Analisis: Panduan Ringkas Perjalanan Harimau Malaya Di Kejohanan Piala AFF 2018

Harimau Malaya

Permulaan sempurna buat Harimau Malaya. Itulah yang boleh kita ungkapkan terhadap cabaran pasukan negara di Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 setakat ini.

Bagi anda yang baru mengikuti perkembangan cabaran pasukan negara di pertandingan ini, kami sediakan analisis ringkas perjalanan anak buah Tan Cheng Hoe selepas mencatatkan dua kemenangan, dan juga panduan untuk perlawanan-perlawanan seterusnya.

Persediaan rapi

Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 merupakan kejohanan pertama pasukan negara di bawah kendalian Tan Cheng Hoe. Sejak dilantik sebagai pengendali utama pasukan menggantikan Nelo Vingada pada Disember 2017, persiapan mulai diatur oleh bekas pengendali Kedah itu khusus untuk kejohanan ini melalui beberapa siri perlawanan antarabangsa.

Pada 4 November lalu, akhirnya jurulatih berusia 50 tahun itu mengumumkan senarai 23 pemain pilihan beliau untuk membawa cabaran pasukan negara. Enam pemain adalah dari skuad juara Liga Super, JDT; lima pemain dari juara Piala Malaysia, Perak; masing-masing tiga dari pasukan Kuala Lumpur dan Kedah; dua pemain dari Pahang; dan masing-masing satu dari Melaka United dan Selangor.

Sumareh menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan. FOTO: FAM

Pemilihan pemain kali ini juga menyaksikan sejarah tercipta apabila Mohamadou Sumareh menjadi pemain naturalisasi pertama yang menyarung jersi pasukan kebangsaan. Empat daripada senarai 23 pemain akhir ini juga berusia 30 tahun ke atas- Farizal Marlias (32), Aidil Zafuan Abd Radzak (31), Zaquan Adha Abd Razak (31) dan Norshahrul Idlan Talaha (31).

Mungkin akan ada ‘suara-suara’ yang mempersoalkan pemilihan 23 pemain ini. Namun kami berpendapat, mereka adalah senarai 23 pemain yang sanggup, diyakini, dan juga berada dalam prestasi terbaik untuk membawa cabaran negara. Dengan purata usia 24.3- purata usia yang dianggap muda bagi sebuah skuad senior, kehadiran empat pemain di atas umur 30 di atas juga diharap boleh membantu dari segi pengalaman.

Taktikal pasukan

Berdasarkan dua perlawanan menentang Kemboja dan Laos, secara jujurnya kami nampak Malaysia masih dalam proses untuk membentuk sistem utama. Penekanan buat masa ini lebih kepada disiplin pemain di dalam formasi.

Tan Cheng Hoe yang kita kenali adalah seorang jurulatih yang menekankan aspek fluiditi di dalam taktikal permainan beliau. Namun demikian beliau sukar untuk menetapkan corak permainan sedemikian kerana beberapa kekangan seperti masa dan untuk mendapatkan pemain terbaik – yang tiada dalam pasukan.

Tan Cheng Hoe memberi taklimat kepada pemainnya ketika sesi latihan di Bukit Jalil. FOTO: FAM

Agak sukar untuk Tan Cheng Hoe membentuk sistem permainan yang beliau kehendaki dalam kejohanan kompetitif. Apa yang Tan Cheng Hoe lakukan adalah cuba bermain dengan sistem asas bola sepak, menyerang dengan sokongan ‘width’ dan ‘depth’ – seterusnya bertahan secara kompak dalam 4-5-1.

Apa yang kami boleh katakan; dalam perlawanan pertama – menentang Kemboja – Malaysia bergelut untuk mendapatkan rentak. Seterusnya ketika menentang Laos – Malaysia cuba menguasai perlawanan dan mencipta seberapa banyak peluang yang mungkin – berhadapan dengan pasukan yang ‘park the bus’. Apa yang penting adalah mendapatkan keputusan daripada setiap perlawanan.

Pemain sandaran

Tiga gol dijaringkan oleh Norshahrul, dan satu gol oleh Zaquan Adha setakat ini membuktikan kepentingan kehadiran kedua-dua pemain di dalam pasukan ini.

Bukan untuk menidakkan keupayaan pemain-pemain yang lebih muda seperti Shahrel Fikri dan Hazwan Bakri- tetapi Norshahrul dan Zaquan sememangnya sudah mempunyai pengalaman beraksi bersama di dalam pasukan negara sebelum ini. Kelebihan itulah yang cuba digunakan oleh Tan Cheng Hoe.

FotoL FAM

Kedua-dua pemain mungkin tidak akan mampu beraksi di tahap terbaik sepanjang 90 minit perlawanan. Namun jika mereka mampu memberikan aksi terbaik untuk 60 atau 70 minit perlawanan sebelum diganti oleh pemain lain seperti Shahrel, Shafiq Ahmad atau Hazwan, lawan pasti mempunyai 1001 sebab untuk berasa gentar dengan kemampuan jentera serangan pasukan negara.

Bahagian tengah yang diterajui oleh Akram Mahinan juga mempunyai peranan penting di dalam sistem Tan Cheng Hoe, terutama ketika menyerap asakan pasukan lawan. Setakat ini sukar untuk menilai aksi Akran atau Syameer Kutty di posisi tersebut. Kedua-dua pemain beraksi di dalam perlawanan kompetitif pertama ketika menentang Kemboja. Manakala menentang Laos seperti yang dinyatakan di atas, lawan memilih untuk bertahan, sekaligus memudahkan tugas Akram.

Statistik terkini dan cabaran seterusnya

Selepas dua kemenangan dari dua perlawanan, Malaysia mengutip enam mata maksimum untuk berada di kedudukan teratas Kumpulan A.

Sumber: AFF

Namun cabaran yang lebih getir dari Vietnam akan menanti pasukan negara pada Jumaat akan datang. Berbanding Kemboja dan Laos, Vietnam berada di kelas mereka tersendiri dan merupakan salah sebuah pasukan pilihan kejohanan.

Malaysia akan mengeshkan kemaraan sekiranya berjaya menumpaskan Vietnam di Hanoi. Bola sepak pada hari ini jauh berbeza berbanding dahulu.

Seperimana ketika menentang Laos, bola sepak moden menjanjikan taktikal yang pelbagai untuk memungkinkan pasukan kecil turut berpeluang mendapatkan keputusan yang mereka inginkan- walaupun menggunakan pendekatan yang lebih konservatif.

Foto: FAM

Oleh kerana itu anak buah Tan Cheng Hoe juga tidak seharusnya memandang rendah keupayaan Myanmar yang telah menumpaskan Kemboja 4-1 di halaman sendiri. Malaysia akan berhadapan dengan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November hadapan. Dua kemenangan awal telah memastikan pasukan negara berada di landasan tepat untuk mengukir kemaraan ke separuh akhir.

Ekor Harimau Malaya

Sudahkah anda menzahirkan sokongan kepada skuad Harimau Malaya dengan menghadirkan diri ke stadium? Bagi yang sudah berbuat demikian, tahniah kami ucapkan kepada anda kerana anda adalah ‘Ekor Harimau Malaya’ yang sejati.

Bagi yang belum berkesempatan, anda usah risau. Ini kerana pasukan negara masih mempunyai baki satu perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Antara yang menarik perhatian ramai termasuk media dari luar negara dalam perlawanan menentang Kemboja dan Laos ialah kehadiran kumpulan penyokong Ultras Malaya.

Kehadiran mereka diketuai oleh ‘capo bertopi merah’ tanpa mengira perlawanan diadakan di tempat lawan atau di gelanggang sendiri jelas berjaya menyuntik semangat kepada pemain untuk tidak mengenal erti menyerah kalah.

Malah kehadiran mereka dengan ‘chant’ dan sorakan tanpa mengenal penat lelah, dianggap sebagai sokongan paling gemuruh di Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 ini. Tidak ada gelanggang lain di rantau ini mampu menandingi sokongan yang diberikan oleh Ultras Malaya setakat ini.

Selain daripada sorakan dan sokongan, tifo yang direka khas untuk memberi penghormatan kepada enam anggota bomba yang maut ketika menjalankan tugas bulan lalu, turut mencuri tumpuan.

Ini membuktikan bola sepak boleh menyatukan kita dalam pelbagai cara. Menang atau kalah adalah satu perkara lain. Lebih daripada itu ia menanam nilai saling menghormati dan menghargai apa yang kita miliki sebagai rakyat Malaysia.

Tunggu apa lagi? Ayuh dapatkan tiket perlawanan anda di cawangan-cawangan Al-Ikhsan terpilih dan jangan lepaskan peluang memberikan sokongan padu kepada pasukan negara.

Penutup

Ketika artikel ini ditulis, skuad negara sudah pun terbang ke Hanoi untuk persiapan menjelang perlawanan pada Jumaat ini. Sudah tentu kita mengharapkan kemenangan dibawa pulang dari Hanoi, sekaligus melayakkan pasukan negara ke peringkat separuh akhir saingan.

Akhir kata, selamat maju jaya Harimau Malaya!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN