Satu kebiasaan yang kita nampak dalam kancah bola sepak kita adalah setiap pasukan Liga Super mahupun Liga Premier cukup cenderung menggunakan penyerang luar atau import.
Situasi ini menyebabkan penyerang tempatan sering terpinggir dan jika diberikan tempat dalam kesebelasan utama, pastinya mereka ditugaskan dengan tugas lain seperti menjadi pemain sayap.
Namun begitu, bagaimana kedudukan Liga Super 2019 (MSL 2019) jika hanya menggunakan penjaring tempatan sahaja?
Adakah Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya merangkul kejuaraan liga yang keenam berturut-turut? Mampukah Kuala Lumpur mengelak dari tersingkir ke liga bawahan?
Analisis ringkas ini akan menerangkannya kepada anda.
Anak tempatan tajam di depan gol
Hasil dari analisis yang dilakukan penulis, 34% gol yang terhasil dalam saingan MSL 2019 kali ini terhasil daripada jaringan pemain tempatan.
Dalam kiraan angka, sebanyak 138 gol dijaringkan pemain tempatan daripada keseluruhan 401 jaringan liga.
Sungguhpun begitu, angka tersebut mengalami penurunan berbanding 2018 apabila ketika itu 36% gol dijaringkan oleh pemain tempatan (145 daripada 400 gol).
Jika diikutkan menerusi pecahan mengikut 12 pasukan liga, JDT merupakan pasukan yang mempunyai jaringan pemain tempatan paling banyak.
Safawi Rasid menjadi pemain paling menyumbang untuk gol pemain tempatan JDT apabila menjaringkan 8 daripada 17 gol mereka.
PENJARING TERBANYAK TEMPATAN LIGA SUPER 2019 – LS22#LigaSuper2019 pic.twitter.com/ds6iwUbpWa
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 22, 2019
Rekod mereka itu diikuti rapat oleh pasukan-pasukan seperti Kedah, Perak dan Terengganu yang mendapat banyak gol daripada pemain tempatan mereka musim ini.
Apa yang mengejutkan, Kuala Lumpur turut berada dalam kedudukan pasukan yang mendapatkan banyak jaringan daripada pemain tempatan dengan 10 gol.
Mereka lebih baik berbanding pasukan-pasukan yang kekal di Liga Super musim ini seperti PKNS FC dan Melaka United.
Berikut merupakan carta jumlah jaringan mengikut penjaring tempatan mengikut pasukan:
- JDT – 17 gol
- Perak – 16 gol
- Kedah – 16 gol
- Terengganu – 15 gol
- Pahang – 13 gol
- Selangor – 12 gol
- FELDA United – 12 gol
- Kuala Lumpur – 10 gol
- PJ City – 9 gol
- Melaka United – 8 gol
- PKNS FC – 6 gol
- PKNP FC – 5 gol
Kuala Lumpur kekal, kempen #SathiaOut berterusan
Hasil daripada perkiraan yang dilakukan, analisis mendapati kedudukan liga mengalami beberapa perubahan ketara.
Paling ketara dapat dilihat apabila Kuala Lumpur yang pada asalnya berada ditangga terbawah, berjaya kekal dengan menduduki tangga kelapan liga.
Jelas sekali, gol-gol KL yang ratanya disumbangkan oleh Indra Putra dalam kalangan pemain tempatan jelas sekali berjaya menyelamatkan pasukan itu dari penyingkiran.
Dalam situasi lain, desakan #SathiaOut pada awal musim oleh penyokong Selangor dilihat berterusan jika liga hanya bergantung kepada jaringan pemain tempatan sahaja.
Hal ini kerana, Selangor yang asalnya menduduki ditangga ketiga jatuh merudum ke tangga kesepuluh dengan hanya mengutip mata minimum 22 mata sahaja.
Keputusan analisis ini juga menyaksikan PKNS FC sememangnya bergantung harap kepada Kpah Sherman pada musim ini.
Tanpa gol beliau, PKNS FC mengakhiri saingan liga dengan rekod buruk hanya mengutip 12 mata sahaja!
Berbalik pada persoalan di awal artikel, mampukah JDT mengutip kejuaraan liga keenam mereka dengan menggunakan jaringan pemain tempatan sahaja?
Jawapannya adalah ya. Gol-gol dari pemain seperti Safawi, Nazmi Faiz dan Akhyar Rashid jelas membantu JDT dalam kekal konsisten dalam saingan liga.
Selain itu, ampuhnya barisan pertahanan JDT juga turut membantu kepada konsistennya mereka dalam liga.
Ia memastikan sekurang-kurangnya JDT memperoleh 1 mata dari setiap perlawanan yang diharungi mereka.
Berikut merupakan kedudukan MSL 2019 sekiranya hanya jaringan pemain tempatan sahaja yang dikira:
- JDT – 45 mata
- Perak – 36 mata
- Kedah – 34 mata
- Terengganu – 32 mata
- Pahang – 31 mata
- FELDA United – 30 mata
- PJ City – 27 mata
- Kuala Lumpur – 24 mata
- Melaka United – 23 mata
- Selangor – 22 mata
- PKNP FC – 20 mata
- PKNS FC – 12 mata
Sekarang ini bandingkan pula dengan kedudukan sebenar MSL 2019:
KEDUDUKAN TERAKHIR PUSINGAN LS22 LIGA SUPER 2019#LigaSuper2019 pic.twitter.com/o6VsqaELgN
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 21, 2019
Sedikit tetapi memberi kesan
Walaupun kadar penjaring tempatan dalam saingan Liga Super mengalami sedikit penurunan, namun ianya tetap memberikan kesan tersendiri kepada kedudukan liga.
Peratusan 34% ini masih lagi jauh dari tahap yang memuaskan. Penulis memasang impian untuk menyaksikan 50% daripada keseluruhan gol dijaringan dalam saingan liga disumbangkan oleh pemain tempatan pada masa akan datang.
Persoalannya bila? Dan beranikah jurulatih di negara kita mempertaruhkan penyerang tempatan untuk menggalas tugas memberikan gol untuk pasukan?
Ia merupakan satu tugas yang berat untuk dilakukan oleh jurulatih di negara kita. Namun jika ada yang mengambil langkah ini, kredit sebesarnya akan diberikan kerana tindakan itu memberi kesan positif kepada skuad kebangsaan.