Di atas kertas Chelsea memiliki senarai nama pemain penyerang yang boleh mendatangkan gerun kepada mana-mana pertahanan lawan. Olivier Giroud adalah pemenang Piala Dunia. Manakala Alvaro Morata memiliki dua kejuaraan liga – masing-masing di Sepanyol dan Itali, serta dua gelaran UEFA Champions League di dalam kabinet kejuaraan peribadi mereka.
Namun demikian, kedua-dua pemain hanya menjaringkan 6 gol sesama mereka untuk Chelsea pada musim ini. Ia bersamaan dengan 15.7% daripada jumlah keseluruhan jaringan The Blues selepas 21 perlawanan – indikasi jelas Maurizio Sarri perlu melakukan sesuatu, agar musim pertama beliau di England tidak akan dikenang sebagai kegagalan.
Masalah utama Chelsea
Berdasarkan data ringkas dari pengiraan di atas, kita boleh simpulkan posisi paling bermasalah buat Chelsea pada musim ini ialah di bahagian serangan.
Sebagai perbandingan, penyerang utama di Liverpool – sebagai pendahulu liga – Mohamed Salah telah menyumbangkan 26.5% dari jaringan keseluruhan kelab Merseyside itu. Harry Kane pula telah menyumbang 30.% daripada jumlah jaringan Tottenham setakat ini, dan Sergio Aguero di Manchester City menjaringkan lebih banyak gol dari Giroud dan Morata – dengan 10 gol setakat ini.
Maka tidak hairanlah jendela perpindahan pemain pada Januari ini menyaksikan beberapa nama dikaitkan dengan perpindahan ke Stamford Bridge. Antaranya ialah Karim Benzema dari Real Madrid, Calum Wilson dari Bournemouth, dan terbaru ialah Gonzalo Higuain yang dikhabarkan telah bersetuju untuk berhijrah dari San Siro.
Tetapi adakah pemain-pemain ini akan memberi jaminan kepada perubahan nasib Chelsea dan Maurizio Sarri pada musim ini? Kami mempunyai pendapat yang sebaliknya.
Sarri di Napoli
Sistem bola sepak yang diterapkan oleh Sarri lebih dikenali dengan kehadiran penyerang utama bertubuh kecil yang memiliki kebolehan teknikal yang tinggi. Dengan kata lain, SarriBall tidak sesuai dengan profail penyerang target man untuk mengetuai jentera serangan – sepertimana Morata atau pun Giroud.
Higuain pernah beraksi bersama Sarri di Napoli, menjaringkan 71 gol dari 104 penampilan. Tetapi selepas Higuain dijual ke Juventus, diikuti kecederaan panjang Arkadiusz Milik – Sarri tiada pilihan lain kecuali mencari cara lain untuk memperkasakan bahagian serangan di Napoli.
Untuk itu, Sarri memilih untuk menggunakan penyerang sayap, Dries Mertens di bahagian sayap sebagai penyerang No. 9 jadian, atau pun turut dikenali sebagai false 9.
Hasilnya tidak mengecewakan. 46 gol dijaringkan di dua musim Serie A selepas itu – prestasi Mertens adalah pemangkin utama kepada kebangkitan Napoli sebagai salah sebuah pasukan paling berpotensi di Eropah di era Sarri.
Tatkala Chelsea seperti kehilangan idea untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah penyerang, Sarri mungkin perlu merjuk kepada rumus lama yang beliau pernah pakai di Napoli. Bezanya, kali ini Sarri boleh mempergunakan Eden Hazard di posisi tersebut.
Analisis: Hazard di Chelsea
Tidak boleh dinafikan bahawa posisi terbaik Eden Hazard bersama Chelsea setakat ini adalah di posisi sayap kiri. Dari posisi tersebut, Hazard diberikan kebebasan untuk melakukan apa yang beliau mahu lakukan – sesuai dengan kreativiti yang beliau miliki.
Di posisi sayap kiri, ia membenarkan Hazard turun ke bawah di bahagian midfield, dan melakukan larian dari blok rendah/deep area untuk menewaskan pertahanan lawan. Hazard adalah pemain yang gemar menewaskan pertahanan lawan secara bersemuka. Demikianlah kebanyakkan gol yang dihasilkan beliau sepanjang bersama Chelsea.
Dalam beberapa perlawanan, Sarri pernah melakukan eksperimen dengan meletakkan Hazard di bahagian tengah serangan – sebagai No.9 atau target man. Namun ianya kurang berkesan. Malah Chelsea kendalian Sarri hilang kreativiti yang diperlukan ketika Hazard beraksi di posisi tersebut.
Maka idea yang lebih wajar ialah Sarri perlu membentuk Hazard dari pemain sayap, kepada penyerang No.9 jadian, sebagaimana yang pernah beliau lakukan kepada Mertens.
Bagaimana False 9 berfungsi?
Terma ‘false 9’ sering mendatangkan kekeliruan kepada kefahaman kita di dalam sistem bola sepak moden. Ada kalanya kita dengan mudah meletakkan kategori pemain dengan profail sebegini sebagai pemain tengah (midfielder) yang beraksi sebagai penyerang tengah (central forward).
Realitinya, ia lebih berkaitan kepada bagaimana seseorang pemain beraksi dengan peranan tersebut – tanpa mengira dari posisi mana sekali pun. Seorang pemain dengan peranan ‘false 9‘ boleh jadi berasal dari seorang penyerang klasik seperti target-man, atau pun seorang pemain tengah yang digunakan secara decoy sebagai out-and-out poacher.
Ideanya ialah seorang false 9 akan kerap berada di zon yang kebiasaannya diisi oleh seorang pemain tengah penyerang, sedikit di belakang di mana penyerang sebenar sepatutnya berada – dengan idea untuk mengelirukan pemain pertahanan tengah lawan untuk mencari siapa sebenarnya yang patut dikawal.
Ruang kosong yang sengaja dicipta oleh pemain false 9 kebiasaannya akan menjadi ruang untuk dieksploitasi oleh penyerang sayap yang lain.
Analisis: Perubahan taktikal Mertens di Napoli
Pada September 2017, statistik yang dihasilkan Mertens di Serie A ialah sekurang-kurangnya menjaringkan satu gol, atau menghasilkan satu bantuan gol untuk setiap 70 minit perlawanan. Statistik ini dilaporkan oleh pemerhati bola sepak Itali, James Horncastle, yang diterbitkan oleh ESPN.
Ia adalah statistik yang mengerunkan – dan berlaku selepas Sarri menukar peranan pemain antarabangsa Belgium ini dari pemain sayap kepada seorang penyerang No.9 jadian.
Bekas pemain PSV Eindhoven itu tidak mempunyai masalah dengan perubahan taktikal yang diberi oleh Sarri di Napoli. Aset permainan Mertens ialah kepantasan, bijak melakukan larian dari garisan pertahanan lawan untuk berada di bahagian tengah serangan – sekaligus meletakkan beliau di posisi untuk menjaringkan gol.
Di dalam proses, gerakan tersebut turut berjaya membuka ruang untuk rakan sepasukan untuk mengeksploitasi ruang terbuka yang gagal dikawal pertahanan lawan – atau memberi kesempatan untuk beliau melakukan bantuan gol untuk rakan sepasukan.
Dua lakaran di atas adalah contoh bagaimana peranan Mertens di dalam sistem Sarri ketika di Napoli. Lakaran di atas adalah contoh bagaimana Mertens membuka ruang untuk Marek Hamsik melakukan larian, tatkala diri beliau turun sedikit ke bawah untuk melakukan bantuan gol.
Bagaimana Sarri boleh mengubah Hazard?
Seperti Mertens, Hazard juga bukan pemain yang natural atau asli untuk posisi No.9. Kedua-dua pemain tidak mempunyai fizikal yang sesuai sebagai target man, namun kedua-dua memiliki kelincahan dan kepantasan sebagai aset utama permainan.
