Analisis Rusia 2018: Sistem 3-4-3 Martinez Sandaran Generasi Emas Belgium Intai Kejuaraan

‘Golden generation’. Bahasa Kebangsaan kita gelarkan mereka generasi emas. Anda boleh namakan apa sahaja untuk deretan bintang yang berada di dalam skuad Belgium pada kali ini.

Pencapaian terbaik Belgium di pentas Piala Dunia ialah pada edisi 1986 yang diadakan di Mexico, apabila mereka mara sehingga ke separuh akhir.

Namun skuad Belgium pada ketika itu dikecewakan 2-0 oleh Argentina, sebelum berpuas hati menduduki tangga ke-4 kejohanan.

Kemudian Belgium mara sehingga ke suku akhir di Brazil, sebelum disingkirkan sekali lagi oleh Argentina.

Skuad Belgium ke Rusia

Senarai awal 28 pemain skuad Belgium untuk ke Rusia dikejutkan dengan ketiadaan nama pemain tengah Roma, Radja Nainggolan.

Ketika menjelaskan ketiadaan pemain tengah yang cemerlang mengemudi Roma sehingga ke separuh akhir UEFA Champions League (UCL) itu, Martinez menjelaskan ia adalah keputusan yang diambil atas sebab kepentingan taktikal pasukan.

Selepas itu, lima lagi nama digugurkan untuk melengkapkan senarai akhir 23 pemain.

Antara pemain yang digugurkan ialah penyerang Crystal Palace, Christian Benteke dan pemain pertahanan Watford, Christian Kabasele.

Kecederaan yang menimpa Vincent Kompany dalam perlawanan persahabatan menentang Portugal baru-baru ini tidak menghalang kapten Manchester City itu untuk ke Rusia, dengan Laurent Ciman menjadi nama yang akan dipanggil untuk sebarang kemungkinan.

Saudara kandung kepada Romelu Lukaku, Jordan Lukaku dan penjaga gol Matz Sels turut tidak berada di dalam senarai akhir Roberto Martinez untuk ke Rusia.

Cabaran Belgium 

Berada bersama Belgium di dalam Kumpulan G ialah negara yang pertama kali beraksi di pusingan akhir Piala Dunia, Panama.

Dua lagi pasukan ialah Tunisia dan juga skuad bimbingan Gareth Southgate, England.

Sepak mula kempen Piala Dunia di Rusia pada kali ini akan bermula dengan menentang Panama pada 18 Jun di Sochi.

Skuad Martinez kemudiannya akan ke Moscow untuk berhadapan dengan Tunisia, sebelum England menanti dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Kalingrad pada 28 Jun.

England dianggap sebagai lawan paling sukar buat Belgium di dalam Kumpulan G. Oleh itu, Belgium perlu mencatatkan keputusan positif berhadapan Panama dan juga Tunisia untuk mendapatkan keyakinan sebelum berhadapan England.

Analisis taktikal

3-4-3 adalah pilihan utama jurulatih Belgium, Roberto Martinez. Ini menjadikan saingan di Kumpulan G menjadi menarik, kerana lawan utama Belgium di dalam kumpulan tersebut, England turut menerapkan sistem yang sama.

Ini bermakna sistem bek bertiga adalah asas kepada corak permainan dalam taktikal 3-4-3.

Formasi 3-4-3 dan squad depth yang dimiliki oleh Belgium.

Sepanjang 10 perlawanan di pusingan kelayakan, Belgium beraksi menggunakan  sistem bek bertiga dalam 8 perlawanan pertama, sebelum mengubahnya kepada sistem yang lebih asas kepada empat pemain pertahanan pada baki dua perlawanan.

Dua pemain pertahanan tengah Tottenham Hotspur, Jan Vertonghen dan Toby Alderweireld beraksi dalam hampir kesemua perlawanan kendalian Martinez di sebelah kiri dan kanan, manakala pemain pertahanan di tengah sentiasa digilirkan, sehingga Vincent Kompany cergas sepenuhnya pada musim lalu.

Ketiga-tiga pemain pertahanan merupakan baka ball-playing defender,  sekaligus memberikan kelebihan kepada Martinez dalam merangka taktikal pasukan.

Sistem bek bertiga akan membenarkan mana-mana pasukan yang arif di dalam sistem ini untuk memberi lebih perlindungan/kawalan di bahagian tengah. Sistem ini juga membenarkan pasukan melibatkan penjaga gol untuk membantu build-up dari penjaga gol.

Sistem bek bertiga Belgium.

Sistem ini juga memberi lebih stabiliti ketika pasukan kehilangan bola, berbanding dengan pasukan yang menggunakan dua pertahanan tengah di dalam pasukan.

