Analisis: Siapa Pengganti Nguyen Quang Hai Lawan Malaysia?

Nguyen Quang Hai adalah pemain paling penting untuk Vietnam. Sejak dilayangkan kad kuning dalam perlawanan menentang Indonesia, ketiadaan pemain itu dicanang akan memberi sedikit kelebihan kepada pasukan negara.

Malaysia akan bertemu dengan Vietnam pada awal pagi Sabtu (12:45am waktu Malaysia) – perlawanan yang dianggap akan mencorak perjalanan skuad Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 selepas ini.

Di sebalik ketiadaan Quang Hai, ia tidak bermakna tiada pemain lain yang memiliki kemampuan sebagai pengganti pemain itu dalam perlawanan menentang Malaysia pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Sebelum itu, kita singkap terlebih dahulu kepentingan pemain ini kepada sistem Park Hang Seo.

Kepentingan Quang Hai

Sejak Park Hang Seo tiba sebagai pengendali Vietnam, Nguyen Quang Hai adalah pemain dengan minit perlawanan paling tinggi. Satu-satunya perlawanan bersama skuad utama Vietnam di mana pemain itu tidak beraksi ialah dalam perlawanan persahabatan menentang Korea Utara di Stadium My Dinh pada 25 Disember 2018.

Malah sepanjang tempoh itu, Quang Hai hanya pernah dikeluarkan dari permainan hanya sekali, iaitu pada minit ke-89 di separuh akhir Piala AFF 2018 menentang Filipina. Ini bermakna Quang Hai akan sentiasa menjadi pemain pilihan No.1 Park Hang Seo sekitanya cergas dan akan beraksi penuh 90 minit perlawanan.

Sumbangan pemain itu juga tidak boleh dipertikaikan. Quang Hai adalah pemain yang menyumbang jaringan tertinggi untuk pasukan negaranya di era Park Hang Seo dengan tujuh gol dan dua bantuan gol.

Sumber: FAM

Kemampuan pemain itu untuk menyerlah dalam perlawanan-perlawanan getir telah terbukti di dalam sistem jurulatih dari Korea Selatan itu. Antara kelebihan Quang Hai ialah kemampuan pemain itu menghadirkan ancaman melalui sepakan percuma, percubaan bahaya dari jarak jauh, dan penglibatan di dalam setiap gerakan yang berakhir dengan jaringan. Quang Hai ibarat nadi kepada DNA bola sepak yang ditanam Par Hang Seo di dalam skuad Naga Emas.

Ancaman dari Quang Hai bukan sahaja hadir ketika beliau memiliki bola di kaki. Begitu juga ketika beliau melakukan larian tanpa bola. Pemenang Anugerah Bola Emas Vietnam tahun 2018 ini amat bijak untuk melakukan larian yang akan menarik perhatian pemain pertahanan lawan, tanpa disedari diperangkap untuk membuka ruang yang boleh dimanfaatkan oleh rakan sepasukan yang lain.

Ketiadaan Quang Hai kelebihan Vietnam

Aneh sekali Park Hang Seo bertanggapan ketiadaan Quang Hai dalam perlawanan menentang Malaysia adalah satu kelebihan buat Vietnam.Bagi Park, ini peluang untuk Quang Hai direhatkan supaya segar dalam pertemuan penting menentang UAE pada 15 November – perlawanan yang dijangka akan menentukan siapa paling layak bergelar juara kumpulan.

Pada masa yang sama nada Park Hang Seo juga seperti berbaur keangkuhan kerana tidak memerlukan pemain terbaik beliau untuk berhadapan skuad Harimau Malaya.

Vietnam masih wajib menang menentang Malaysia. Tetapi Park Hang Seo seperti menyedari Malaysia bukan lawan yang sukar seperti UAE – berdasarkan rekod sebelum ini.

Di sebalik keangkuhan dan keyakinan jurulatih dari Korea Selatan itu, kem Malaysia pula pasti akan terus tertanya-tanya pemain manakah yang akan digunakan untuk mengisi kekosongan Quang Hai.

Sistem Vietnam pengaruhi pengganti

Untuk menjawab siapakah pemain yang akan menggantikan Quang Hai, kita perlu melihat kepada sistem yang bakal digunakan oleh Park. Sebelum ini Quang Hai telah digunakan oleh Park di kebanyakkan posisi kecuali di bahagian pertahanan. Pemain tengah dari Hanoi ini kebiasaannya beraksi sebagai pemain tengah, dan turut pernah diletakkan di posisi sayap, pemain tengah menyerang, atau pun sebagai penyerang utama seperti dalam aksi peringkat kumpulan Piala Asia 2019 menentang Iran.

Terbaru dalam perlawanan menentang Indonesia, Park Hang Seo menggunakan sistem 3-5-2/5-3-2 walaupu di atas kertas ia seperti 3-4-3. Ia terdiri dari lima pemain pertahanan, tiga pemain tengah dan dua penyerang. Dua bek sayap -Van Thanh dan Hong Duy – sering melakukan larian ke atas menjadikan bentuk pasukan menjadi 3-5-2.

Di bahagian tengah, pemain No.14, Nguyen Tuan Anh sering digunakan sebagai pemain tengah bertahan/defensive midfielder yang berperanan penting melakukan pintasan dan memulakan gerakan dari bawah.

Quang Hai dan Phan Van berada di posisi lebih tinggi di bahagian tengah. Quang Hai lebih cenderung untuk melakukan hantaran yang memerangkap pertahanan lawan, manakala Phan Van pula lebih menggemari menggelecek lawan. Kedua-dua sangat aktif di bahagian half-space lawan.

Posisi Quang Hai dianggap penting kerana ia dilihat akan menentukan siapa yang akan mendominasi jentera tengah ketika perlawanan berlangsung. Menentang Malaysia, siapa pun pengganti Quang Hai akan berhadapan satu lawan satu dengan Brendan Gan – jeneral tengah Harimau Malaya.

Vietnam tidak miskin pemain di posisi tersebut. Nguyen Hoang Duc, Tran Minh Vuong dan Nguyen Trong Hoang semuanya berkemampuan mengambil peranan sebagai pengganti kepada Quang Hai.

Calon pengganti Quang Hai

Hoang Duc adalah pilihan hampir pasti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Quong Hai dalam perlawanan menentang Malaysia. Ketika menentang Indonesia tempoh hari, pemain ini beraksi selama 30 minit selepas dimasukkan pada babak kedua menggantikan Van Duc. Pemain ini antara pemain yang menyerlah di V-League bersama kelabnya Viettel pada musim ini. Mempunyai kualiti yang hampir sama seperti Quang Hai, Hiang Duc dianggap seperti second dier kepada Quang Hai.

Nguyen Hoang Duc. Sumber: Goal

Minh Vuong juga satu lagi pilihan untuk Vietnam. Pemain berusia 26 tahun ini adalah pilihan pengganti Park Hang Seo dalam perlawanan persahabatan menentang Korea Utara di mana Quang Hai direhatkan. Pada ketika itu Minh Vuong beraksi sebelah kanan bahagian tengaj dalam formasi 5-4-1.  Tetapi bersama HAGL, Minh Vuong beraksi di bahagian tengah dalam sistem 5-3-2 – sama seperti peranan Quang Hai dalam skuad Vietnam sekarang. Minh Vuong adalah penjaring gol tunggal Vietnam ketika tewas 3-1 kepada Korea Selatan di separuh akhir Sukan Asia 2018.

Tran Minh Vuong bersama Park Hang Seo

Selain itu, Park Hang Seo turut memiliki pemain berpengalaman berusia 32 tahun, Trong Hoang yang boleh mengisi kekosongan tersebut. Merupakan pemain yang lasak dan mempunyai semangat melawan seperti jeneral di bahagian tengah, tidak mustahil Park Hang Seo mengalihkan perhatian kepada pemain ini dalam usaha mengekang fizikal pemain seperti Liridon Krasniqi dan Brendan Gan. Memiliki bek sayap seperti Hong Duy dan Van Thanh dalam perlawanan menentang Indonesia, Trong Hoang mampu membantu mengawal bahagian tengah ketika serangan dilakukan – mengekang serangan balas pantas Harimau Malaya.

Nguyen Trong Hoang

Tidak mustahil juga jika Park Hang Seo akan bertukar kepada sistem 5-4-1 dalam perlawanan menentang Malaysia. Jika demikian, maka Duc Huy mungkin berpeluang untuk diturunkan beraksi. Pemain ini menghasilkan jaringan jarak jauh menentang pasukan negara di perlawanan pertama perlawanan akhir Piala AFF 2018.

Pham Duc Huy

Beliau juga beraksi penuh pada babak kedua perlawanan, menggantikan Tuan Anh ketika membantu Vietnam menewaskan Malaysia pada Oktober 2019 di Stadium My Dinh. Mengambil kira perlawanan menentang Malaysia adalah perlawanan wajib menang, sukar untuk melihat Park Hang Seo beraksi dengan sistem 5-4-1 yang lebih bertahan.

Rumusan

Siapa pun yang bakal diturunkan oleh Park Hang seo (Hoang Duc, Minh Vuong, Trong Hoang, atau Duc Huy) untuk mengganti Quang Hai – mereka mampu memberi ancaman serupa jika dibiarkan.

Selain daripada sudah lama beraksi bersama dan memahami kehendak Park Hang Seo, pemain-pemain ini juga sudah biasa dengan corak permainan pasukan negara.

 

Baca artikel menarik lain mengenai Vietnam:

Pernah Tuduh Tan Cheng Hoe Intip Pasukan, Park Hang-seo Terus Paranoid Taktik Licik Sendiri

Park Hang-seo dan Shin Tae-yong ‘Bermain’ Dengan Nombor Jersi Pemain

4 Jurulatih Piala Dunia Yang ‘Dijinakkan’ Park Hang-seo Selain Shin Tae-yong

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN