Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Analisis: Pertarungan Tiga Penjuru KL, Felda United & PKNP FC Elak Penyingkiran Dari Liga Super

Tiga pasukan yang kini jelas berada dalam kedudukan berbahaya untuk tersingkir dari saingan Liga Super pada musim hadapan ialah Kuala Lumpur, Felda United dan juga PKNP FC.

PKNP FC kini menduduki tangga ke-10 saingan dengan 15 mata. Felda United juga memiliki jumlah mata yang sama, namun dibezakan dengan perbezaan jaringan di tangga ke-11. Kuala Lumpur pula menduduki tangga tercorot setelah hanya mengutip 14 mata dari 20 perlawanan.

Kuala Lumpur paling sukar

Kuala Lumpur mungkin memiliki laluan paling sukar dari baki dua perlawanan selepas ini, apabila akan menunggu kunjungan JDT pada malam ini, sebelum berkunjung ke Ipoh untuk berhadapan finalis Piala FA 2019.

Jika ada perkara positif yang mahu diambil oleh Kuala Lumpur untuk perlawanan pada malam ini ialah kerana mereka adalah satu-satunya pasukan yang berjaya menumbangkan gergasi dari selatan tanah air itu pada musim lalu – dalam perlawanan yang diadakan selama dua hari.

Perak pula berkemungkinan besar akan merehatkan pemain-pemain utama mereka ketika menentang Kuala Lumpur pada 21 Julai, untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada perlawanan akhir pada hujung minggu berikutnya.

Felda United sedikit kelebihan

Felda United pimpinan Nidzam Jamil dilihat sebagai pasukan yang akan berjaya menjelmakan kebangkitan pada saat-saat akhir untuk kekal di saingan Liga Super pada musim hadapan.

Setelah berjaya menewaskan Kuala Lumpur di Cheras pada hujung minggu lalu, The Fighters sudah pasti mahu menjelmakan semangat yang sama untuk mencipta kemenangan di Manjung. Tiga lagi mata berharga akan menjadikan Felda United semakin pasti untuk kekal di saingan Liga Super pada musim hadapan.

Walaupun mempunyai satu kelebihan di dalam tangan, dua lawan seterusnya buat Felda ialah Pahang di Kuantan dan juga Kedah di Jengka. Seperti Perak, Kedah juga akan beraksi di perlawanan akhir Piala FA. Felda United juga pasti akan mengambil inspirasi dari kejayaan mereka menumbangkan lawan yang sama pada separuh akhir kedua Piala FA yang lalu.

Hidup mati PKNP FC

Seperti Kuala Lumpur, PKNP FC juga hanya memiliki baki dua perlawanan termasuk menentang Felda United pada malam ini. Pada kedudukan sekarang, PKNP FC wajib menang baki dua perlawanan ini.


Kekalahan kepada Felda pada malam ini bermakna PKNP FC boleh melupakan saingan Liga Super pada musim hadapan.  Manakala perlawnaan menentang PJ City FC pada minggu terakhir MSL 2019 berkemungkinan besar tidak akan membawa sebarang makna sekiranya PKNP FC tewas terlebih dahulu perlawanan ini.

Rumusan

Pada pandangan anda, pasukan manakah yang mampu kekal di saingan Liga Super pada musim hadapan? Manakah dua diantara tiga pasukan diatas akan tersingkir ke Liga Premier?

Felda United tampak seperti mempunyai sedikit kelebihan, tetapi di dalam bola sepak banyak perkara yang tidak disangka juga boleh berlaku.Tatkala jumlah mata yang begitu hampir, setiap mata akan menjadi sangat penting di peringkat ini.