ANALISIS: Peranan Syamer Kutty Yang Pertama Kali ‘Tersisih’ Paling Cocok Dengan Brendan Gan

Brendan Gan ganti Syamer Kutty Malaysia King's Cup 2022

Siapa yang bakal galas peranan Syamer Kutty Abba dalam kesebelasan utama malam ini? Mata akan tertumpu kepada Brendan Gan saat ini.

Jika dilihat, hanya dua pemain belum pernah tersisih daripada kesebelasan utama Kim Pan-gon sejak Mac lalu iaitu Syamer Kutty Abba dan Dion Cools.

Dan untuk kejohanan jemputan, 48th King’s Cup di Chiang Mai, Thailand, 22 September ini, mungkin kita bakal melihat gandingan segar di tengah.

Ini kerana, Syamer terpaksa disisihkan oleh Harimau Malaya akibat baru sahaja pulih daripada pembedahan lutut yang dilaluinya pada Julai lalu.

Tanpa pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kali ini, agaknya siapa bakal diberikan peranan yang kemas dilaksanakannya dalam tujuh aksi?

Apa peranan yang dimainkan Syamer Kutty?

Di atas kertas, Malaysia akan tampil dengan formasi 4-3-3 dengan defensive midfielder akan menjadi half-back dengan turun lebih ke bawah – di antara dua bek tengah bagi membentuk formasi seakan-akan 3-4-3. Ini terdapat dalam ‘kitab lama’ Kim Pan-gon, pengendali baharu Harimau Malaya.

Peranan itu digalas oleh Syamer dengan sangat baik setiap kali diturunkan.

Rajah 1 Malaysia Filipina 4-3-3
Rajah 1 – Formasi asas Malaysia iaitu 4-3-3. Perhatikan kedudukan Syamer Kutty sebagai defensive midfielder.

Mereka adalah ‘pakar’ transisi fasa-fasa permainan dan senjatanya adalah meletakkan diri dalam posisi yang betul pada masa yang tepat. Tugas mereka adalah memintas dan ‘mencuri’ bola daripada pihak lawan.

Dalam setiap fasa permainan pasukannya – menyerang atau bertahan, mereka akan memainkan dan mengambil peranan yang berbeza.

Dalam fasa menyerang, kedua-dua wingback akan naik lebih ke atas dan meninggalkan dua bek tengah. Syamer akan turun lebih ke bawah – di depan sedikit atau selari bersama Shahrul Saad yang membuka ke kanan dan Khuzaimi Piee yang membuka ke kiri. Di sinilah kepentingan bek tengah berkaki kiri yang diidamkan Kim seperti yang dijelaskannya sebelum itu.

Syamer akan turun ke bawah untuk membantu Shahrul Saad dan Khuzaimi Piee membentuk formasi pasukan seakan-akan bek bertiga (rujuk rajah 2).

Rajah 2 Malaysia Filipina Syamer Kutty Half-Back
Rajah 2 – Kim Pan-gon gemar mulakan serangan dari bawah. Perhatikan kedudukan Syamer Kutty sebagai Half-Back.

Dalam fasa bertahan, Syamer akan berada di depan Shahrul Saad dan Khuzaimi Piee untuk membuat screening sebelum lawan memulakan serangan. Beliau akan menjadi defensive midfielder seperti di rajah 1.

Fungsinya adalah memberi pelindungan tambahan dan keseimbangan jika rakan di benteng pergi membuat hadangan dan cabaran kepada lawan. Beliau akan memintas segala  hantaran. Beliau juga akan mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan pemain yang pergi menekan lawan.

Sekiranya Syamer melibatkan diri dengan ‘battle’ bukan di posisinya (rujuk rajah 3), pemain tengah lain akan mengisi kekosongan posisinya untuk memastikan kawasan tersebut tidak dieksploitasi oleh lawan. Jika beliau tewas dalam ‘battle’ itu sekalipun, pelindungan benteng masih ada.

Rajah 3 Malaysia Filipina Syamer Kutty fasa bertahan
Rajah 3 – Syamer Kutty melibatkan diri mengasak serangan Filipina dengan 4 benteng pertahanan sudah berada di bawah.

Ketika pasukan berada dalam transisi serangan kepada bertahan, Peranan pentingnya adalah melengahkan lawan untuk mengatur asakan ke kubu skuad negara tidak kira sama ada beliau membuat hadangan, memintas hantaran atau menutup ruang pemain yang memiliki kawalan bola.

Perubahan daripada situasi bertahan ke serangan memperlihatkan bagaimana Syamer perlu memulakan hantaran dari kawasan defensive third ke atas. Beliau perlu melihat untuk membuat hantaran ke koridor kanan atau kiri di mana wingback akan menekan kawasan lawan – antara pentingnya wingback dalam sistem ini. Defensive midfielder dan wingback diberikan peranan besar dalam sistem yang digunakan oleh Kim Pan-gon.

Tugasnya hanyalah membuat hantaran mudah dan tidak perlu terlalu ‘fancy’ atau sukar. Ini kerana, sebarang kesilapan dalam hantaran yang dibuatkan berpotensi akan mendedahkan benteng dalam situasi kurang enak nanti.

Rajah 4 Malaysia Filipina Syamer Kutty Transisi defence ke serangan
Rajah 4 – Transisi daripada bertahan ke serangan di mana Syamer Kutty perlu buat pilihan dan beliau memilih Corbin Ong.
Rajah 5 Malaysia Filipina Syamer Kutty fasa serangan ke bertahan
Rajah 5 – Syamer Kutty mengganggu hantaran sehingga lawan terlepas kawalan bola dalam transisi menyerang kepada bertahan.

Peranan Syamer cocok dengan Brendan Gan?

Dalam senarai 25 pemain yang dibawa Kim Pan-gon ke Chiang Mai, tampak tiada seorang pun pemain yang ‘berotak’ defensive midfielder. Brendan Gan, Nazmi Faiz, Nor Azam Azih dan Mukhairi Ajmal adalah pemain tengah yang bukanlah secara natural bermain sebagai seorang defensive midfielder.

Namun, di antara keempat-empat pemain itu, Brendan adalah pemain yang dilihat mampu mengisi peranan Syamer. Semangat, ‘attitudes’, disiplin dan kemampuannya secara bertahan lebih baik berbanding tiga pemain lain dan ini pernah diakui oleh Azam Azih sendiri kepada pihak media sebelum ini.

“Saya lihat kelebihan pada bertahan ada pada Brendan dan gandingan kami ada nampak sedikit keserasian dalam dua hari sesi latihan ini dan akan terus tingkatkan prestasi.”

Malah, jika anda masih ingat, keperwiraannya yang menjulang Malaysia ketika berdepan Thailand dan Indonesia, sebelum Covid-19 melanda dunia ketika  dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Apa yang diberikannya dalam perlawanan adalah melebihi jangkaan.

‘Gerak kerja’ Brendan sebelum berehat panjang

Jadi, berdepan Thailand untuk King’s Cup pada malam ini, kemungkinan untuk Brendan mengambil alih peranan Syamer amatlah besar. Beliau beraksi baik ketika pasukan dalam kedua-dua fasa berdasarkan perkongsian pengulas Astro ArenaKeesh Sundaresan sebelum ini.

Ketika Malaysia menewaskan lawan yang sama yang bakal ditemui malam ini pada November 2019 dengan keputusan 2-1, pemain berusia 34 tahun itu adalah yang paling menyerlah sama ada ketika fasa bertahan atau menyerang. Ya, peranannya ketika itu berbeza dengan yang dimainkan Syamer iaitu ‘Box-to-box’ bukan defensive midfielder atau half-back.

Tetapi, tiada masalah untuk Brendan menyesuaikan diri dengan peranan baharu dan tentunya ada improvisasi yang bakal dibuat oleh Kim nanti.

Menurut Keesh, pemain kacukan Malaysia-Australia itu telah menghasilkan complete passes terbanyak di kalangan pemain Malaysia selain terbanyak dalam membuat forward passes (13) dan passes into final third (7).

Bukan itu sahaja, beliau juga turun untuk membantu benteng pertahanan.

Beliau membuat 12 ball recoveries di mana 50 peratus dalam kawasan lawan – terbanyak dalam perlawanan itu. Beliau juga ketiga terbanyak menang pertembungan di udara selepas Shahrul Saad dan juga Corbin Ong. Kedua-dua pemain itu merupakan pemain di benteng pertahanan.

Untuk mengatakan siapa yang wajar diberikan peranan seperti Syamer malam ini, berdasarkan statistik ringkas ini, boleh kita katakan, Brendan adalah orangnya. Begitupun, semua keputusan di tangan Kim Pan-gon.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN