[ANALISIS]: Keampuhan Bahagian Tengah Sukarkan Singapura Tembusi Malaysia

Malaysia

Brad Maloney sememangnya terkenal dengan sistem formasi 3-4-3. Dalam perlawanan menentang Singapura, barisan pertahanan tiga pemain yang kukuh, peranan bek sayap (wingback) yang terlibat dalam bentuk bertahan dan menyerang kelihatan efektif diikuti bahagian tengah yang menjadi tunjang penting kepada pasukan.

Sehingga 60-70 minit perlawanan, Singapura hanya berjaya melakukan tiga hingga lima percubaan ke kubu pasukan negara, manakala skuad kebangsaan telah melakukan lebih 10 percubaan ke gawang lawan.

Ia memberi gambaran penguasaan perlawanan skuad negara meskipun gagal untuk menghasilkan jaringan.

Pemain pasukan negara melakukan tekanan yang tinggi secara pantas (counter pressing) dengan cepat sehingga menyukarkan pemain Singapura membina gerakan serangan.

Keadaan itu juga menyaksikan skuad negara memperoleh jaringan mudah oleh Luqman Hakim pada awal permainan.

Keberkesanan di bahagian tengah

Tonggak di bahagian tengah, Mukhairi Ajmal serta Nik Akif Syahiran pula berperanan dengan baik ketika fasa transisi bertahan mahupun menyerang.

Kredit harus diberikan kepada kedua-dua pemain ini walaupun masih terdapat beberapa kelemahan yang dikesan sepanjang perlawanan.

Seorang lagi pemain yang wajar diberikan pujian adalah Quentin Cheng yang bertindak sebagai bek sayap.

Beliau telah berperanan dengan baik untuk turun bertahan dan turut membantu bahagian serangan.

Skuad Maloney membentuk formasi 5-2-3 untuk bertahan dan 3-2-5 ketika pasukan menyerang sepenuhnya, terima kasih kepada peranan aktif Quentin Cheng.

60% serangan dijana di bahagian kanan dan ini menjadikan taktikal kelihatan lebih stabil dan seimbang.

Sesuatu yang positif dalam perlawanan menentang Singapura ini adalah pasukan kebangsaan masih berjaya mengekalkan momentum intensiti permainan yang tinggi meskipun beberapa pertukaran dibuat di bahagian serangan.

Namun, kemasukan Syafik Ismail boleh dianggap terlalu lewat ketika permainan Luqman sedikit menurun pada separuh masa kedua.

Meskipun disebalik prestasi cemerlang sepanjang 90 minit, nyata nasib tidak menyebelahi skuad negara selepas sekadar mencatat keputusan seri.

Gol kedua Singapura juga tidak sepatutnya berlaku kerana sedetik kealpaan dan komunikasi ketika hantaran sepakan percuma dihantar betul-betul ke zon bahaya.

Malaysia berada di posisi terbaik untuk berjuang di separuh akhir. Walau bagaimanapun, pasukan kebangsaan tidak boleh terlepas mata dalam perlawanan terakhir menentang Kemboja bagi mengekalkan posisi teratas kumpulan.

Nota editor: Artikel ini merupakan nukilan Hafiz Mansor yang merupakan peminat tegar skuad Harimau Malaya. Jika anda ingin menghatar artikel kepada kami, hantarkan penulisan anda dalam format MS Word dengan minimum 300 patah perkataan ke [email protected] .

Leave a Reply