Digandingkan dengan tiga pemain pertahanan ini, Martinez akan memilih bek sayap menyerang seperti Thomas Meunir dan Yannick Carrasco di setiap sisi.

Kecenderungan dua bek sayap untuk berada di high line untuk membantu serangan, bermakna Martinez memerlukan seorang pemain tengah (central midfielder) dengan profail bertahan.

Pasukan ini mempunyai squad depth yang luar biasa. Untuk itu, Martinez mempunyai pilihan di antara Axel Witsel dan Marouane Fellaini yang tugas utama mereka ialah untuk melindungi sistem bek bertiga daripada serangan balas pasukan lawan.

Di bahagian serangan, Romelu Lukaku hampir pasti mengepalai jentera serangan sebagai pemain No.9 skuad dengan jolokan nama The Red Devils di pentas antarabangsa ini.

Persoalanya ialah, bagaimana sistem yang Martinez mahukan untuk memberi sokongan kepada Lukaku?

Sistem sokongan kepada serangan melalui dua bek sayap. Hazard dan Mertens mempunyai pilihan eksploitasi tight area.

Di pusingan kelayakkan, dua sistem utama telah dipraktikkan oleh Belgium. Pertama, Martinez menggunakan dua bek sayap yang cenderung melakukan larian di bahagian sayap untuk memberi sokongan dalam bentuk hantaran lintang.

Sistem ini lebih sesuai digunakan ketika menentang pasukan yang cenderung bertahan di garis rendah dan sukar ditembusi. Kita semua tahu kualiti dan kelebihan fizikal yang dimiliki oleh Lukaku untuk perebutan bola di udara.

Lebih variasi serangan dengan gandingan Lukaku-Hazard-Mertens.

Jika Belgium memerlukan ancaman serangan yang lebih baik, Martinez boleh menggandingkan Lukaku, Eden Hazard dan Dries Mertens yang turut mempunyai rekod jaringan yang baik bersama kelab masing-masing.

Untuk ini, Martinez memerlukan dua pemain tengah yang lebih bertahan untuk memberi sokongan kepada kemungkinan serangan balas lawan.

Atau alternatif lain, Martinez boleh sahaja menggandingkan pemain tengah menyerang seperti Kevin De Bruyne dan Moussa Dembele untuk membantu memulakan serangan dari garis yang lebih rendah (deeper position), melakukan hantaran yang lebih direct, dan menggunakan kelebihan teknikal kedua-dua pemain untuk menguasai bahagian tengah.

Pemain tumpuan

Dari bahagian serangan sehingga ke benteng akhir di posisi penjaga gol, Belgium jelas menyandarkan cabaran mereka kepada pemain yang beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris.

Romelu Lukaku (Manchester United), Eden Hazard, Thibaut Courtois (Chelsea), Kevin De Bruyne, Vincent Kompany (Manchester City) serta Jan Vertonghen, Toby Alderweireld (Tottenham Hotspur) hampir pasti adalah tunjang kepada kesebelasan utama skuad Martinez.

BRUSSEL, BELGIUM – JUNE 6: Dries Mertens of Belgium during the International Friendly match between Belgium v Egypt at the Koning Boudewijnstadion on June 6, 2018 in Brussel Belgium (Photo by Erwin Spek/Soccrates/Getty Images)

Turut menarik perhatian kami ialah penyerang Napoli. Dries Mertens yang cemerlang di Serie A sejak dua musim lalu.

Sasaran realistik

Tidak pernah memiliki sebarang kejuaraan antarabangsa, memberikan lebih sebab buat Belgium untuk beraksi cemerlang di pentas Piala Dunia pada kali ini.

Seperti apa yang berlaku di Brazil, kisah di Euro 2016 juga hampir sama. Di Euro 2016, Belgium dikejutkan oleh Wales di peringkat suku akhir.

((Photo by JOHN THYS / AFP) (Photo credit should read JOHN THYS/AFP/Getty Images)

Suku akhir masih sasaran yang realistik. Jika Belgium mampu mara lebih jauh daripada itu, siapa tahu kemungkinan lain yang boleh berlaku?

Penutup

Dari segi kebolehan teknikal pemain, Belgium mempunyai sebuah pasukan yang setaraf dengan pasukan gergasi lain.

Namun bola sepak bukan sukan yang dimenangi secara individu. Ia harus dimenangi sebagai sebuah pasukan. Ia turut wajib disulami dengan keyakinan, motivasi, dan juga kesungguhan.

Mampukah Belgium mencipta sejarah di Piala Dunia pada kali ini?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN