Analisis: Bertunjangkan ‘Playmaker’ Di Kiri & Dinamo Berkembar Di Tengah Beri Dimensi Berbeza Buat Kedah

Mahmoud Al-Mardi Kedah 'playmaker' sebelah kiri

Pemain baharu Kedah Darul Aman, Mahmoud Al-Mardi merupakan pemain sayap kiri dan bukanlah seorang pemain tengah walaupun ramai menjangkakan beliau menggerak jentera tengah sebagai ‘playmaker’ pasukan.

Jadi, siapa sebenarnya penggerak Kedah di tengah? Tidak lain dan tidak bukan, Dechi Marcel dan seorang lagi rekrut terbaharu, Sanrawat Dechmitr. Mereka adalah dinamo berkembar yang bakal digunakan pengendali, Aidil Sharin Sahak dalam menggerak Sang Kenari ke arah wajah segar untuk keluar dari wajah era Baddrol Bakhtiar.

Baddrol Bakhtiar, Dominic Tan Sah Sertai ‘Revolusi Kim Swee’ Di Sabah, Rizal Ghazali Bakal Menyusul

Mengubah wajah Sang Kenari

Bukan mudah buat Aidil Sharin untuk mengubah wajah Kedah yang sinonim dengan bekas kapten, Baddrol dan bek kanan, Rizal Ghazali. Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam memimpin pasukan sebelum ini.

Malah sistem permainan yang dibina sebelum ini adalah berteraskan kepada kekuatan Baddrol dan Rizal.

Dan harus diakui, bergelutnya Kedah di awal musim 2022 adalah disebabkan tanpa kedua-dua pemain itu.

Berdasarkan tiga aksi di Piala AFC 2022, kita boleh merumuskan, mungkin inilah wajah baharu yang diinginkan pengendali yang berasal dari Singapura itu. Mereka hadir ke Bali dengan wajah lebih segar dan bertenaga.

Jika kita lihat, bek kiri dan kanan yang tampil beraksi tempohari adalah pemain muda berusia 23 tahun. Bek kiri digerakkan Azmeer Aris yang dibawa masuk dari Penang FC dan Kamil Akmal pula bermain di sebelah kanan. Ia pendekatan berani dan segar oleh Aidil Sharin mengetengahkan dua bek yang tiada pengalaman di pentas Asia.

Sebelum ke Piala Asia, kedua-duanya bukanlah pemain regular di posisi tersebut dan hanya tampil sesekali.

Mungkin kedua-duanya – Azmeer dan Kamil bakal digunakan sepenuhnya dalam saingan Liga Super nanti.

Posisi bek tengah juga kita dapat lihat ‘perjudian’ Aidil Sharin lagi apabila menampilkan gandingan tempatan, Rodney Celvin dan pemain yang didatangkan dari Melaka United, Akmal Zahir untuk mengetepikan Marc Vales dan pemain sandaran sebelum ini, Loqman Hakim Marzuki. Mereka mempamerkan kombinasi yang baik.

Perubahan wajah baharu Sang Kenari dilihat menjadi selepas Aidil Sharin membuat tindakan dan keputusan berani di Piala AFC. Perubahan pemain import dan memberi kepercayaan kepada beberapa pemain dilihat membuahkan hasil kepada kempen mereka sehingga mara ke separuh akhir zon Asean buat kali pertama.

Siapa ‘playmaker’ di padang?

Jika sebelum ini, Kedah tercari-cari ‘playmaker’ buat mereka selama beberapa musim kebelakangan ini, nampaknya Al-Mardi hadir dengan reputasi tersebut walaupun beliau banyak bergerak di sebelah kiri padang.

Melihatkan peranan yang dimainkannya dalam peringkat kumpulan saingan Piala AFC 2022, tidak salah untuk kita katakan yang Kedah akan bergantung kepadanya selepas ini dan ‘playmaker’ Kedah adalah di sebelah kiri.

‘Playmaker’ di sebelah sayap adalah tidak asing dalam bola sepak moden. Kita dapat lihat pemain seperti Lionel Messi dan Hakim Ziyech yang bergerak di bahagian sayap tetapi berperanan sebagai perancang utama.

Mungkin Aidil sedar, jika peranan ‘playmaker’ diberikan kepada pemain di tengah padang, ia boleh menggangu mereka ketika dalam fasa bertahan. Kebanyakkan ‘playmaker’ tidak akan turun ke bawah untuk membantu.

Posisi asal Al-Mardi adalah di sayap kiri tetapi beliau boleh beraksi sebagai sayap kanan dan pemain tengah menyerang. Ini memberi kelebihan buatnya untuk berada di segenap sudut padang ketika sedang beraksi.

Beliau memiliki ‘work rate’ yang tinggi ketika beraksi. Ia dipamerkan dalam ketiga-tiga perlawanan di mana ia merupakan aksi pertamanya bersama Kedah sejak tiba sebelum saingan Piala AFC bermula tempohari. Beliau juga memiliki peratus hantaran berjaya yang tinggi – 71 peratus dengan 83 peratus ketepatan hantaran jauh.

Mahmoud Al-Mardi Stats Piala AFC 2022
Statistik Mahmoud Al-Mardi sepanjang saingan Piala AFC 2022. FOTO: The AFC

Dinamo berkembar yang seimbangkan pasukan

Berbanding dengan Dechi dan Sanrawat, kedua-duanya ini dilihat menjadi nadi untuk jentera tengah sebenarnya. Mereka bukanlah ‘playmaker’ berdasarkan statistik ‘key passes’, tetapi mereka penggerak jentera tengah. Tanpa kombinasi baik kedua-duanya, Kedah mungkin sukar untuk meneutralkan asakan lawan tetapi ia bersyarat.

Bolehlah kita anggap mereka dipersiapkan sebagai dinamo berkembar buat menghadapi baki saingan nanti.

Syaratnya, mereka memerlukan rakan sepasukan untuk berada hampir untuk bertukar-tukar hantaran sebelum merencana asakan ke kubu lawan. Dalam pertembungan menentang Visakha FC, mereka melakar kombinasi hantaran tertinggi iaitu 33 hantaran. Dan anda boleh agak ke mana hantaran selepas itu pergi – Al-Mardi.

Al-Mardi yang kemudian akan merencana asakan ke benteng lawan dari sebelah kiri. Heat map beliau turut menunjukkan yang beliau bergerak di sebelah kiri sepenuhnya. Beliau merekodkan enam ‘key passes’ dalam tiga penampilan, malah meledak empat gol. Beliau memimpin pasukan dengan pergerakannya bukan suaranya.

Dechi Marcel dan Sanrawat Stats Piala AFC 2022
Statistik Dechi Marcel dan Sanrawat Dechmitr. FOTO: The AFC
Kombinasi terbanyak Kedah Visakha Piala AFC 2022
Statistik kombinasi tertinggi Kedah vs Visakha. FOTO: The AFC

Kedua-dua pemain kurang gemar membuat gelecekan. Ini terbukti apabila statistik menunjukkan mereka lebih banyak bermain hantaran dan hanya sekali dua membuat gelecekan yang berjaya. Memiliki peratus ketepatan hantaran yang tinggi – Dechi (86 peratus) dan Sanrawat (88 peratus) membuktikan betapa bahayanya mereka.

Kombinasi tiga pemain di yang menggerakkan Kedah untuk lebih seimbang di tengah dan berbahaya di jentera depan. Jika dilihat, Kedah tiada pemain yang berperanan defensive midfileder sepenuhnya, jadi Dechi mahupun Sanrawat akan bersama-sama membuat kerja-kerja membantu pertahanan dalam meneutralkan asakan.

Penutup

Adakah kita bakal melihat dimensi baharu Kedah dalam saingan Liga Super yang bakal bersambung semula? Berdasarkan saingan di Piala AFC, inilah yang boleh kita jangkakan daripada taktikal segar Aidil Sharin.

Dua aksi berdepan Terengganu FC yang ‘merampas’ Kpah Sherman dan Kipre Tchetche daripada mereka adalah satu ujian yang menarik di saingan tempatan. Kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam pusingan kedua Piala FA pada 6 Julai sebelum aksi liga pada 15 Julai. Kedua-dua aksi akan berlangsung di kandang lawan.

Leave a Reply