Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Analisis: Coutinho, Daripada Buangan Inter Kepada Pemain ‘Marquee’

Penghijrahan Phillipe Coutinho ke Barcelona adalah perpindahan utama dalam jendela perpindahan kali ini. Kami menganalisis beberapa aspek teknikal dalam permainan beliau.

Gagal di Inter Milan

Coutinho gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama di Inter Milan. Beliau bergelut untuk meyakinkan pengurusan.

Akhirnya, Rafa Benitez mendapat restu untuk menjual pemain Brazil ini dengan nilai £8.5 juta ke Liverpool pada 2013.

Pada awalnya, ia dianggap penjualan yang bijak daripada Inter Milan kerana pihak pemantau bakat di Inter merasakan Coutinho telah gagal untuk memenuhi jangkaan mereka.

(Photo by Claudio Villa/Getty Images)

Ini bukanlah kisah yang luar biasa untuk Inter Milan. Mereka ada rekod yang agak identikal pada masa lalu. Perkara yang sama mereka lakukan ketika melepaskan Roberto Carlos, Andrea Pirlo, Clarence Seedorf, Dennis Bergkamp, Youri Djorkaeff dan Diego Simeone.

Pengarah Sukan Inter Milan, Piero Ausilio mengakui perpindahan Coutinho antara perkara yang paling beliau kesalkan dalam karier beliau.

Jurulatih yang bertanggungjawab membentuk Coutinho menjadi pemain lebih berotot di kem latihan Milan, Angelo Moratti antara yang paling kecewa dengan penjualan ini.

Namun ramai masih percaya, pemain itu dilepaskan dengan harga yang betul kerana tak nampak potensi untuk menjadi pemain utama dalam masa 1-2 tahun lagi.

Liverpool menewaskan Southampton dalam persaingan itu. Faktor Pochettino dianggap antara saingan utama Liverpool kerana beliau pernah menguruskan pemain itu ketika tempoh pinjaman di Espanyol.

Hubungan Benitez dan Liverpool memudahkan Pengarah Sukan Liverpool ketika itu, Damien Comolli melobi untuk mendapatkan Coutinho.

Pembangunan di Liverpool

Brendan Rodgers antara pengurus yang memainkan peranan penting dalam karier awal Coutinho di Liverpool. Dariapda pemain yang tidak ada peranan yang khas di dalam padang, beliau diberikan peranan sebagai no.10 oleh Rodgers.

Pada asalnya, Coutinho ditandatangani untuk menggantikan Dirk Kuyt di peranan penyerang sayap. Kredit kepada Rodgers yang terus meletakkan pemain ini di peranan tengah serangan selepas itu.

Selepas itu, Coutinho telah dibangunkan untuk menjadi salah seorang pemain yang meningkat naik dari segi kreativiti di bawah Rodgers.

Beliau menjaringkan 13 gol dan 14 bantuan gol dalam 2 musim pertama. Melakukan purata hantaran bahaya sekitar 1.8 per perlawanan dalam tempoh tersebut.

Coutinho terus menjadi pemain utama di Anfield. Dan pembangunan beliau daripada pemain prospek berkembang dengan sangat baik.

Menjadi pemain Marquee

Pada era Jurgen Klopp, Coutinho telah menjadi pemain marquee ataupun pemain utama dalam liga utama Eropah. Beliau menjadi antara pusat kreativiti yang paling bagus di EPL.

Klopp membentuk Coutinho kepada pemain yang lebih versatiliti ataupun ‘all-rounder. Daripada pemain yang lebih kepada peranan no.10, Coutinho telah ditarik ke peranan yang lebih ke tengah sebagai pemain no.8 yang ‘advance’.

Beliau menjadi pemain yang boleh bermain di peranan no.8, peranan sayap dan no.10. Musim 2016/17 adalah musim terbaik untuk Coutinho.

Beliau memperbaiki semua aspek teknikal di dalam permainan beliau. Menjaringkan 14 gol dan 9 bantuan gol dalam EPL. Ia adalah pencapaian yang cukup bagus untuk pemain tengah serangan.

Pada musim 2017/18, hanya separuh musim, Coutinho sudah melakukan 12 gol dan 9 bantuan gol.

Data: Whoscored

Barcelona

Dengan usia Iniesta yang semakin meningkat, Coutinho adalah pemain yang mirip kepada pemain tersebut. Barcelona perlukan Coutinho untuk memastikan elemen Iniesta itu dapat dikekalkan.

Kedua-dua pemain bermain di peranan yang hampir sama iaitu di bahagian tengah yang agak ‘advance’. Namun Coutinho boleh bermain di kiri dan kanan. Iniesta lebih kepada bahagian kiri.

https://twitter.com/BrazilStats2/status/949916681794703361

Barcelona memiliki sistem permainan yang berbeza-beza. Dalam sistem 4-4-2, Coutinho boleh digunakan sebagai pemain sisi kiri ataupun no.8.

Dalam sistem 4-3-3, Coutinho boleh mengekalkan posisi di tengah serangan ataupun di bahagian sayap. Jika ada kecederaan atau penggantungan Lionel Messi, beliau boleh bermain peranan no.10 di belakang Suarez.

Jika Suarez tidak boleh bermain, Coutinho boleh menjadi no.10 dan Messi bermain di peranan Suarez sebagai 9 jadian.

Nilai pada aspek teknikal ini membuatkan Barcelona ‘memecahkan’ bank mereka untuk mendapatkan pemain ini pada sebarang harga.

Adakah ia urusan yang baik?

Secara peribadi saya merasakan, Barcelona dan Liverpool melakukan urusan yang baik. Cuma pada pihak Coutinho, pemain ini akan bercuti daripada UCL kerana ‘cuptied’.

Jadi £142 juta adalah nilai yang terbaik untuk Barcelona dan Liverpool. Coutinho menunjukkan komitmen beliau kepada Liverpool meskipun hatinya sudah di Barcelona.

Ini yang membuatkan nilai pasaran beliau meningkat. Bayangkan jika beliau protes selepas apa yang berlaku pada pra-musim lalu, sudah pastinya Liverpool dianggap rugi tidak melepaskan beliau lebih awal.

Liverpool selepas ini?

Liverpool ada rekod yang meragukan dalam menguruskan perbelanjaan selepas menjual pemain utama. Itu yang berlaku kepada mereka selepas menjual Luis Suarez sebelum ini.

Diharap pasukan The Reds akan lebih baik dalam urusan perpindahan kali ini. Mungkin Jurgen Klopp hanya akan berbelanja pada jendela perpindahan akan datanag.

Kami perlukan bantuan anda.

Saban hari, semakin ramai peminat bola sepak membaca Semuanya BOLA. Seiring dengan pertambahan pembaca ini, kos operasi kami turut meningkat. Jadi anda boleh nampak kenapa kami perlukan bantuan anda. Untuk memastikan penulis-penulis kami dapat terus membekalkan konten-konten yang tidak bias dan berkualiti kepada anda, duit dan kerja keras sangat diperlukan. Tetapi kami buat juga kerana kami percaya anda berhak mendapat maklumat berkualiti dari media yang telus, bebas dan terbuka.

Sumbangan anda membolehkan masa depan penulis-penulis kami terus terjamin. Dengan hanya RM5, anda boleh menyokong Semuanya BOLA - dan ia hanya mengambil masa 1 minit. Terima kasih.

atau Beri Sumbangan

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!