Analisis Ramon Marcote: Kedah Dan Perak Sengit, Kad Merah Antara ‘Gamechanger’ Penting

SemuanyaBOLA berbesar hati membawakan kepada anda analisis taktikal final Piala FA – Kedah vs Perak – oleh jurulatih yang memegang lesen profesional UEFA, Ramon Marcote. Beliau juga bekas ketua jurulatih pasukan Kedah.

Menurut Ramon Marcote kedua-dua pasukan masing-masing sukar untuk ‘outplayed’ lawan.

Final perlu ada pemenang

Dalam bola sepak, sang juara akan sentiasa pasukan yang lebih baik daripada lawan mereka.

Perlawanan akhir bukan hanya perlawanan yang perlu untuk ditempuh, bukan sekadar mencari siapa yang layak ke final, tetapi ianya perlu dimenangi oleh satu juara daripada mana-mana pasukan.

Mungkin ini bukanlah final yang menyaksikan pertarungan taktikal bola sepak yang cantik. Tetapi hakikatnya ianya adalah final yang mengujakan dalam suasan atmosfera luar biasa. Penyokong Kedah dan Perak telah mencipta atmosfera yang meriah.

Ini adalah final yang menyaksikan kedua-dua pasukan berjuang sepenuh jiwa sehingga ke tiupan wisel terakhir. Kedua-dua pasukan berhak untuk menjadi juara, malang sekali dalam bola sepak, hanya ada 1 sahaja juara. Jadi, Tahniah kepada Kedah.

Dengan mengenepikan sebarang warna ataupun jersi, saya memberikan sedikit pandangan neutral – dengan penuh rasa rendah diri. Anggap ini adalah satu analisis ringkas.

Analisis Ramon Marcote

Untuk tempoh 90 minit, pasukan Kedah telah bermain dengan corak permainan yang mereka mainkan sepanjang musim ini.

Mereka tidak kisah tentang isu penguasaan bola mahupun bola sepak yang cantik. Sepanjang perlawanan kita sudah menjangka apa yang mereka mahu lakukan. Mereka memberikan sedikit ruang kepada pasukan lawan – malah pasukan lawan juga mencari inisiatif untuk menembusi mereka.

Kedah menunggu momen yang sesuai untuk memenangi perlawanan ini. Mereka bertahan dan menunggu pasukan lawan melakukan kesilapan.

Dan tibalah ke satu momen di mana Amirul Azhan dilayangkan kad merah. Kedah cuba mengeksploitasi pasukan lawan menerusi situasi bola mati – dengan kualiti yang ada pada pengambil sepakan bebas utama mereka Baddrol Bakthiar. Namun harus diakui, pada situasi bola mati, Kedah sedikit kehilangan ‘Renan Alves’.

Kedah kemudian melakukan beberapa siri serangan balas yang baik – cuba menghukum kelemahan pasukan lawan pada fasa mereka melakukan transisi ke pertahanan.

Farhan Roslan ancaman utama Perak

Para pemain Kedah lebih banyak memberikan masalah kepada Perak ialah Farhan Roslan. Beliau menyusahkan Perak dengan mencipta situasi 1 vs 1, menggunakan kepantasan untuk menyerang ke ruang kosong – yang seharusnya diberikan lebih perhatian oleh Perak.

Farhan mencetuskan beberapa situasi panik kepada Perak, malangnya penyudah beliau tumpul. Fernando Rodríguez secara posisi, bermain dengan baik namun isu yang sama dengan Farhan, di mana beliau agak tumpul. Fernando dan Farhan masing-masing ada peluang 1 vs 1 dengan penjaga gol, tetapi tidak dapat disempurnakan.

Isu pertahanan Kedah

Pada fasa bertahan, Kedah sebenarnya ada masalah sepanjang perlawanan. Kedah memberikan pasukan lawan terlalu banyak peluang gol. Malang sekali pasukan Perak juga tumpul pada fasa penyudah akhir, dan serba tak kena.

Secara taktikal, Kedah agak terlampau memanjang, terdapat ruang yang besar secara vertikal di bahagian antara garisan /between their lines. Ini yang membolehkan Perak dengan mudah bermain kombinasi serta terhubung dengan mudah dengan pemain serangan.

Partiban digunakan secara ‘excessive’

Perak banyak menumpukan untuk ‘overload’ bahagian kanan menerusi J. Partiban. Pada pandangan saya, Partiban bermain sangat baik. Namun pemain ini digunakan terlalu banyak (overused). Kesannya beliau kelihatan keletihan.

Kenapa Perak banyak menggunakan Partiban? Ini kerana mereka mendapati Kedah ada kelemahan yang ketara di bahagian pertahanan bek kiri.

Careca dan Ronaldo aktif untuk bergerak dan mahu terlibat di dalam permainan untuk mengancam Kedah. Mereka berdua ada kelebihan kualiti individu untuk mengatasi pertahanan Kedah.

Mereka berdua sentiasa menjadi ancaman tambahan dengan mencipta ‘superiorities’ di bahagian serangan. Tetapi masalah utama mereka di zon serangan adalah penyudah yang tidak berkesan.

Perak memanipulasi ruang di sayap

Selain itu, Kedah ada satu lagi kelemahan ketika bertahan yang harus diperbaiki iaitu jarak di antara garisan pemain sayap dengan pertahanan yang terlalu jauh. Perak mengesan perkara ini dan mereka fokus kepada serangan di bahagian sayap.

Perak kemudian melepaskan beberapa siri hantaran penetratif (killer passes) yang mengancam pasukan Kedah. Hal ini kerana, pemain bek sisi Kedah terdedah dengan ancaman tanpa sokongan daripada pemain sayap (Kedah) lambat turun membantu bertahan – kerana jarak yang besar antara mereka.

Seperti yang saya tegaskan di atas, Perak berjaya mengatasi pertahanan Kedah banyak kali, tetapi dihampakan penyudah mereka. Brendan Gan ada sekurang-kurangnya 3 peluang keemasan.

Pemain pertahanan Kedah, Shakir Hamzah juga cemerlang di pertahanan akhir untuk menafikan beberapa ancaman lagi.

Perak memberikan ruang Kedah bangkit daripada kesukaran

Kedah berberapa kali selamat daripada ancaman oleh Perak yang pada satu ketika bermain dengan intensif. Namun Kedah meningkatkan penguasaan mereka secara perlahan-lahan.

Apabila sesebuah pasukan itu berjaya mengeluarkan diri mereka daripada beberapa situasi sukar, secara tak langsung ia akan mengeluarkan kekuatan mereka. Mungkin Perak tidak sedar akan perkara ini. Tetapi Kedah jelas sekali bakal memberikan mereka masalah dengan momen yang bakal mereka miliki – ini apabila Perak gagal menghukum Kedah dengan beberapa peluang mereka ada.

Dari segi bertahan, Perak tidak banyak masalah kerana gaya permainan Kedah yang ‘direct’ dan sudah mereka jangka. Cuma Perak ada isu dengan ‘man marking’ – mereka kerap terlepas Fernando Rodriguez.

Perak tidak bermain aksi terbaik mereka namun mereka lebih bersemangat dan ada idea yang jelas – apa yang mereka mahu lakukan terutama sekali 20 minit pertama. Perak sangat agresif dan mencipta beberapa peluang gol.

Perak bermain bola sepak lebih ofensif berbanding dengan taktikal mereka sebelum ini. Mereka berterusan menyerang dan mencipta peluang gol sepanjang perlawanan. Cuma mereka banyak mempersia-siakan peluang.

Momen kad merah menjadi ‘gamechanger’

Pada pandangan saya, kad merah itu adalah pengubah perlawanan. Ianya membuatkan perlawanan ini menjadi satu pertarungan yang baharu. Jelas sekali Kedah sudah nampak mereka ada peluang untuk menang.

Bermain masa tambahan 30 minit – kurang seorang pemain – adalah sangat sukar. Pada peringkat ini kesemua pemain keletihan dan ianya memang cerita berbeza.

Perak kemudian bergelut dengan isu posisi ketika bertahan. Mereka hilang kawalan serta perancangan mereka rosak. Senario  baharuini memberikan kelebihan kepada Kedah yang ada kelebihan numerical.

Aidil Sharin kemudian menjadikan padang lebih luas (made the field wider) dan mereka ‘mencederakan’ Perak.

Mobiliti, tenaga dan gerakan daripada pemain seperti Fayadh membuatkan Perak semakin sukar – dengan pemain mereka yang keletihan secara fizikal dan mental.

Gol Kedah kemudian terhasil. Satu tindakan secara berpasukan yang bagus daripada Kedah ketika Perak hilang keseimbangan ketika bertahan di kiri dan kanan. Posisi para pemain Perak sangat teruk ketika bertahan.

Rizal Ghazali tiba dari garisan kedua, menyusup ke ruang kosong dan melakukan hantaran yang disudahkan Fadzrul Danel. Ianya gol yang kemas. Ini kesilapan pertahanan yang paling serius dilakukan Perak pada malam itu. Kedah selayaknya mendapat sesuatu. Inilah bola sepak.

Kedah menggunakan kelebihan mereka sebaik mungkin. Mereka tidak membenarkan Perak memegang bola.

Selepas gol itu, Perak tetap mencipta beberapa peluang gol. Tetapi fokus para pemain mereka agak berkurangan kerana terlalu letih.

Kedah kemudian turun bertahan dan mereka tahu, mereka sudah melakukan tugasan mereka.

Kedah selayaknya Juara

Adakah Kedah menang nasib? Tidak, pada pandangan saya.

Ini kerana, setiap pasukan bermain dengan senjata yang mereka ada. Setiap pasukan ada momen tertentu untuk mereka memenangi perlawanan, bezanya Kedah menyudahkan salah satu momen itu dan Perak pula terus gagal.

Biasanya pasukan yang terbaik akan menang, namun untuk perlawanan ini ianya lebih tepat dikatakan, pasukan yang menyempurnakan peluang menjadi pemenang. Hal ini kerana kedua-dua pasukan tidak terlalu jauh kualitnya.

Ini yang menjadikan bola sepak sukan yang hebat, membuatkan kita semua boleh berimpian dan menangis.

Tahniah kepada Kedah selaku juara, dan kerana sentiasa menunjukkan semangat yang tinggi dalam bola sepak. Juara adalah pasukan yang berjaya melakukan sesuatu lebih baik daripada lawan mereka. Dalam kes ini, Kedah menunggu peluang mereka dan menyempurnakannya.

Tak lupa juga, syabas kepada pasukan Perak. Pasukan yang hebat dengan penyokong hebat.

Ramón Marcote.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN