Ketika memasuki detik-detik akhir penghujung separuh masa kedua, Kuching City dianugerahkan lontaran ke dalam oleh pengadil perlawanan, S. Logeswaran.
Rames Lai ditugaskan untuk mengambil lontaran tersebut, sementara Yuki Tanigawa dan Aylton Ferreira berada dalam keadaan bersedia di bahagian ‘near post’, sementara Abu Kamara pula dikawal ketat oleh pemain tengah Sabah, Park Tae-su.
Manakala seorang lagi pemain Kuching, Shafizi Iqmal bersedia untuk menyerang bahagian ‘back post’.
Rames melakukan hontaran yang menuju ke bahagian kepala Aylton, namun bola tersebut tidak tepat ke sasaran, membolehkan Amri Yahyah yang turun untuk melakukan tugasan bertahan mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.
Ia sekali gus membolehkan pengadil perlawanan untuk menamatkan perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Negeri.
Sejurus tiupan wisel penamat oleh pengadil perlawanan, keadaan tegang berlaku diantara Kamara dan Park yang dipercayai berpunca daripada sentuhan fizikal yang melibatkan kedua-dua pemain ini sehingga terpaksa dileraikan oleh rakan sepasukan yang lain.
Situasi ini sekali gus boleh menggambarkan karektor pemain yang mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk memenangi perlawanan serta menambah kerancakan perlawanan Borneo Derby yang turut dibanjiri lebih 20 ribu penyokong di Stadium Negeri.
Meskipun keputusan perlawanan tidak memihak kepada Kuching, mereka dilihat mempamerkan aksi bertenaga dalam menekan pasukan Sabah, malah turut mencipta gerakan-gerakan serangan yang berbahaya dalam perlawanan ini.
Namun kualiti penyudah mereka yang sedikit tumpul menjadi salah satu faktor kepada kegagalan mereka untuk menembusi gawang pasukan lawan dalam perlawanan ini.
Meskipun tugas utama mereka adalah untuk menjaringkan gol bagi menyelamatkan kempen Piala Malaysia mereka musim ini, Kuching harus memperbaik beberapa isu bertahan yang terjadi dalam perlawanan ini.
Dalam analisis kita pada kali ini, kami akan berkongsikan beberapa isu organisasi bertahan yang perlu diambil perhatian oleh barisan kejurulatihan Kuching yang diketuai oleh Irfan Bakti.
Organisasi bertahan Kuching City
Kuching berjaya memberi kesukaran kepada Sabah menerusi blok pertahanan ‘Mid-blocks’ 4-4-2 yang cukup simbolik dengan mereka.
Objektif utama mereka adalah untuk menutup opsyen hantaran kepada pemain ‘pivot’ Sabah, serta memaksa lawan mereka itu untuk banyak bermain di bahagian ‘wide area’ serta hantaran-hantaran jauh yang kurang efektif.
Mereka turut menunggu peluang untuk melancarkan serangan balas menerusi organisasi bertahan ini.
Isu ‘compactness’ blok pertahanan serta kegagalan menutup Zon 14 Kuching City
Meskipun Kuching mempamerkan disiplin bertahan yang tinggi, namun blok pertahanan yang disusun mereka mudah ‘dikoyakkan’ menerusi hantaran-hantaran bola yang dialirkan oleh pemain-pemain Sabah.
Aliran bola yang dilakukan ini kerap membawa keluar pemain Kuching dari posisi mereka, sekaligus membolehkan Sabah mengeksploitasi sebarang ruang di antara garisan (space in between the lines) bagi mencipta gerakan serangan yang berbahaya.
Menerusi contoh diatas, Baddrol Bakhtiar (dalam bulatan) berjaya menerima hantaran di bahagian ‘space in between the lines’ ini.
Ia sekali gus mampu memberikan ruang serta masa untuk bekas pemain kebangsaan ini untuk menilai opsyen hantaran susulan.
Terdapat juga ruang di belakang barisan pertahanan Kuching yang berpotensi untuk ditembusi Sabah.
Baddrol melakukan ‘lofted pass’ ke ruang tersebut, sambil seorang lagi pemain Sabah, Stuart Wilkin melakukan larian sokongan untuk menyerang ruang, serta menerima hantaran tersebut.
Pemain-pemain Kuching tidak menutup ruang di bahagian zon 14 ketika Wilkin bersedia untuka melakukan hantaran.
Ia sekali gus membolehkan Irfan melakukan rembatan tanpa sebarang tekanan daripada pertahanan Kuching.
Kuching turut bergelut untuk mengekalkan kepadatan blok pertahanan mereka ketika Sabah memperoleh situasi bola mati.
Seperti contoh di atas, Azhad Harraz (dalam bulatan) menerima lontaran bola (situasi bola mati) di belakang garisan tekanan kedua Kuching.
Masalah ‘compactness’ (jarak/bukaan ruang di antaran garisan pertahanan dan garisan tengah) membolehkan kombinasi permainan dapat dilakukan antara Azhad dan Taiki Kagayama.
Ketika Taiki (dalam bulatan merah kecil) melakukan larian serangan, terdapat bukaan ruang yang besar di bahagian tengah, dan ini turut berpotensi bagi membolehkan Sabah mengeksploitasi zon 14 yang terbuka untuk mencipta peluang menjaringkan gol.
Situasi ini terus berlarutan ke separuh masa kedua perlawanan. Sabah memperoleh peluang menerusi serangan balas, dan mensasarkan ruang yang ditinggalkan barisan pertahanan Kuching.
Hantaran tersebut berjaya menemui Kagayama yang bijak melepasi perangkap ofsaid pemain lawan.
Sebelum Kagayama melepaskan hantaran kepada rakan sepasukannya yang melakukan ‘underlapping run” .
Ketika hantaran ‘cut-back’ ini dilakukan, terdapat bukaan ruang yang besar di zon 14 yang tidak dikawal oleh pemain Kuching.
Penutup
Berbaki 90 minit lagi aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2022 di Stadium Likas, Kuching dilihat masih mempunyai peluang untuk melakukan kebangkitan.
Namun, disebalik keghairahan mereka untuk mencari gol penyamaan, mereka perlu memperbaik isu organisasi bertahan yang berlaku dalam perlawanan ini secara khsuusnya.
Zon 14 harus dikawal dengan ketat, kerana pemain seperti Baddrol serta Irfan aktif beroperasi di bahagian ini, dan mereka mempunyai keupayaan dalam melepaskan rembatan-rembatan berbahaya sekiranya tidak dikawal rapi.
Ia sekali gus mampu meranapkan impian Kuching untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia 2022 ini.