Analisis: Kemerosotan Prestasi Gilmar Jose Da Silva Sebagai Penyerang Utama Perak TBG

Penyerang Perak, Gilmar Jose Da Silva Filho kini berhadapan kritikan pelbagai pihak, terutama di kalangan penyokong setia pasukan Perak, setelah hanya menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti ketika menentang Felda United. Seperti Tchetche Kipre di Terengganu, Gilmar seolah-olah mengalami penurunan prestasi yang drastik berbanding musim lalu.

Ironinya, kedua-dua pemain adalah bintang import yang menyerlah di perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu. Namun, adakah benarkah penyerang kelahiran Sao Paulo, Brazil ini mengalami krisis prestasi?

Persoalan sebegini pasti turut berlegar di dalam pemikiran Mehmet Durokovic pada ketika ini.

FOTO: Perak TBG

Pandangan penyokong

Artikel ini adalah pandangan seorang penulis bebas, Meor Mohamad Amirul, yang juga merupakan seorang penyokong setia pasukan Perak TBG. Ikuti penjelasan beliau mengenai prestasi semasa pemain import Perak TBG ini:

Sebagai penyokong dan juga seorang penulis, saya tidak boleh lari daripada melontarkan pandangan. Mengenai Gilmar, saya berpandapat pemain ini bukan sekadar mengalami krisis prestasi, beliau juga seperti sudah kehilangan identitinya sebagai seorang penyerang tulen.

Berikut perkara-perkara utama yang saya gariskan mengenai kemeruduman prestasi Gilmar bersama Perak pada musim ini:

Krisis Prestasi

Gilmar alami krisis prestasi? Ini adalah salah satu kemungkinan sekiaranya prestasi semasa diambil kira. Pemain ini memiliki beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan lebih banyak gol tetapi sentuhan penyudahnya seolah-olah tidak mengizinkan segalanya.

Salah satu peluang terbaiknya hadir ketika perlawanan menentang Ulsan Hyundai tetapi tendanganya tersasar jauh melewati palang. Gilmar juga tidak mampu menghasilkan ancaman yang cukup kuat kepada pertahanan lawan sebagai penyerang berprolifik -sebagaimana yang kita kenali. Atau adakah pemain ini mengalami masalah hilang keyakinan? Sekiranya ya, apakah sebabnya?

Peranan Wander Luiz

Untuk makluman semua, Gilmar bergandingan dengan Wander Luiz dalam formasi 4-4-2/4-4-1-1. Kebergantungan Gilmar kepada Wander Luiz tersangatlah tinggi memandangkan Wander jauh lebih mobil dan merupakan hub kreativiti Perak dalam menjana serangan.

FOTO: Perak TBG

Namun, kita sendiri dapat melihat Wander Luiz juga mengalami krisis prestasi dan bermain di bawah par sejak musim 2019 bermula. Hal ini menggusarkan Gilmar sendiri memandangkan beliau bukanlah penyerang yang mampu bergerak sendiri. Maka tidak salah untuk kita mengatakan prestasi rakan sepasukan seperti Wander turut mempengaruhi tahap aksi oleh Gilmar.

Kehilangan Identiti

Terdapat juga dakwaan mengatakan Gilmar telah kehilangan identiti seorang penyerang apabila beliau lebih banyak menjatuhkan badannya dengan sengaja untuk meminta ihsan pengadil.

Beliau juga kerap mempertikaikan tindakan pengadil dan kurang melakukan percubaan ke arah gawang lawan. Karenah beliau ini jelas tidak boleh membantu pasukan.

FOTO: Perak TBG

Sebagai penyerang, Gilmar sepatutnya mampu untuk mencetuskan ancaman berterusan ke arah gawang lawan supaya ‘tight area’ lawan mampu dipecahkan dan membenarkan rakan sepasukannya untuk masuk dan menyerang.

Namun, sebaliknya berlaku apabila Gilmar kerap memperlahankan tempo perlawanan dengan meminta ‘foul’ daripada pengadil. Sikap sedemikian jelas tidak membantu pasukan yang masih tercari-cari kemenangan pertama musim ini.

Rumusan

Mahu atau tidak, Gilmar harus ,membuktikan kebolehan sebenar seperti dipamerkan pada musim lalu secepat mungkin. PAFA mungkin perlu melakukan apa yang TFC lakukan ke atas Kipre jika masalah ini berlarutan. Walaupun tidak menjaringkan gol, Gilmar seharusnya cuba menyumbang sesuatu kepada pasukan selain ‘foul’ dan kad kuning.

Menukar Gilmar dengan pemain import lain mungkin bukan penyelesaian bijak tatkala musim sudah bermula. Namun beliau harus diingatkan mengenai peranan utama sebagai pemain import pasukan. Atau mungkin lebih baik untuk Mehmet Durokovic memberikan peluang kepada pemain lain, terutama penyerang muda tempatan di posisi tersebut.

Nota editor: Artikel ini adalah hasil penulisan Meor Mohamad Amirul di laman Facebook beliau sebelum disunting dan disiarkan dengan kebenaran oleh pihak editorial Semuanya BOLA. Anda boleh mengikuti akaun Facebook milik beliau untuk lebih banyak kupasan dan pandangan mengenai bola sepak Perak dan tempatan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN