ANALISIS: Pergerakan Tanpa Bola Haaland Yang Memeningkan Pertahanan Man United

Erling Haaland semakin mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang penggempur utama Eropah apabila jaringan hatriknya bersama Phil Foden membantu kemenangan besar Manchester City ke atas seteru setempat, Manchester United di Etihad dalam aksi Premier League.

Hadir dengan reputasi serta rekod jaringan yang menggerunkan, sudah pasti kelibat Haaland akan menarik perhatian pertahanan United dalam usaha mengekang sebarang pergerakannya.

Namun ianya masih tidak cukup untuk menghalang penyerang berusia 22 tahun tersebut daripada menembusi jaring gol pasukan United, serta mendatangkan kegusaran kepada pertahanan lawan terutamanya Lisandro Martinez yang kelihatan bergelut untuk merantai pergerakan pemain kebangsaan Norway ini.

Jadi, bagaimana Haaland mampu melepasi segala kawalan yang dikenakan terhadapnya? Bagaimana beliau berupaya menjaringkan hatrik meskipun hanya menyentuh bola beberapa kali di kawasan lawan?

Dalam analisis kali ini, kami akan berkongsikan bagaimana pergerakan tanpa bola yang dilakukan Haaland membantu dirinya serta rakan sepasukan dalam mencipta ruang, serta menjaringkan gol dalam perlawanan Manchester Derby ini.

‘Mobility’ pegerakan Haaland 

Pemain penyerang tradisional nombor 9 kebiasaannya akan sentiasa berada di bahagian atas untuk menjadi pemain sasaran (target man), dan tidak akan kerap turun ke bahagian bawah untuk membantu kelancaran pergerakan bola ke kawasan lawan.

Kebiasaanya pemain nombor 9 klasik akan memiliki kelebihan dalam aspek fizikal untuk bertarung secara fizikal dengan pemain pertahanan lawan sepanjang permainan berlangsung.

Meskipun memiliki ciri-ciri pemain nombor 9 klasik, Haaland sentiasa menawarkan pergerakan yang dinamik buat rakan sepasukannya dalam membantu kelancaran pergerakan bola (fluidity).

‘Mobility’ yang dilakukan oleh Haaland ini membolehkan City mendominasi bahagian tengah, dimana kombinasi permainan dapat dilakukan sebelum Haaland menggunakan kepantasan yang dimilikinya untuk kembali menyediakan ‘attacking depth’ ketika pasukannya berada dalam fasa serangan.

Trend yang dinyatakan di atas sudah mula ditunjukkan City di awal minit permainan. Perhatikan kedudukan Haaland yang turun ke bawah untuk menerima hantaran bola di antara pemain pertahanan dan tengah United (space in between the lines).

Tindakan ini mampu mencipta situasi dilema kepada pemain ‘centre-backs’ United sama ada perlu mengekori pergerakannya serta meninggalkan posisi bertahan mereka, atau pun mengekalkan kedudukan bertahan mereka dan membiarkan Haaland menerima bola tanpa tekanan.

Dalam situasi ini, pemain ‘centre-backs’ United memilih untuk membiarkan Haaland menerima bola tanpa sebarang kawalan dan tekanan.

Sekali gus membolehkan Haaland melakukan pusingan badan dan melakukan hantaran kepada Grealish tanpa sebarang tekanan, sebelum memulakan lariannya daripada ‘deep area’.

Pergerakan dinamik yang sukar diduga 

Haaland juga bijak dalam merancang lariannya untuk mengelirukan pertahanan lawan, serta mengeksploitasi sebarang ruang yang ditinggalkan oleh pihak lawan untuk mencipta peluang menjaringkan gol buat dirinya, serta rakan sepasukan.

Gambar di atas merupakan kesinambungan daripada situasi terdahulu, dimana Haaland membuat larian daripada ‘deep area’.

Perhatikan Martinez (dalam bulatan merah) yang menyedari ancaman yang bakal dibawa oleh Haaland menerusi pergerakan ini.

Haaland tidak meneruskan lariannya, sebaliknya meletakkan dirinya di poket ruang, sementara gerakan pukau yang dilakukan oleh Foden turut membuka ruang di bahagian ‘far post’.

Ruang serta kedudukan yang tepat membolehkan Haaland menanduk hantaran lintang daripada Bernardo Silva, sebelum terbias oleh hadangan Scott McTominay.

Namun perhatikan kedudukan serta ruang yang dimiliki oleh Kevin De Bruyne yang bersedia untuk menyambut sebarang bola yang melantun keluar.

Sekali gus membolehkannya melepaskan rembatan tanpa sebarang tekanan, sebelum McTominay sekali lagi menghadang percubaan tersebut.

Menindih pemain ‘centre-backs’ United

Haaland juga mampu mengunci pergerakan dua pemain ‘centre-backs’ United bagi membuka ruang buat rakan sepasukannya dalam menggerakkan serangan.

Tindakan menindih (pinning) pemain ‘centre-backs’ membolehkan pemain-pemain City yang lain mencipta situasi ‘numerical equality’ mahupun ‘numerical superiority’, dimana mereka berpeluang mencipta situasi seperti ‘1 V 1’ serta ‘2 V 2″ ke atas pemain United.

Gambar di atas menunjukkan detik sebelum gol pertama City dijaringkan oleh Foden. Perhatikan Haaland yang menindih serta mengunci dua pemain ‘centre-backs’ United bersamanya, sekali gus membolehkan City mencipta situasi ‘numerical equality’ yang dinyatakan sebelum ini.

Pergerakan dinamik yang dilakukan oleh Haaland dengan mensasarkan Martinez turut memberi kesan kepada kedudukan bertahan Varane bagi memberi ‘polisi insurans’ buat Martinez untuk meneutralkan ancaman daripada Haaland.

Situasi ini turut membantu dalam membuka ruang buat Foden yang sedang dikawal oleh Christian Eriksen.

Situasi tindihan Haaland ke atas dua ‘centre-backs’ United membuka ruang buat Foden yang telah melepasi kawalan Eriksen saat hantaran lintang dilakukan oleh Silva.

Bagi membolehkannya menjaringkan gol pertama perlawanan.

Tindakan menindih dua ‘centre-backs’ ini bukanlah satu perkara yang menjadi kebetulan, kerana organisasi ini berlarutan sehingga ke babak kedua perlawanan.

Ketika minit ke-63 perlawanan, City memperoleh peluang untuk melakukan serangan balas. Perhatikan kedudukan Haaland pada waktu ini yang berada berdekatan dengan Martinez.

Sebelum beliau meletakkan dirinya di kedudukan yang ideal untuk menindih dua ‘centre-backs’ United. Tindihan ini berupaya menarik keluar kedua-dua ‘fullbacks’ United, sekali gus membuka ruang untuk dieksploitasi oleh City.

Ketika Bernardo menyerang ruang di hadapannya, Haaland mula melakukan pergerakan dinamik daripada posisi asalnya (berdekatan Martinez), sebelum membuat larian titik buta (blind spot) ke atas seorang lagi ‘centre-backs’ United, Lindelof untuk menyerang ruang di belakangnya.

Membolehkan Haaland melakukan rembatan menerusi kaki dominannya, namun percubaan tersebut sedikit tersasar.

Melepasi kawalan ketat pertahanan United

Kelajuan, dominasi fizikal, serta ketajaman penyudah Haaland turut membantu dirinya untuk melepasi kawalan ketat pertahanan United, sekaligus membolehkan dirinya mencipta gerakan serangan yang merbahaya.

Dalam situasi bola mati di atas, Haaland sedang dikawal ketat oleh Eriksen. Terdapat satu ruang yang kecil terbuka di hadapan Eriksen, dan Haaland ketika ini sudah mengesan ruang tersebut.

Kekuatan fizikal serta kepantasan yang dimilikinya membolehkan Haaland melakukan larian melengkung (curved run) di antara Eriksen dan Diogo Dalot.

Sekali gus membolehkannya mengeksploitasi ruang tersebut dan menjaringkan gol pertama dirinya dalam perlawanan ini.

Jaringan hatrik ini mencipta sejarah baru apabila beliau dinobatkan sebagai pemain pertama yang mencatatkan tiga kali hat-trick secara berturut-turut di halaman sendiri.

Haaland kini telah menjaringkan 16 gol dalam 11 perlawanan untuk City, satu rekod jaringan yang menggerunkan buat mana-mana pemain pertahanan yang ditugaskan untuk mengawalnya dalam sesuatu perlawanan.

Leave a Reply