Kita juga harus akui Hazard adalah pemain yang memiliki kebolehan teknikal yang lebih baik berbanding rakan sepasukan antarabangsa beliau di dalam skuad Belgium itu.
Mempertaruhkan Hazard sebagai No.9 jadian sepertimana yang pernah Sarri lakukan untuk Mertens di Napoli, mungkin adalah jawapan yang Sarri tercari-cari selama ini untuk menyelesaikan isu prestasi di barisan hadapan Chelsea pada musim ini – juga penyelesaian jangka masa panjang buat pemain yang sentiasa mahukan cabaran baharu di dalam permainan.
Untuk berbuat demikian, ianya sebenarnya tidak sukar buat Sarri kerana Chelsea turut mempunyai pemain dengan adunan yang mirip dengan Napoli kendalian beliau.
Pedro dan Willian misalnya, mampu beraksi bola sepak pantas sepertimana yang ditampilkan oleh Jose Callejon dan Lorenzo Insigne di kelab Serie A itu. Ketibaan Christian Pulisic, boleh disamakan dengan peranan yang dimainkan oleh Marek Hamsik sebagai pemain tengah menyerang.
Sarri turut memiliki Jorginho yang sudah memahami corak permainan dan sistem yang dipraktikkan Sarri selama ini – beserta kehadiran N’Golo Kante untuk digandingan – sekaligus melengkapkan tiga pemain di bahagian tengah di dalam sistem 4-3-3 jurulatih dari Itali itu.
Di dalam sistem ini, Hazard akan memiliki pilihan untuk turun ke garisan bawah untuk mencipta ruang dan dan jaringan sepertimana yang beliau gemar lakukan di bahagian sayap kiri – dan juga untuk menjaringkan gol dengan larian-larian mengelirukan pertahanan lawan bermula dari garis rendah di belakang pertahanan.
Adakah Hazard gembira?
Ketika di bawah kendalian Antonio Conte, Eden Hazard dengan terbuka menyatakan beliau tak gembira untuk bermain di peranan false 9. Ini kerana beliau lebih sukakan peranan di sayap.
Namun begitu, dalam sistem Sarri, beliau mungkin menikmati peranan ini dengan cara berbeza. Ini kerana sistem Sarri lebih kepada dominasi di kawasan lawan. Berbanding dengan sistem Conte yang berasaskan serangan balas.
Seterusnya, setiap pemain akan gembira jika dapat menjaringkan gol. Dan buat masa ini, Hazard berjaya menjaringkan beberapa gol dalam peranan ini.
Rumusan: Hazard kelas dunia?
Cakap-cakap di UK mengatakan Hazard sebagai pemain berkelas dunia – lebih baik dari Messi atau Cristiano Ronaldo? Jermain Jenas menyifatkan keupayaan dan cita-cita Hazard adalah lebih besar dari Chelsea – dan merupakan sebab utama pemain tersebut perlu berhijrah dengan menyertai pasukan seperti Real Madrid atau Barcelona.
Hazard adalah pemain yang gemarkan cabaran. Mungkinkah langkah sebegini akan memberikan cabaran yang diinginkan oleh Hazard? Atau mungkinkah Hazard perlu membuktikan dirinya sebagai seorang pemain serba boleh dengan peranan baru seperti ini?
Seterusnya, jika Sarri berjaya membentuk Hazard menjadi pemain false 9 yang mampu menjaringkan gol yang banyak – beliau akan dapat manfaat untuk jangka pendek dan jangka panjang.
Untuk jangka pendek, ianya boleh menjadi plan B untuk Chelsea ketika sedang mencari ataupun dalam proses mendapatkan penyerang no.9 yang prolifik. Untuk jangka panjang, siapa tahu Hazard terus menjadi penyerang prolifik ataupun 20 gol semusim.
Sarri pernah melakukan kerja ‘converting’ ini ketika di Napoli. Mengapa tidak di Chelsea?