Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis: Rodri, Regista Baharu Manchester City, Pengganti Fernandinho Pada Masa Akan Datang

Apabila Fenandinho cedera ataupun tidak dapat bermain, Manchester City akan bergelut dengan corak binaan serangan mereka dan juga ketika bertahan – saat diserang balas.

Itu antara perkara yang sangat ketara berlaku dalam beberapa musim ini di Man. City. Kepentingan Fernandinho kepada Manchester City adalah kerana pemain itu menepati ciri no.6 yang diperlukan oleh sistem permainan Juego di Posicion – Pep Guardiola.

Fernandinho semakin meningkat usianya. Dan Manchester City tanpa berlengah terus membayar klausa pelepasan yang ada pada Rodri.

Rodri adalah pemain yang akan menjadi pengganti Fernandinho pada jangka masa panjang. Pemain yang bermain di peranan no.6 dan Pep yakin pemain itu sesuai dengan kehendak taktikal beliau.

Perkembangan karier Rodri

Rodri menjadi pembelian termahal dalam sejarah Manchester City. Ianya kerana City mahukan pemain ini segera. Untuk diserap ke dalam kem pra musim seawal mungkin.

Atletico beberapa tahun lalu pernah meletakkan Rodri sebagai pemain remaja untuk dilepaskan. Dalam pengurusan bola sepak, tidak semua pemain remaja akan layak menjadi pemain pasukan senior.

Atletico melepaskan Rodri ke akademi kelab kerana dikatakan tidak cukup fizikal dan keras. Villareal kemudian datang untuk menyambar Rodri dan terus dipromosi ke pasukan utama.

Kecederaan Bruno Soriano membolehkan Rodri menjadi bidan terjun pada musim 2017/18. Pada ketika inilah beliau menunjukkan potensinya. Ternyata Atletico mulai melihat penilaian mereka terlalu berpaksi kepada fizikal.

VILLARREAL, SPAIN – DECEMBER 12: Saul Niguez of Club Atletico de Madrid competes for the ball with Rodri Hernandez of Villarreal CF during the La Liga match between Villarreal CF and Club Atletico de Madrid at El Madrigal stadium on December 12, 2016 in Villarreal, Spain. (Photo by David Ramos/Getty Images)

Skuad analisis Atletico kemudian mendapati Rodri adalah pemain no.6 yang memang bukan pemain bermain keras. Lalu mereka menyifatkan Rodri sebagai regista mirip kepada Sergio Busquets di Barcelona. Pemain yang memiliki kemampuan berkawal secara ‘space marking’ – melakukan ‘destroying’ dengan cara seperti pintasan dan menutup ruang.

Aset utama Rodri adalah kemampuan untuk memulakan transisi serangan balas kepada ancaman segera. Pengendali Villareal, Marcelino menyatakan, Rodri tahu beliau bukan pemain yang sukakan aksi duel fizikal. Lalu beliau menguatkan aspek taktikal yang lain iaitu kecerdasan dalam permainan.

Dalam satu temuramah, Rodri berkata: “Dalam bola sepak profesional, kamu sentiasa berfikir pada setiap saat. Jika kamu leka beberapa saat, lawan kamu akan merampas bola daripada kami.”

“Pemain yang hebat di adalah mereka yang tenang dalam situasi genting.”

Jurulatih B-21 Sepanyol, Albert Celades pula memberikan penilaian yang sangat penting dalam karier Rodri. Menurut Celades, pemain seperti Rodri adalah pemain yang sangat sesuai untuk mana-mana pasukan yang menggunakan taktikal ‘high pressing’.

Ini kerana Rodri tenang berkawal di belakang dan cuba mengelakkan daripada melakukan faul yang membuatkan bola terhenti.

Celades kemudian menyatakan Rodri pemain yang sentiasa berdisplin ketikan pemposisian, sama ada dari segi kedudukan dan juga postur badan. Semakin cepat tempo perlawanan, semakin laju beliau berfikir dan kakinya juga boleh menjadi lebih cepat.

Rodri kemudian menjadi pemain utama Marcelino dalam sistem permainan 4-4-2 berlian. Oleh kerana melihat perkembangan bakat dan kemampuan beliau untuk menjadi dinamo di tengah, Simeone mendapatkan Rodri kembali ke Atletico.

Dalam sistem Simeone, Atletico banyak bermain dengan 4-4-1-1. Tugasan Rodri lebih kepada perancang daripada zon pivot.

Atletico Madrid’s Spanish midfielder Rodri (L) challenges Celta Vigo’s Slovak milfielder Stanislav Lobotka during the Spanish league football match between Club Atletico de Madrid and RC Celta de Vigo at the Wanda Metropolitano stadium in Madrid on April 13, 2019. (Photo by PIERRE-PHILIPPE MARCOU / AFP) (Photo credit should read PIERRE-PHILIPPE MARCOU/AFP/Getty Images)

Rodri cepat menjadi pujaan di Wanda Metropolitano kerana kualiti ditunjukkannya. Beliau menggantikan Gabi yang meninggalkan kelab itu – turut mewarisi no.14 tinggalan legenda Atletico itu. Nombor yang sama digunakan Simeone dahulu di Atleti.

Rodri sebagai pengganti Fernandinho

Pep Guardiola selalu menegaskan bahawa, bola sepak yang baik itu adalah bola sepak yang menggerakkan bola sepantas yang mungkin. Ianya bukan bermaksud pemain berlari laju, tetapi merujuk kepada hantaran bola antara pemain yang lancar dan cepat sampai ke zon serangan.

MANCHESTER, ENGLAND – DECEMBER 10: Jesse Lingard of Manchester United in action with Fernandinho of Manchester City during the Premier League match between Manchester United and Manchester City at Old Trafford on December 10, 2017 in Manchester, England. (Photo by Tom Purslow/Man Utd via Getty Images)

Pep Guardiola tidak gemar dengan pemain tengah defensif yang terlalu fizikal ataupun ‘roburst’. Oleh sebab itu beliau pernah mahukan Fred dan juga Jorginho ke dalam pasukan. Namun gagal mendapatkan 2 pemain itu.

Pep kali ini menandatangani Rodri yang memiliki ciri-ciri yang beliau mahukan. Pemain yang bijak membaca permainan. Rodri tinggi, mengingatkan kita kepada Sergio Busquets, nadi penting Pep Guardiola di Barcelona dahulu.

Walaupun mereka bukan pemain yang gemar bermain fizikal, tetapi Rodri ada kemampuan untuk melakukan bentesan yang pintasan yang jitu.

Rodri gemar untuk memastikan aliran permainan terus lancar tanpa mematikan aksi atapun bola. Beliau ada purata hantaran tepat 92.5% berbanding dengan hanya 89.7% dilakukan Fernandinho.

Fernandinho memiliki purata 4.44 hantaran panjang per perlawanan berbanding 4.41 oleh Rodri. Namun Rodri tetap memiliki ketepatan hantaran panjang yang jauh lebih baik dengan kadar 71.3% – sementara Fernandinho hanya ada 59%.

Oleh itu, dari segi kualiti hantaran, Rodri boleh dikatakan ‘upgrade’.

Rodri juga pemain yang memiliki kemampuan dengan bola lebih baik daripada Fernandinho. Rodri melakukan 1.47 gelecekan dengan 84.3% kejayaan dalam setiap perlawanan. Sementara itu, Fernandinho dengan 1.43 gelecekan – kadar kejayaan 71.8%.

BARCELONA, SPAIN – APRIL 06: Rodri of Atletico Madrid evades Sergio Busquets of Barcelona during the La Liga match between FC Barcelona and Club Atletico de Madrid at Camp Nou on April 06, 2019 in Barcelona, Spain. (Photo by Alex Caparros/Getty Images)

Sebagai seorang pemain tengah defensif, beliau tetap terikat dengan tugasan untuk bermain fizikal walaupun beliau tidak begitu gemarkannya. Rodri mencetak duel yang berjaya sebanyak 21.7 setiap perlawanan, berbanding 19.9 sahaja oleh Fernandinho.

Seterusnya, Rodri juga lebih baik dari segi pintasan per perlawanan – berbanding Fernandinho (5.48 vs 4.98) dan juga memenangi semula bola dengan kadar 11.69 per perlawanan berbanding 10.19 oleh Fernandinho.

Cuma sekarang ini Rodri perlu memperbaiki aspek versatiliti. Inilah aspek yang Manchester City sukar untuk cari pengganti Fernandinho. Beliau boleh bertahan dan menyerang dengan baik. Oleh sebab itu tiada masalah Pep Guardiola menjadikan beliau bek tengah sekalipun.

Peta haba di bawah anda dapati Fernandinho lebih mobiliti di dalam padang.

Seterusnya adalah proses transisi gaya permainan. Ketika di Atletico Madrid, mereka lebih kepada stabiliti (structured football). Di Manchester City beliau akan bermain dalam pasukan yang dahagkan penguasaan bola.

Manchester City – pasukan dengan purata penguasaan bola sebanyak 63.2% per 90 minit berbanding Atletico di bawah paras 50% ataupun 49.3%.

Rumusan

Manchester City menandatangani Rodri kerana ‘baka’ pemain tersebut sebagai regista yang sesuai dengan bola sepak ‘high tempo press’. Seterusnya mereka perlu menyediakan pelan transisi untuk Fernandinho.

Dalam temu ramah pertamanya sebelum ini, Rodri sendiri sedar, harga yang tinggi pada dirinya bukan jaminan beliau akan terus menjadi pemain kesebelasan utama secara automatik.

Cabaran Rodri adalah, untuk mendapatkan rentak dengan cepat. Semakin cepat beliau mendapat rentak bersama City semakin cepat beliau menjadi pengganti Fernandinho.

Ini kerana no.6 itu memang tersedia untuk Rodri. Beliau pernah melakukannya di Villareal dan Atletico sebelum ini. Rodri juga harus ingat, kegagalan untuk mendapatkan rentak dengan segera akan meletakkan beliau dalam risiko.

Beliau pasti tahu cerita Claudio Bravo sebelum ini yang terus digantikan dengan penjaga gol baharu pada musim berikutnya – walaupun dibeli dengan harga mahal. Rodri dan City pastinya tidak mahu perkara seperti itu berlaku.

Ada beberapa aspek lagi perlu di-‘install’ oleh Manchester City pada pemain ini. Ini kerana perubahan gaya permainan antara Atletico dan City. Cuma City boleh berterima kasih dengan Marcelino sebelum ini yang membangunkan Rodri sebagai regista moden – dan mengorek potensi pemain itu sebagai pemain pivot untuk high pressing football.

Dari sudut perniagaan, Atletico mendapat jumlah wang yang banyak. Dari sudut bola sepak Atletico melepaskan Rodri ke kelab yang betul dan sesuai dengan permainan beliau. Jika kekal di Atletico, potensi Rodri sebagai pivot kepada bola sepak ‘high tempo press’ tidak akan dioptimumkan.

Namun harus diakui, kejayaan Rodri bermain dalam sistem Simeone juga membuatkan pemain itu bertambah variasi dalam gaya permainan beliau.