Dua puluh tahun yang lalu, Les Bleus adalah juara Piala Dunia di halaman sendiri. Mereka hampir mengulangi kejayaan tersebut pada 2006, namun dikecewakan Itali.
Antara pencapaian lain Perancis di Piala Dunia ialah menduduki tempat ke-3 sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1958 dan 1986.
Perancis turut merupakan pasukan yang menduduki tempat ke-4 di Piala Dunia 1982 setelah pasukan yang turut dibarisi oleh Michel Platini dikecewakan oleh Jerman Barat melalui penentuan sepakan penalti di separuh akhir.
Bersandarkan ramai pemain generasi baharu pada hari ini, skuad Les Bleus pasti adalah salah sebuah pasukan tumpuan di Rusia.
Skuad Perancis ke Rusia
Sejak mengambil alih peranan sebagai jurulatih skuad kebangsaan Perancis, Deschamps secara konsisten menggunakan rangkaian empat pertahanan di setiap perlawanan.
Maka tidak hairanlah, di kalangan 23 pemain akhir yang dinamakan untuk ke Rusia, 8 daripada mereka adalah pemain pertahanan- 2 pemain di setiap posisi sebagai sokongan dan alternatif.
Deschamps juga jelas mementingkan pemain yang memiliki minit aksi yang mencukupi sebelum dipilih untuk dibawa ke Rusia.
Oleh kerana itu, tiada nama seperti Anthony Martial (Manchester United) dan juga Moussa Sissoko (Tottenham Hotspur) di dalam senarai akhir 23 pemain.
Namun penjaga gol Spurs, Hugo Lloris yang dilihat bergelut dengan masalah prestasi di peringkat kelab, masih diberi kepercayaan oleh Deschamps.
Cabaran Perancis
Berada di dalam Kumpulan C, Perancis akan memulakan kempen Piala Dunia di Rusia berhadapan dengan wakil Asia, Australia di Kazan Arena pada 16 Jun akan datang.
Ini diikuti oleh Peru pada 21 Jun sebelum anak buah Didier Deschamps berhadapan dengan wakil Eropah, Denmark pada 26 Jun untuk menutup tirai saingan Kumpulan C.
Berdasarkan senarai lawan yang dihadapi, Perancis sepatutnya mudah menjuarai Kumpulan C. Perlawanan pertama menentang Australia dianggap penting, untuk mendapatkan kelebihan awal dengan tiga mata.
Sekiranya Perancis berjaya melangkah ke peringkat seterusnya, cabaran akan menjadi lebih sukar buat skuad Les Blues ini.
Ianya sama ada Croatia ataupun gergasi Amerika Selatan, Argentina bakal menanti di pusingan 16 pasukan terbaik. Fokus sepatutnya terlebih dahulu terarah ke saingan peringkat kumpulan.
Analisis taktikal
Di majoriti perlawanan peringkat kelayakan, Didier Deschamps menerapkan formasi 4-2-3-1. Beberapa perlawanan turut melihat Deschamps menerapkan formasi 4-2-2-2 (Diamond) dan 4-3-3.
Fokus kepada formasi Deschamps ialah untuk membina gerakan serangan melalui kebolehan Paul Pogba dan juga Antoine Griezmann.
Tatkala Pogba boleh melakukan larian serangan dari bahagian tengah untuk turut membantu memburu jaringan ataupun membantu memcahkan garisan akhir pertahanan lawan, Perancis memerlukan seorang lagi pemain tengah yang mampu melakukan tugas pertahanan.
Peranan ini dipegang oleh pemain tengah Chelsea, N’golo Kante yang perlu melakukan counterpress untuk melengahkan serangan lawan.
Ini sekaligus memberikan lebih masa kepada pemain tengah yang lain untuk kembali membentuk blok pertahanan pertama di bahagian tengah.
Perancis adalah sebuah pasukan yang memiliki fleksibiliti kepada corak serangan berpasukan, bergantung kepada taktikal yang diamalkan lawan.
Sepanjang pusingan kelayakan, Perancis mendominasi 60% penguasaan bola, dan akan membina serangan dari garis rendah jika keadaan memerlukan mereka berbuat demikian.
Namun ketiadaan beberapa pemain seperti Dimitri Payet yang tercedera dan juga Moussa Sissoko yang bergelut untuk mendapatkan minit beraksi bersama Tottenham Hotspur di dalam senarai akhir 23 skuad ke Rusia, sistem 4-2-3-1 mungkin tidak digunapakai oleh Deschamps.
Untuk itu, formasi 4-3-3 adalah kemungkinan yang jelas dengan tujuan untuk memberikan platform kepada deretan pemain tengah menyerang yang dimiliki oleh Les Blues.
Paul Pogba dan Antoine Griezmann akan sentiasa menjadi dua nama pertama di dalam kesebelasan utama Didier Deschamps.
Kemudian, Deschamps mempunyai dua pilihan di dalam sistem 4-3-3 ini bergantung kepada lawan yang bakal dihadapi.
Jika Deschamps memerlukan seorang target man terutama untuk memenangi perebutan bola tinggi di dalam kotak penalti lawan, maka Olivier Giroud akan mengepalai jentera serangan Perancis sebagai penyerang tunggal.
Untuk itu, Griezmann akan diletakkan di sebelah kanan sebagai pemain sayap menyerang, dan Kylian Mbappe akan berada di sebelah kiri.
Untuk variasi serangan yang berlainan, Deschamps turut boleh menurunkan Griezmann sebagai penyerang tunggal dengan peranan sebagai No.9 jadian.
Untuk ini, Ousmane Dembele dijangka akan beraksi sebagai sayap kanan. Taktikal sebegini akan memberi lebih fluidity dan pemain yang memiliki visi, kepantasan dan kreativiti seperti Pogba juga Mbappe tidak akan rigid berada di satu-satu posisi.
Ia sekaligus mewujudkan lebih kemungkinan untuk mana-mana pemain menyerang termasuk dari bahagian tengah untuk menjaringkan gol buat Perancis.
Peranan Griezmann dan Pogba di dalam pasukan Didier Deschamps sangat menarik untuk diperkatakan.
Ketika Perancis melakukan gerakan menyerang, gerakan pemain ini akan menuju kepada arah kedudukan bola. Kemudian, ia diikuti oleh gerakan oleh Pogba seperti yang dinyatakan di atas, sehingga mewujudkan dua pemain dengan peranan No.10 di garisa pertahanan lawan.
Kemudiannya, Griezmann akan bertindak mengalihkan perhatian pertahanan tengah lawan yang mengawal beliay ke arah lain, dengan hantaran pendek sebelum menerima bola untuk mencipta ruang dan peluang untuk dirinya selepas itu.
Gerakan sebegini tidak sukar untuk dikesan, namun sukar untuk dihalang oleh mana-mana pemain pertahanan.
Di bahagian tengah, Deschamp turut memiliki pemain seperti Florian Thauvin, Corentin Tolisso dan pemain sasaran Liverpool Nabil Fekir, sebagai alternatif untuk rangkaian tiga pemain di bahagian tengah untuk digandingkan dengan Kante dan Pogba di bahagian tengah.
Di bahagian pertahanan, ia bukanlah kelemahan ketara. Namun masih satu perkara utama yang perlu diberikan oleh Deschamps sepanjang saingan Piala Dunia ini.
Daripada jumlah 20 gol yang dilepaskan sepanjang pusingan kelayakan, tujuh daripadanya adalah hasil dari permainan terbuka.
Manakala tujuh lagi gol adalah dari serangan balas pantas lawan, dan enam (termasuk lima penalti) adalah hasil gerakan set-pieces.
Dan kesemua lima penalti tersebut adalah disebabkan terjahan tidak perlu oleh pemain pertahanan tengah; satu trend yang pasti akan dieksploitasikan oleh pasukan lawan jika tidak berhati-hati.
Pemain tumpuan
Berdasarkan analisis di atas, jelas Antoine Griezemann dan Paul Pogba adalah nadi utama Les Blues sepanjang kempen Piala Dunia ini.
Tetapi satu perkara yang turut menarik perhatian ialah kehadiran pemain muda Perancis, Kylian Mbappe.
Ia adalah sesuatu yang sangat besar bagi penyerang berusia 19 tahun beraksi di dalam kejohanan sebegini, setelah aksi dua musim yang cemerlang di peringkat kelab bersama Monaco dan Paris Saint-Germain.
Aksi Mbappe bersama nama-nama besar di PSG bersama Neymar dan di UEFA Champions League (UCL) turut membuktikan pemain muda ini tidak melihat faktor usia sebagai halangan untuk mengekspresikan kebolehan dirinya di atas padang.
Sasaran realistik
Dua tahun yang lalu, Perancis dikecewakan oleh Portugal di perlawanan akhir Euro 2016.
Namun saingan di pentas Piala Dunia bakal memberikan cabaran yang berbeza.
Jika segalanya mengikuti perancangan dan mencapai sasaran awal, Perancis tidak mempunyai masalah untuk layak sehingga ke suku akhir. Apa-apa yang kurang dari sasaran ini, dianggap sebagai kegagalan buat skuad yang memiliki ramai nama besar.
Penutup
Jelas sekali corak taktikal Deschamps telah melalui fasa perubahan sejak dari pusingan kelayakan lagi.
4-2-3-1 mungkin pilihan utama. Namun ia bukan asing lagi jika mereka turut menerapkan 4-4-2 ataupun 4-3-3 yang memberikan variasi serangan yang lebih baik.
Berapa jauhkah Perancis akan pergi di edisi kejohanan Piala Dunia kali ini? Atau mampukah mereka mengulangi kejayaan 20 tahun yang lalu?