Analisis: Perak Tak Melawak Mahukan Ronaldinho, Ini Pandangan Kami

Ada pembaca kami bertanya, jika benar ada pasukan Liga Malaysia, Perak mahukan Ronaldinho, berapa angka mereka kena bayar untuk pemain itu?

Walaupun pemain itu menyatakan sedia bermain tanpa gaji, namun dalam bola sepak, setiap perkara itu ada nilainya. Lebih-lebih lagi untuk pemain yang ada hak imej seperti Ronaldinho.

Perkara ini sangat sukar untuk dijelaskan. Namun kami hanya membuat perbandingan beberapa situasi melibatkan Ronaldinho.

Ronaldinho mahu bermain percuma di Malaysia

Beberapa bulan lalu, ketika mempromosi UCL ke Malaysia, Ronaldinho menyatakan beliau sanggup bermain di Malaysia secara percuma kerana menghargai ‘passion’ orang Malaysia kepada bola sepak.

Ayat sebegitu mungkin retorik yang lebih kepada penghargaan beliau kepada sambutan luar biasa dan sangat baik orang Malaysia ke atas beliau.

Lantas pasukan seperti Perak mulai dikaitkan dengan perpindahan Ronaldinho, gara-gara kenyataan daripada orang PAFA yang sedia menawarkan Ronaldinho kontrak jika benar beliau mahu bermain percuma.

Baiklah, kami mulanya anggap kenyataan beberapa bulan lalu itu lebih kepada lagak publisiti (publisiti stunt). Ini petikan kenyataan pada April 2018.

Namun beberapa hari lalu Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengulangi mereka serius mahukan Ronaldinho Gaucho, bukan Patrick Ronaldinho ya. Ianya bukan lawak.

Beliau berkata, idea mendapatkan Ronaldinho adalah kerana pemain itu menyatakan dia sanggup bermain percuma.

Lagipun Perak akan beraksi dalam kelayakan ACL selepas ini, Ronaldinho ada segala pengalaman yang diperlukan untuk membantu pasukan. Dipetik dari sumber Berita Harian, beliau berkata:

“Ronaldinho sendiri pernah menyatakan hasrat untuk bermain di negara ini mempromosikan kempen Piala Dunia Rusia di Kuala Lumpur sebelum ini.”

Rasanya Ronaldinho mengeluarkan kenyataan itu ketika promosi final UCL 2017/18.

“Saya rasa daripada segi bayaran tidak menjadi halangan berikutan beliau sendiri memberitahu sedia untuk bermain di sini tanpa mengenakan bayaran, jadi saya menyahut cabaran itu.”

PAFA menjelaskan mereka masih berusaha untuk menghubungi ejen Ronaldinho.

“Kami sedang berusaha untuk menghubungi ejen yang menguruskan beliau, walaupun difahamkan beliau sudah tidak bermain bola sepak sejak lapan bulan lalu.”

Berapa gaji terakhir

Berdasarkan sumber oleh Goal, gaji terakhir pemain ini sebagai pemain profesional adalah £150,000 sebulan ataupun RM760,000.00 sebulan.

Kontrak profesional terakhir beliau bersama Fluminese telah ditamatkan atas persetujuan bersama. Ronaldinho merasakan dia tidak dihargai oleh penyokong hanya selepas 9 perlawanan.

Beliau dengan gaji mahal ketika itu gagal melakukan sebarang gol dan assist dalam tempoh tersebut. Beliau kemudian mengumumkan persaraan beliau daripada bola sepak selepas itu.

Coritiba pernah pujuk Ronaldinho keluar daripada persaraan

Coritiba adalah kelab bola sepak profesional di Brazil yang kini beraksi di Serie B Brazil. Sumber transfrmarkt menyatakan nilai kelab ini sekarang adalah €16.3 juta. Sementara itu, Perak diletakkan bernilai €2.63 juta.

Mereka diletakkan sebagai kelab ke-18 paling besar di Brazil pada 2014. Mereka menjana keuntungan €19 juta (RM 89.7 juta) pada 2014, peningkatan 25% daripada apa yang mereka dapat pada 2012.

Kelab ini memiliki 1.2 juta penyokong di Brazil.

Lebih 29% daripada keuntungan kelab mereka (kira-kira €5.5 juta atau RM25.9 juta) adalah daripada yuran keahlian penyokong dan juga daripada pendapatan sukan lain bernaung di bawah mereka.

Selebihnya adalah dijana daripada hak penyiaran. Oliver Seitz (bekas ketua pemasaran Coritiba) antara orang yang bertanggungjawab membantu kelab ini merangka model perniagaan bola sepak dan menjana keuntungan.

Selepas itu beliau menjadi ketua pemasaran untuk Jacquet Brossard. Dan kemudiannya, Seitz menjadi pensyarah subjek Football Business di UCFB in London, yang bekerja sama dan diiktiraf FA England.

Beliau kini menjadi perunding perniagaan di Johan Cruyff Institute yang merupakan rakan kepada FC Barcelona.

Seitz memiliki Master in Football Business lulusan Universiti Liverpool.

Inilah orang yang membuatkan Coritiba memiliki model pemasaran kelab yang membantu mereka menjana keuntungan.

Oleh kerana kestabilan pendapatan kelab mereka, Coritiba berani menawarkan Ronaldinho angka lebih separuh daripada gaji terakhir beliau untuk keluar daripada persaraan.

Tawaran Coritiba

Coritiba menawarkan RM413,000.00 sebulan kepada beliau untuk keluar daripada persaraan.

Sebagai perbandingan, TMJ pernah menyatakan Diaz adalah RM340,000.00 sebulan secara prinsipal.

Abangnya yang juga ejen kepada beliau sentiasa yakin bahawa Ronaldinho masih terbuka untuk tawaran bermain jika ada peluang.

Ronaldinho menolak tawaran Coritiba itu pada Januari lalu.  Kelab tersebut mahu menjadikan Ronaldinho sebagai bintang mereka selepas Ronaldinho menolak tawaran Leicester City pada Februari 2016.

Selain Coritiba, abang beliau mengesahkan 3 kelab Amerika Selatan yang beraksi di Copa Libertadores (Liga Juara-Juara Amerika Selatan) juga berminat mendapatkan adiknya itu.

Coritiba dilaporkan menawarkan gaji €88,000 sebulan ataupun sekitar RM413,000 sebulan. Coritiba juga akan membelikan pemain itu rumah dan beliau boleh memilih mana-mana rumah beliau mahukan.

Sebagai tambahan Coritiba turut menyediakan khidmat pengawal peribadi dan banyak lagi kebajikan lain.

Kenapa Ronaldinho menolak?

Dilaporkan pemain itu menolak tawaran itu kerana beliau sudah dilantik menjadi duta Barcelona FC.

Coritiba dalam kenyataan mereka selepas itu menyatakan:

“Coritiba ingin memaklumkan yang kami menamatkan usaha mendapatkan Ronaldinho.”

“Beliau terikat dengan komitmen bersama Barcelona. Ianya akan memberikan impak kepada perancangan bola sepak untuk jangka panjang, pendek ataupun jangka masa medium.”

Ronaldinho dilantik menjadi duta rasmi Barcelona pada Februari 2017. Dilaporkan gaji yang beliau dapat sebagai duta Barcelona jauh lebih tinggi daripada tawaran Coritiba.

https://twitter.com/FCBarcelonaFl/status/827719816001748993

Barcelona membayar Ronaldinho €8.6 juta setahun. Coritiba menawarkan pakej sekitar €5 juta setahun, itu tak termasuk lagi pakej belikan rumah.

Ronaldinho berkata dia berbangga menjadi sebahagian daripada duta rasmi kelab Barcelona dan menganggap tak ramai berpeluang menjadi duta kelab itu.

Ronaldinho mungkin menyatakan bayaran gaji percuma, namun harus diingat dalam perjanjian dengan beliau segala urusan adalah di tangan perunding kontrak beliau iaitu abangnya selaku ejen.

3 tahun pendapatan tertinggi beliau adalah:

1. Tahun 2009 – RM119.84 juta

2. Tahun 2010 – RM102.6 juta

3. Tahun 2011 – RM99.2 juta

Jumlah kekayaan beliau dianggarkan bernilai $90 juta ataupun RM370 juta.

Barcelona’s Ronaldinho (r) and Carles Puyol (l) celebrate with the trophy (Photo by Jon Buckle – EMPICS/PA Images via Getty Images)

Jadi, buat masa ini, sebelum Perak, sudah ada pasukan yang menawarkan Ronaldinho gaji lumayan untuk keluar daripada persaraan.

Namun pemain itu jelas lebih memilih komitmen sebagai duta rasmi kelab Barcelona. Beliau dilantik oleh Barcelona sebagai penghargaan kepada jasa beliau untuk kelab tersebut.

Isu konflik kepentingan

Jika benar Ronaldinho menerima pakej bermain percuma di Perak, beliau perlu meminta perlepasan khas untuk menjadi pemain pasukan lain merangkap duta Barcelona. Itu pastinya memerlukan budi bicara.

Ini kerana Barcelona membayar jutaan Euros untuk beliau menjadi duta mempromosi Barcelona. Beliau banyak terbang di seluruh dunia untuk mempromosi kelab tersebut.

Barcelona boleh meminta pampasan daripada Perak dan Ronaldinho untuk penamatan kontrak sebagai duta kerana ada konflik kepentingan dalam kerja.

Kecuali, Barcelona dan Ronaldinho mencapai persetujuan bersama menamatkan kontrak dan Ronaldinho kembali menjadi pemain ejen bebas di pasaran perpindahan.

Perak mungkin perlu menawarkan pakej sangat lumayan untuk membuatkan Ronaldinho melepaskan jawatan beliau di Barcelona dan kembali merumput di padang bola sepak sebagai pemain bola sepak tanpa gaji.

Isu peak

Dan jika segalanya berjalan lancar, adakah Ronaldinho masih mampu memberikan aksi terbaik beliau bersama-sama dengan Perak pada usia beliau 38 tahun?

Ditambah dengan kondisi fizikal dan juga selepas meninggalkan bola sepak profesional pada Januari lalu.

Beliau menyatakan alasan bersara adalah kerana sudah terlalu tua untuk bermain bola sepak.

Walaupun beliau sah bersara pada Januari 2018, aksi bola sepak profesional terakhir beliau adalah pada 2015 iaitu, kira-kira 3 tahun lalu. Beliau selepas itu beraksi dalam futsal di India pada 2016.

Premiere Futsal India adalah kejohanan yang tidak dan sekitar 2-3 minggu.

Jadi, PAFA harus semak semula kenyataan mereka menyatakan ini:

‘..  walaupun difahamkan beliau sudah tidak bermain bola sepak sejak lapan bulan lalu.’

PAFA mungkin merujuk kepada berita pengumuman persaraan Ronaldinho pada Januari 2018. Itu tarikh beliau sah bersara bukan bulan terakhir beliau bermain bola sepak profesional.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN