Selepas berbulan lamanya spekulasi, dan akhirnya diumumkan bakal menyertai pasukan Kedah untuk saingan Liga Malaysia 2020, akhirnya Tcheche Kipre tiba di Alor Setar tengah hari tadi.
Bekas penyerang Terengganu FC dari Ivory Coast ini dianggap sebagai salah seorang penyerang import prolifik sejak beberapa musim yang lalu.
Selamat datang Kipre Tchetche!
Tchetche tiba jam 10:00 pagi tadi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim disambut oleh…
Posted by FA Kedah on Thursday, November 28, 2019
Lebih menarik, musim ini beliau akan digandingkan dengan penjaring terbanyak Liga Super, Kpah Sherman yang turut disambar oleh pihak pengurusan Kedah dari PKNS FC.
Kedua-dua pemain dijangka akan menandatangani kontrak bersama skuad Lang Merah pada 3 Disember hadapan.
Kipre dan Kpah
Selama dua musim sebelumnya, kedua-dua pemain merupakan pemain penyerang yang menjadi sandaran pasukan masing-masing untuk memburu gol.
Kpah Sherman beraksi pertama kali di Liga Malaysia bersama-sama MISC-MIFA, sebelum penyerang antarabangsa Liberia ini menyertai PKNS FC pada musim lalu.
Manakala Kipre beraksi bersama Terengganu FC sejak jendela perpindahan kedua musim 2017. Kedua-dua pemain memiliki tempoh pengalaman yang sama beraksi di Liga Malaysia.
Walaupun kedua-dua pemain adalah pemain penyerang yang disandarkan oleh pasukan masing-masing untuk memburu gol sebelum ini, kedua-dua pemain sebenarnya adalah dari baka penyerang yang berbeza.
Kpah Sherman: Target man berbisa
Mempunyai ketinggian 1.83 meter, bersusuk tubuh tegap, Kpah Sherman adalah seorang ‘target man’ yang mampu membinasakan mana-mana barisan pertahanan dengan susuk tubuh fizikalnya.
Kekuatan utama Kpah seperti yang dibuktikan ketika bersama MISC-MIFA dan PKNS FC adalah rembatan derasnya, dan ketajaman menghidu peluang di dalam kotak penalti, walaupun dikawal ketat oleh lawan.
Walaupun memiliki fizikal yang tegap, Kpah turut mempunyai larian yang deras – sekaligus memudahkan beliau menewaskan pemain pertahanan lawan ketika duel satu lawan satu.
Dan sudah tentu kehadiran Kpah Sherman akan mengingatkan anda kepada kelibat bekas bintang Kedah era double treble, Marlon Alex James.
Tchetche Kipre: Deep lying foward baharu
Berbeza dengan Kpah Sherman, Tchetche Kipre pula adalah pemain penyerang dengan baka berbeza. Kami pernah melakukan analisis mengenai pemain ini ketika beraksi bersama Terengganu FC.
Di atas kertas, Tchetche Kipre bermain di bahagian tengah dalam rangkaian 3 serangan Terengganu FC. Tetapi jika mobiliti dan gerakan Tcheche diambil kira dalam salah satu perlawanan ketika di bawah bimbingan Irfan bakti, pengendali veteran itu menjadikan beliau mirip No.9 jadian.
Namun demikian posisi sebenar Tchetche adalah sebagai deep-lying forward. Tchethce bukan penyerang No.9 tipikal yang menunggu bola untuk disudahkan.
Beliau akan turut sedikit ke bawah, untuk mendapatkan bola, sebelum menggunakan kelebihan teknikal beliau untuk memberi masalah kepada pertahanan kiri atau kanan pertahanan lawan.
Jika anda sukar membayangkan posisi penyerang dengan peranan deep-lying forward, ambil contoh Wayne Rooney. Penyerang baka ini lebih cenderung turun sedikit ke bawah, mencipta peluang dan mencari ruang, sebelum menjaringkan gol.
Pemain dengan baka seperti Kipre sebenarnya amat istimewa. Beliau adalah penyerang yang boleh beroperasi sebagai No.10, No.9 dan juga sebagai penyerang sayap.
Jika beliau diarahkan bermain sebagai penyerang utama dalam sistem serangan bertiga, beliau bukanlah no.9 yang hanya menunggu di atas dan suka ‘duduk diam’ – seperti ketika bersama TFC.
Kipre akan tetap turun ke bawah, terutama sekali ke tengah dan membuka ruang kepada rakan lain di kiri dan kanan. Itulah peranan ‘deep-lying forward’.
Pilihan Aidil Shahrin
Sebenarnya ia bukan menghairankan untuk Aidil Shahrin untuk memilih mendapatkan Kpah Sherman dan Tchetche Kipre bagi menggantikan Fernando Rodriguez dan Jonathan Bauman.
Malah kami berpendapat ia adalah ‘upgrade’ kepada gandingan yang Kedah miliki melalui gandingan Rodriguez-Bauman.
Rodriguez adalah No.9. Tetapi berbeza dengan Kpah, pemain dari Sepanyol ini bukanlah seorang tipikal target man yang mampu menyudahkan setiap bentuk peluang yang hadir.
Bauman pula beroperasi sebagai No.10. Dibandingkan dengan Kipre, pemain dari Ivory Coast ini adalah lebih versatil berbanding Bauman sebagai penyerang.
Dengan memiliki gandingan Kpah-Kipre, Aidil turut boleh membina beberapa sistem permainan untuk pasukan Kedah.
Di dalam sistem 4-2-3-1 misalnya, Kipre akan beraksi di bahagian tengah serangan di belakang Kipre. Atau jurulatih dari Singapura itu boleh sahaja menggandingkan Kpah-Kipre sebagai double No.9. Dengan sistem ini, Kipre akan bertindak sebagai second striker di belakang Kpah.
Jika anda sukar membayangkan sisten double No.9, bayangkan gandingan Dwight Yorke-Andy Cole ketika kedua-duanya menjadi igauan kepada pemain pertahanan di Eropah bersama Manchester United dahulu.
Kedua-dua pemain akan saling melengkapi antara satu sama lain untuk menghukum pertahanan lawan.
Penutup
Masih terlalu awal untuk mengatakan Kedah telah berjaya melakukan pembelian terbaik hanya dengan mendapatkan gandingan Kpah-Kipre.
Tetapi ideanya dan struktur bola sepak yang ingin diimplementasi oleh Aidil Shahrin itu sememangnya jelas. Ia masih kesinambungan daripada apa yang beliau ingin bina pada musim pertama beliau di Kedah pada musim lalu.
Ia pasti menarik untuk kita saksikan jika perancangan ini menjadi. Namun bola sepak adalah permainan 11 pemain, dan melibatkan keseluruhan skuad untuk satu musim yang panjang.
Sudah tentu ada beberapa posisi lain yang harus diperkuatkan oleh Kedah sebelum bermulanya musim baharu tahun hadapan.
Untuk mendapatkan N’golo Kante misalnya mungkin satu omongan kosong, atau khabar angin nakal yang disebarkan sesetengah pihak. Namun untuk mendapatkan pemain seperti Kante, adalah satu keperluan bagi Kedah untuk saingan musim hadapan.