Analisis : Juara Liga Perdana 2017 Milik Terengganu Atau Kuala Lumpur ?

Hari ini Liga Perdana akan menutup tirainya untuk musim 2017 yang menyaksikan tumpuan diberikan kepada perebutan takhta bagi liga divisyen dua itu masih terbuka antara pendahulu liga, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Dua pasukan itu berjaya merebut slot automatik ke saingan Liga Super musim depan, dan hari ini mereka akan bersaing merebut satu lagi hadiah lumayan yang ditawarkan iaitu trofi Liga Perdana 2017.

Berdasarkan kedudukan terkini liga perdana, kedua-dua pasukan terikat 47 mata selepas 21 perlawanan, skuad The Cityboys dilihat memiliki kelebihan menerusi jumlah perbezaan jaringan gol  yang besar iaitu lapan gol ketika saingan hanya berbaki satu perlawanan lagi.

Statistik prestasi pasukan Kuala Lumpur dengan Terengganu dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Berdasarkan statistik ini, kedua-dua pasukan mencatat jumlah kemenangan yang sama di tempat lawan memandangkan pasukan Kuala Lumpur dan Terengganu akan beraksi di gelanggang lawan untuk saingan liga perdana malam ini.

Kelebihan masih memihak kepada Kuala Lumpur kerana Terengganu dilihat mempunyai rekod 3 kekalahan di tempat lawan berbanding Kuala Lumpur yang hanya mencatat 2 kekalahan di tempat lawan.

Photo by Zureehan Zakaria / www.asiana.my

Pasukan Kuala Lumpur juga telah menjaringkan 24 gol dan bolos 11 gol di tempat lawan manakala Terengganu hanya menjaringkan 19 gol dan bolos 13 gol di tempat lawan.

Nampaknya semua kelebihan masih memihak kepada pasukan Kuala Lumpur.

Bagaimana cara untuk pasukan Terengganu menjadi juara Liga Perdana malam ini ? 

Hanya satu senario saja yang realistik buat anak buah Irfan Bakti Abu Salim merangkul gelaran Liga Perdana iaitu mereka perlu mengharapkan Kuala Lumpur sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dengan Johor Darul Ta’zim II (JDTII) dan mereka menewaskan PKNP FC sekali gus muncul juara dengan kelebihan dua mata.

Gelaran juara liga perdana 2017 juga akan diberikan kepada Terengganu dengan kelebihan 1 mata jika mereka hanya mampu seri dengan PKNP FC manakala pasukan Kuala Lumpur tewas kepada JDTII.

Kesimpulannya keputusan kedua-dua pasukan ini memainkan peranan yang penting untuk menentukan status kejuaraan Liga Perdana 2017 malam ini.

Foto: Terengganu FA

Apa kata jurulatih ?

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan mengakui kelebihan jaringan yang dimiliki Kuala Lumpur meletakkan mereka di kedudukan lebih baik untuk muncul juara Liga Perdana musim ini

Menurut pengendali FELDA United itu, kedudukan pendahulu yang sedang dinikmati Kuala Lumpur juga dilihat akan menjadi motivasi terbesar memandangkan sudah pasti mereka mahu terus berada pada kedudukan itu hingga hujung musim ini.

“Jika dilihat berdasarkan lawan kedua-dua pasukan itu, Kuala Lumpur akan bertemu JDTII dan saya melihat JDTII sudah tidak ada apa-apa lagi yang perlu dipertaruhkan. Tambahan pula mereka lebih selesa dengan perbezaan jaringan yang begitu besar.

“Manakala PKNP FC pula mempertaruhkan kedudukan ketiga jadi mereka akan memberikan cabaran lebih sengit kepada Terengganu memandangkan mereka mahukan penamat liga di kedudukan ketiga terbaik.

“Jika berdasarkan beberapa faktor ini, saya menjangkakan gelaran Liga Perdana akan menjadi milik Kuala Lumpur namun harus diingat mereka tidak boleh bersenang-lenang kerana mereka tetap memerlukan kemenangan untuk menjadi juara,” katanya kepada Berita Harian.

Pasukan JDTII enggan memberikan laluan mudah kepada pasukan Kuala Lumpur untuk muncul juara

Pengendali JDT II, Benjamin Mora berkata pasukannya juga tidak mahu menamatkan saingan liga dengan kekalahan.

Menurut Mora, barisan pemain muda JDT II tidak akan membiarkan Kuala Lumpur bermaharajalela menguasai perlawanan sebaliknya akan cuba mengecewakan usaha pasukan itu menikmati kemenangan.

“Ia bakal menjadi perlawanan menarik dan kami akan turun dengan barisan terkuat kecuali Amir Saidin yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan, namun kelibat pemain import, Jeronimo Barreles, Samuel Careces dan Nicolas Fernandez akan memperkuatkan pasukan,” kata Mora.

KetuaJurulatih JDTii, Benjamin Mora. Kredit: Fourth Official

“Sepanjang tempoh rehat, kami menjalani latihan yang cukup intensif malah kami juga mengadakan latihan bersama JDT dan ia memberi ruang buat pemain mendapat pendedahan terbaik.

“Sejak saya kembali ke pangkuan JDT II selepas membimbing JDT, pasukan itu tidak pernah tewas dan ia amat penting kerana meningkatkan lagi motivasi setiap pemain dan mereka mahu menamatkan saingan liga dengan pencapaian terbaik untuk berada di kelompok lima pasukan terbaik liga,” katanya.

Mora menegaskan Kuala Lumpur memiliki barisan pemain yang kuat dan dibarisi rangkaian serangan berkualiti diterajui Guilherme de Paula – penjaring terbanyak pasukan itu.

“Saya optimis barisan pemain muda JDT II sudah bersedia dan kami akan beri persembahan terbaik tatkala ia merupakan aksi terakhir liga dan impian tiga mata terakhir menjadi sasaran pada perlawanan itu nanti,” kata Mora.

PKNP enggan mengalah dan buru tempat ketiga malam ini

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC mungkin tidak dapat menurunkan tiga tonggak utama pasukan iaitu kapten Shahrel Fikri Fauzi, Syazwan Zaipol Bahari dan Ezanie Mat Salleh bagi pertemuan menentang Terengganu di Stadium Perak, malam ini.

Ia kerana trio itu belum sembuh daripada kecederaan yang dialami oleh mereka. Ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim mengesahkan perkara itu berkata, ketiadaan trio itu dijangka tidak menjejaskan pasukan kerana mempunyai pengganti sesuai.

Shahrel Fikri
Kredit foto : PKNP FC

“Insya-Allah pemain yang menggantikan tempat mereka akan dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin, ” katanya.

Menurutnya, PKNP FC tetap turun dengan misi untuk menang bagi menutup kempen Liga Perdana dengan kemenangan.

Bakar menyatakan matlamat pasukan itu adalah menduduki tangga ketiga pada tahun pertama beraksi dalam Liga Perdana.

“Kami akan lebih daripada berpuas hati jika berjaya mucul pasukan ketiga terbaik memandang pelbagai kekurangan pasukan.

“Apa yang pasti kami sudah meletak satu asas yang kukuh bagi membina pasukan musim depan, ” katanya kepada berita harian.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN