Analisis Rusia 2018: Messi Paksi Taktikal Sampaoli Kemudi Argentina Buru Kejuaraan

Sebut sahaja Piala Dunia dan Argentina, anda pasti mengingati legenda bernama Diego Maradona. Itu kisah dahulu.

Pada hari ini jika Piala Dunia dan Argentina disebut kepada anak muda, satu nama juga pasti terlintas di fikiran. Dan beliau ialah Lionel Messi.

Kedua-duanya adalah antara dua pemain bola sepak terhebat dunia pernah saksikan, namun punyai kisah kejayaan yang berbeza di peringkat antarabangsa.

Skuad Argentina ke Rusia

Malang sekali penjaga gol pilihan utama, Sergio Romero mengalami kecederaan dalam persiapan awal sehingga terpaksa disisihkan.

Namun perkara paling mengejutkan ialah tiadanya nama penjaring terbanyak Serie A musim lalu, Mauro Icardi.

Setelah mengesahkan skuad untuk ke Rusia, Argentina turut dipalit dengan kecederaan pemain tengah, Manuel Lanzini yang sah hanya mampu menyaksikan Piala Dunia melalui kaca televisyen.

Sehingga artikel ini ditulis, Argentina belum lagi mengumumkan pengganti kepada Lanzini.

Cabaran Argentina

Setelah membuka tirai kempen Piala Dunia menentang pendatang baru Iceland pada 16 Jun, Croatia bakal menanti selang lima hari kemudian.

Argentina bakal menutup saingan Kumpulan D menentang Nigeria pada 26 Jun.

Berdasarkan senarai pasukan yang berada di dalam Kumpulan D, Argentina boleh dianggap berada di dalam kumpulan yang sukar.

Kita semua pasti mengingati apa yang Iceland mampu lakukan ketika menyingkirkan England di Euro 2016. Croatia turut mempunyai pemain yang boleh menyekat kemaraan Argentina.

Sejarah turut pernah menulis Nigeria sebagai salah sebuah negara yang pernah mengecewakan Argentina, dan ini pasti sesuatu yang Sampaoli mahu elakkan dari berulang.

Analisis taktikal

Untuk menganalisis corak permainan Argentina, mari kita terlebih dahulu melihat bagaimana mereka bertahan.

Sejak Sampaoli mengambil alih gergasi Amerika Selatan ini, Argentina menggunakan kedua-dua sistem bek bertiga dan sistem empat pertahanan. Struktur pertahanan Argentina berubah dari perlawanan ke perlawanan.

Sistem bek bertiga Argentina.

Di dalam sistem bek bertiga, Argentina akan memiliki dua bek sayap yang efektif seperti Gabriel Mercado dan juga Nicolas Tagliafico. Christian Ansaldi juga adalah alternatif, dan merupakan pemain yang memiliki kelebihan menggunakan kedua-dua belah kaki.

Sampaoli turut mempunyai pilihan untuk meletakkan hanya seorang pemain tengah bertahan di dalam pasukan, walaupun beraksi menggunakan empat pemain pertahanan.

Sistem bek berempat Argentina.

Jika sistem ini digunapakai, maka Ever Banega adalah calon yang lebih mantap berbanding Javier Mascherano yang telah dimamah usia. Lucas Biglia adalah seorang lagi alternatif buat Sampaoli.

Di bahagian serangan, persoalan yang paling kerap ditanya mengenai pasukan Argentina ialah:

Bagaimanakah cara untuk memaksimakan keupayaan Lionel Messi?

Membenarkan Messi untuk bergerak ke bahagian dalam kawasan pertahanan lawan menggunakan kaki kiri adalah kunci utama kepada posisi Messi.

Ini bermakna Messi beraksi sebagai penyerang sayap kanan, sepertimana yang pernah dilakukan oleh pemain ini ketika baru mulai menyerlah bersama Barcelona.

Sistem serangan Argentina sememangnya sentiasa berpaksikan kepada Messi. Kebiasaannya, Messi akan menggunakan sedikit ruang di bahagian deep area, sebelum memulaikan serangan.

Kemudian bagaimana? Apakah sistem yang perlu diterapkan oleh Argentina?

Salah satu perkara yang menarik mengenai Messi ialah kepakaran beliau memecahkan tight area (zon 14 lawan). Larian dengan bola, ataupun tanpa bola ke zon tersebut, sentiasa menyebabkan beliau dikawal sehingga tiga pemain.

Ini sekaligus membuka ruang kepada bek sayap untuk melakukan tugasan di bahagian wide area yang terbuka.

Di dalam sistem ini, penting untuk Argentina memiliki dua pemain tengah bertahan, untuk memberikan sokongan sepatutnya, terutama untuk memenangi bola sepantas mungkin, jika Argentina hilang penguasaan bola di fasa serangan.

Kehadiran dua penyerang juga memberikan lebih banyak pilihan buat Messi untuk menghasilkan bantuan gol, atau membuka ruang buat Messi melakukan larian ke dalam.

Pada Mac lalu, Messi sendiri mengakui ianya adalah perkara yang sukar untuk beraksi bersama dengan Paulo Dybala. Ini adalah kerana kedua-dua pemain memiliki profail yang sama, iaitu sebagai pemain No.10.

Bagaimanapun, ia tetap satu pilihan bagi Sampaoli jika ingin menurunkan kedua-dua pemain serentak. Jika Dybala dan Messi digandingkan bersama, ini bermakna sama ada Sergio Aguero ataupun Gonzalo Higuain akan diturunkan sebagai penyerang tunggal.

Walaupun ia diakui sendiri oleh Messi sebagai sukar, ia adalah perkara yang menarik untuk melihat Dybala dan Messi beraksi bersama. Ini kerana di dalam sistem ini, Messi sepatutnya lebih bebas untuk mencari ruang sebagaimana peranan Isco bersama Real Madrid ataupun Sepanyol.

Pemain tumpuan

Lupakan sebentar Messi. Pemain yang wajar diberikan perhatian jika diturunkan oleh Sampaoli di dalam kesebelasan utama ialah pemain tengah, Giovani Lo Celso.

Di Rosario Central, pemain ini dianggap sebagai pemain tengah yang penuh dengan kreativiti.

(Photo by Gabriel Rossi/Getty Images)

Namun selepas menyertai Paris Saint-Germain, Lo Celso dibentuk dengan lebih baik, termasuk untuk bertahan daripada serangan balas, dan membayangi pemain terbaik lawan.

Jika ada pemain tengah untuk dinamakan, Lo Celso mungkin adalah gandingan yang Messi tercari-cari selama ini.

Sasaran realistik

Tidak ada perdebatan realistik yang mengatakan Argentina mampu memenangi Piala Dunia pada kali ini.

Sila akui. Skuad Argentina ini tidak mempunyai tahap latihan setaraf Sepanuol. Mereka juga tidak memiliki struktur semantap Jerman, ataupun kebolehan pemain individu sepertimana seteru mereka Brazil.

(Photo by Amilcar Orfali/Getty Images)

Tetapi mereka memiliki Lionel Messi.

“Jika Leo OK, pasukan ini akan lebih banyak di bawah penguasaan Messi berbanding oleh saya,” ujar Sampaoli menjelaskan kepentingan pemain tersebut.

Suku akhir adalah sasaran paling realistik. Namun penyokong Argentina pasti mengenang tiga final yang mereka tewas secara berturut-turut sejak 2014.

Penutup

Argentina akan sentiasa dibayangi oleh kejayaan silam. Dan ini sedikit sebanyak akan memberikan sedikit tekanan buat anak buah Sampaoli untuk membuktikan diri mereka di Rusia.

Mampukah mereka mengubah tekanan tersebut kepada kejuaraan pada kali ini?

Semoga Argentina tidak ditangisi lagi.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN