Analisis: Perbezaan Sistem Bek Bertiga Wenger, Guardiola, Conte & Pochettino

The Telegraph pernah melaporkan bahawa Roberto Martinez adalah kepada pelopor sistem ini di Liga Inggeris ketika mengambil alih tugas pengurus Wigan daripada tangan Steve Bruce.

Pada musim 2009/10, Martinez dan Wigan menggunakan formasi 3-4-3 dengan Figueroa, Titus Bramble dan Gary Caldwell membentuk gandingan trio di bahagian pertahanan.

Ketika itu, ramai pengulas menjelaskan Martinez sistem pertahanan berlima. Sebenarnya, pertahanan rantaian berlima (chain of 5) itu dibentuk daripada dua bek sayap yang akan turun ke bawah untuk melakukan tugas bertahan.

Musim lalu Antonio Conte memulakan fenomena formasi 3-4-3 ketika membawa Chelsea muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL), pada musim pertamanya di England.

Taktikal Conte mementingkan sistem bek bertiga di dalam sistem tersebut. Melihat keberkesanan sistem bek bertiga, beberapa pasukan turut mempraktikkan sistem yang sama di pasukan masing-masing.

Walaupun di atas kertas ia kelihatan sama, secara taktikal, setiap pengurus menggunakan kelebihan kepada pemain yang mereka miliki untuk mengaplikasikan sistem ini di bahagian pertahanan masing-masing.

Sistem bek bertiga Antonio Conte

Antonio Conte adalah antara pengurus pertama yang mengaplikasikan sistem bek bertiga di bola sepak Inggeris dengan kaedah yang sangat orthodox.

Ketika bergelar juara EPL pada musim pertamanya di Stamford Bridge, Conte menjadikan Gary Cahill, Cezar Azpilicueta, dan juga David Luiz sebagai teras di dalam sistem tersebut.

(Photo by Matteo Ciambelli/NurPhoto via Getty Images)

Musim 2017-18 menyaksikan Andreas Christensen dan Antonio Rudiger turut berada di dalam senarai Conte.

Pengurus daripada Itali ini menggunakan sistem yang mirip ketika beliau mengendalikan skuad Itali dengan asas kekuatan sistem bek bertiga adalah dengan seorang pemain pertahanan tengah sebagai ball-playing defender.

Manakala dua lagi pemain pertahanan tengah mengapit ball-playing defender berkenaan sebagai perlindungan dan sokongan.

 

Luiz adalah arkitek utama Conte pada musim lalu. Musim ini Christensen lebih kerap berada di posisi itu.

Berada di bahagian tengah di dalam sistem bek bertiga, pemain ini akan berada di blok yang lebih rendah untuk memberikan lebih ruang untuk melakukan diagonal passes kepada dua bek sayap di setiap sisi.

Manakala dua lagi pertahanan tengah, kebiasaannya gandingan Cahill dan Azpilicueta atau Rudiger akan berada sedikit ke atas di bahagian garisan tengah.

Kedua-dua bek tengah ini berfungsi mengawal keadaan di hadapan zon hantaran bola oleh ball-playing defender  atau untuk membantu memulakan gerakan (gambar atas) daripada setiap sisi wide area untuk memulakan serangan.

Maka kita boleh simpulkan sistem bek bertiga Conte adalah berpandukan seorang central ball-playing defender yang bertindak sebagai pivot, dua lagi pemain pertahanan tengah sebagai asas perlindungan dalam fasa pertahanan, dan dua bek sayap yang sentiasa bergerak di zon serangan dan pertahanan di wide area pasukan.

Sistem bek bertiga Mauricio Pochettino

Berbeza dengan Conte, Pochettino mementingkan penguasaan bola sebagai asas taktikal beliau.

Kerana itu, sistem bek bertiga Tottenham Hotspur tampil berbeza dengan Chelsea.

(Photo by John Patrick Fletcher/Action Plus via Getty Images)

Kedua-dua bek sayap Spurs mempunyai peranan yang sama seperti di Chelsea. Namun jika Chelsea menggunakan dua pertahanan tengah untuk maju sedikit ke hadapan ketika fasa serangan, Pochettino menggunakan Eric Dier sebagai pemain hybrid yang berperanan sebagai pemain pertahanan tengah (CB) atau pun sebagai pemain tengah pertahanan (DM).

Asas sistem bek bertiga Tottenham Hotspur.

Eric Dier adalah pemain berbakat semulajadi di kedua-dua posisi tersebut. Kerana itu, Pochettino menggunakan Dier di kedua-dua posisi tersebut dalam sistem taktikal beliau.

Ketika Spurs bertahan, Dier akan berperanan sebagai seorang pertahanan tengah. Ketika Spurs memiliki penguasaan bola, pemain ini akan maju sedikit ke hadapan di bahagian tengah, dan berperanan sebagai deep lying playmaker di dalam sistem Pochettino.

Dier bertindak sebagai ‘cover up’ kepada benteng pertahanan Spurs.

Selain daripada menjadi benteng barisan hadapan bagi dua lagi pemain tengah pertahanan Spurs, Dier akan sentiasa menjadi salah satu pilihan untuk Spurs memulakan gerakan menyerang dari bahagian tengah.

Ketika di fasa serangan, sistem ini akan memberi kelebihan tiga orang pemain di jentera tengah Spurs, tatkala pemain tengah menyerang yang lain seperti Dele Alli, Christian Eriksen, Heung Min-Son bebas membantu Harry Kane memburu jaringan.

Sistem bek bertiga Arsene Wenger

Arsene Wenger turut tidak ketinggalan dalam merevolusikan sistem pertahanan di Arsenal dengan memilih sistem bek bertiga di dalam taktikal beliau. Malah Wenger adalah antara terawal yang mempraktikkan sistem ini sebelum Conte.

Sebelum ini ia adalah taktikal pilihan. Sejak dua musim lalu, Arsenal lebih cenderung menggunakan sistem bek bertiga.

Mirip sistem bek bertiga Conte di Chelsea, Wenger menampilkan sedikit kelainan ke atas peranan pemain secara individu di dalam sistem beliau.

(Photo by Catherine Ivill/Getty Images)

Jika di Chelsea, Azpilicueta ialah seorang pemain bek kanan yang diberikan peranan sebagai pemain pertahanan tengah.

Maka pemain Sepanyol itu tidak akan mempunyai masalah untuk beraksi di posisi barunya di dalam sistem Conte kerana memiliki asas dan mentaliti permainan yang sama.

Wenger memilih melakukan perkara yang sama terhadap Nacho Monreal, namun menggunakan pemain tersebut sebagai ancaman di fasa serangan Arsenal.

Beraksi si posisi bek kiri hampir keseluruhan kariernya, Monreal kini beraksi sebagai pemain pertahanan tengah kiri (LCB) di dalam sistem bek bertiga Wenger.

Ketika berada di fasa serangan Monreal akan beralih ke bahagian tengah (midfield) dan cenderung bertukar-tukar hantaran dengan pemain tengah Arsenal yang lain untuk membebaskan diri sehingga menuju penjuru kotak penalti lawan.

Di fasa ini, Monreal lebih menyerupai seorang inside fullback, manakala Laurent Koscielny dan Shkordan Mustafi bergandingan sebagai pemain pertahanan tengah, menjadikan sistem pertahanan Arsenal kembali kepada sistem empat pertahanan di fasa ini.

Sumber: WhoScored

Sehingga kini pemain berusia 31 tahun ini telah menghasilkan 3 bantuan gol dan 2 jaringan pada musim ini dalam peranan baharunya bersama Arsenal.

Sistem bek bertiga Pep Guardiola

Pada awal musim Manchester City sering menggunakan sistem bek bertiga sebagai antara pilihan taktikal.Kemudian ia sebelum diselang-seli dengan formasi 4-3-3. Namun kami memilih untuk menulis sistem bek bertiga Guardiola kerana keunikkannya.

Apa yang menjadikan sistem bek bertiga Pep Guardiola unik ialah beliau menggunakan ketiga-tiga sistem yang diaplikasikan oleh Conte, Pochettino dan Wenger di Manchester City.

(Photo by Michael Steele/Getty Images)

Di awal musim, tiga pemain pertahanan tengah pilihan Guardiola ialah Nicolas Otamendi, John Stones dan juga Kyle Walker. Berbeza ketika seperti di Tottenham, Walker diberikan peranan sebagai pemain pertahanan tengah kanan (RCB) oleh Guardiola.

Fungsi Walker sama seperti apa yang Monreal lakukan di Arsenal, tetapi di sisi yang bertentangan. Seperti Monreal, Walker adalah seorang ‘inside fullback’ ketika membantu City di fasa serangan.

Kami juga tertarik dengan bagaimana Guardiola mengubah peranan John Stones. Daripada salah seorang pemain pertahanan tengah klasik, Stones kini adalah seorang ball-playing defender muda; antara yang terbaik di England.

Di dalam taktikal ini, Stones dibenarkan untuk mara sedikit ke hadapan, membuatkan beliau kelihatan seperti seorang deep lying playmaker seperti mana peranan Eric Dier di Tottenham.

Kebolehan teknikal dan visi melakukan hantaran jauh juga merupakan aset buat pemain muda ini di dalam mengambil peranan tersebut, menjadikan City seolah-olah beraksi di dalam sisten dua pivot bersama Fernandinho di jentera tengah City.

(Photo by Michael Regan/Getty Images)

Dalam keadaan ini, Otamendi akan menjadi pemain pertahanan terakhir, dan berperanan memberi perlindungan kepada ruang yang ditinggalkan oleh Walker.

Keberadaan Stones membantu Fernandinho turut membenarkan Kevin de Bruyne bebas membantu bahagian serangan City.

Sehingga Mendy mengalami kecederaan, sistem ini tampak ampuh dan menarik buat City. Tidak dapat dipastikan sama ada Guardiola akan kembali mengembalikan taktikal sebegini selepas Mendy pulih daripada kecederaan.

Penutup

Dalam artikel ini kami hanya memilih sistem bek bertiga yang diterapkan oleh Conte, Pochettino, Wenger dan juga Guardiola.

Manchester United turut mengaplikasikan sistem yang sama dalam perlawanan-perlawanan tertentu dengan Eric Bailly atau Victor Lindelof beraksi sebagai ball-playing defender.

Namun demikian Manchester United lebih terkenal dengan sistem bek bertiga di era Louis Van Gaal yang dianggap gagal.

Skuad B-23 negara turut mengaplikasikan sistem bek bertiga dengan berkesan di kejohanan AFC B-23 di China baru-baru ini. Apa pendapat anda? Anda gemar sistem pertahanan ini?

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN