

Layangan kad merah terhadap Lee Tuck selepas menerima kad kuning kedua adalah selepas pemain itu dipersalahkan kerana menyiku pemain lawan.

Bagaimanapun kad merah yang diterima oleh Gilmar menimbulkan pertanyaan banyak pihak. Apakah justifikasi pengadil perlawanan berbuat demikian?

Sumber: FIFA

Dalam keadaan tegang yang melibatkan ramai pemain seperti yang berlaku di perlawanan akhir tersebut, ia amat sukar untuk melihat dengan jelas siapa yang bertanggungjawab melakukan kesalahan.

Tetapi melalui peraturan di atas, kami percaya Suresh melayangkan kad kuning kepada Gilmar dan juga Igor Zonjic, dengan mengambil kira kedua-dua pemain melakukan kesalahan paling serius dalam situasi tersebut.

Zonjic adalah pemain pertama yang memberikan reaksi kepada pemain Perak, Firdaus Saiyidi. Gilmar terlibat dalam pergelutan di antara pemain, dan dengan jelas turut melakukan sentuhan kepada Zonjic.

Sumber: FIFA

Dalam situasi tersebut, Suresh melakukan tindakan yang betul dengan mendapatkan pandangan pembantu pengadil yang berada pada jarak paling dekat dengan insiden, sebelum melakukan keputusan.

Secara teknikal, ia adalah keputusan yang tepat. Bagaimanapun kami percaya perkara tersebut boleh dielakkan sekiranya pengadil bertindak memberhentikan perlawanan ketika ada pemain sedang mengalami kecederaan.

Rakaman video di atas dengan jelas menunjukkan apa yang berlaku. Malah sebelum insiden tersebut, pengadil perlawanan boleh bertindak memberhentikan perlawanan selepas bola keluar.

Lee Tuck turut sedang dirawat di dalam padang pada ketika itu, dan tindakan pengadil tetap meneruskan perlawanan menjadi tanda tanya.

Sumber: FIFA

Seperti yang terkandung dalam peratura 5 ini, pengadil sememangnya boleh memberikan advantage untuk perlawanan diteruskan.

Namun pada masa yang sama, beliau harus mengambil maklum atmosfera perlawanan kompetitif di perlawanan akhir sebegini.

Tarian x-pac Leandro dan Wander

Dari segi semangat kesukanan, cara Leandro dan Wander meraikan gol sememangnya tidak relevan sama sekali demi semangat permainan.

Walau dalam apa perlawanan sekalipun, semangat kesukanan harus menjadi keutamaan pemain. Apatah lagi pemain import yang bergelar pemain profesional.

Sumber: FIFA

Peraturan oleh FIFA menjelaskan sebarang cara meraikan gol berunsurkan provokasi boleh diberikan amaran kad kuning.

Namun dalam perlawanan tersebut, hanya Leandro diberikan amaran kad kuning oleh pengadil.

Selain daripada insiden tarian x-pac tersebut, tindakan Igor Zanjic meraikan kad merah yang diterima oleh Gilmar juga merupakan tindakan yang tidak perlu dilakukan.

Posisi Hafizul Hakim ketika sepakan penalti

Antara perkara yang paling banyak diperbincangkan di media sosial juga ialah kedudukan penjaga gol Perak yang berada di dalam gawang ketika penentuan sepakan penalti.

Sumber: FIFA

Peraturan 14 di dalam buku peraturan FIFA jelas menggariskan kedudukan penjaga gol semasa sepakan penalti diambil.

Penjaga gol harus berada di garisan gol di antara dua tiang gol, sambil berhadapan dengan pemain lawan yang mengambil sepakan tersebut.

Sumber: FIFA

Ketika sepakan penalti diambil, Hafizul berada di belakang garisan gol, sekaligus memberikan kelebihan dari segi jarak untuk membaca arah sepakan pemain lawan.

Dari segi teknikal, perkara ini adalah bercanggah dengan arahan FIFA tanpa mengira apa alasan yang diberikan oleh FAM atau pihak penganjur.

Anda boleh saksikan rangkuman sepakan penalti tersebut melalui pautan di bawah:

Rumusan

Artikel ini bukan untuk memihak kepada mana-mana pihak. Ia juga bukan bertujuan untuk menuding jari kepada sesiapa.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 adalah perlawanan yang dipenuhi drama, juga kontroversi.

Pada pandangan kami, ada keputusan yang dilakukan oleh pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman itu tepat. Ada juga keputusan-keputuan beliau boleh dipertikaikan.

Seperti kita, pengadil juga manusia biasa seperti kita yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Namun itu tidak bererti ruang penambahbaikkan itu kemudiannya diabaikan.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN