Analisis: Masih Relevankah Ander Herrera Bersama Manchester United?

Jose Mourinho menjelaskan tiada sebab spesifik untuk beliau tidak menyenaraikan Ander Herrera ketika Manchester United berhadapan dengan Basel pada awal pagi tadi.

Rata-rata penyokong Manchester United terkejut apabila nama Herrera tidak tersenarai walaupun di bangku simpanan untuk perlawanan pembukaan Kumpulan A UEFA Champions League (UCL) yang berlangsung di Old Trafford.

Herrera muncul dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertamanya ketika menentang Stoke pada hujung minggu lalu. Kami mempunyai satu rumusan untuk prestasi Herrera yang menyebabkan beliau tidak disenaraikan oleh pengendali dari Portugal itu.

Ander Herrera menonjolkan aksi yang kelihatan berkarat!

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Musim lalu prestasi Herrera adalah antara pemain yang paling menyerlah ketika United menjulang trofi EFL dan juga Europa League.

Dengan gandingan Paul Pogba dan juga Nemanja Matic yang kelihatan dominan dan menjadi pilihan utama Mourinho, persoalan utamanya ialah, bagaimana untuk membenarkan Ander Herrera mendapatkan tempat untuk beraksi?

Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh Herrera?

Pemain tengah pertahanan 

Ander Herrera mempunyai statistik yang hebat bersama Manchester United pada musim lalu. Purata 74.57 cubaan melakukan hantaran dan 65.31 hantaran yang berjaya disempurnakan untuk setiap 90 minit perlawanan adalah yang terbaik dari kem United.

Herrera juga melakukan 3.14 kali pintasan bola untuk setiap satu perlawanan. Musim lalu kita melihat bagaimana Herrera banyak terlibat dengan gerakan menyerang pasukan Manchester United.

Mengapa tidak kali ini, Herrera diberikan peranan untuk membantu bahagian pertahanan dari bahagian tengah pasukan?

(Photo by Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images)

Michael Carrick adalah pemain terbaik untuk mengambil peranan tersebut. Namun demikian, bekas pemain antarabangsa England itu tidak akan berada di Old Trafford selamanya, juga dikhuatiri tidak melangkaui akhir musim ini.

Pogba dan Matic adalah pemain jenis ‘box to box’, walaupun Matic sering kali berada di belakang untuk memberi perlindungan kepada posisi yang ditinggalkan oleh Pogba.

Sudah sampai masanya Mourinho membentuk seorang lagi ‘Carrick’ daripada keupayaan yang dimiliki oleh Herrera.

Pemain tengah menyerang, persis No.10

Ketika Mourinho menyertai Chelsea buat kali kedua, pengurus ini gemar akan pemain tengah yang beraksi sebagai pemain No.10.

Dengan kata lain, Mourinho gemar menyandarkan gerakan menyerang pasukan kendaliannya kepada seorang pemain tengah menyerang, beraksi di belakang penyerang utama.

(Photo By David Fitzgerald/Sportsfile via Getty Images)

“Dengan sistem 2 pemain tengah dan seorang lagi di slot No.10, saya akan menagih banyak dari No.10. Saya gemarkan pemain di posisi No.10 untuk menjaringkan gol. Saya sukakan pemain No.10 masuk ke kawasan kotak penalti lawan.”

“No.10 pada saya ialah separuh pemain No.8 apabila pasukan kehilangan bola, dan menjadi separuh pemain No.9 ketika pasukan mengawal pergerakan bola.”

“Pemain terbaik di posisi No.10 bagi saya? Wesley Sneijder dan juga Deco. Mereka punyai keupayaan untuk bertahan, berlari ke arah kotak penalti dan juga menjaringkan gol,” jelas Jose Mourinho ketika masih bergelar pengurus Chelsea.

Ander Herrera bukan Wesley Sneijder atau pun Deco. Namun Herrera memiliki profil pemain yang dimaksudkan Mourinho.

(Photo by Catherine Ivill – AMA/Getty Images)

Herrera memenangi terjahan paling banyak di kawasan garis akhir pertahanan dan juga di blok akhir serangan untuk United dalam saingan EPL pada musim lalu.

Malah Herrera turut membuktikan sentuhan jaringannya dengan beberapa gol sepanjang 4 musim sejak berada di Old Trafford.

Pemain No 10? Separuh No.9? Separuh No.8? Ander Herrera adalah calon paling sesuai.

Pemain sokongan kepada Matic!

Ander Herrera mempunyai kecenderungan untuk keliru akan peranan sebenarnya di dalam pasukan. Ada ketikanya beliau seolah-olah telah membuktikan kemampuan dirinya, kemudian tampil keliru dengan perancangan jurulatih pada musim berikutnya.

Ketika tiba di Old Trafford pada era Louis Van Gaal, Herrera seolah-oleh dipinggirkan dengan Angel Di Maria menjadi pilihan utama.

(Photo by Matthew Peters/Man Utd via Getty Images)

Ini adalah kerana keengganannya untuk mengejar lawan untuk menutup ruang, dalam sistem yang mengkehendakinya untuk kekal di satu-satu posisi dan mengambil sedikit risiko.

Sebaliknya yang berlaku apabila kempen menuju ke penghujung musim. Herrera adalah pemain penting dalam perancangan pengurus Belanda itu, beraksi sebagai pemain ‘box to box’ untuk menghubungkan bahagian tengah dan serangan pasukan. Namun ia tidak kekal sebegitu.

Ketibaan Bastian Schweinsteiger dan Morgan Schneiderlin selepas itu menyaksikan Herera sekali lagi sering berada di bangku simpanan. Menuju ke penghujung musim, beliau membuktikan kualiti yang ada pada dirinya sekali lagi.

Prestasi konsistennya selepas itu menjadikan Herrera pemain utama sehingga kedatangan Mourinho. Pada mulanya Mourinho kerap menggandingkan Fellaini bersama Pogba.

(Photo by Steve Bardens – UEFA/UEFA via Getty Images)

Namun corak permainan konservatif yang sering ditunjukkan oleh pemain antarabangsa Belgium itu sehingga boleh mengundang padah kepada United, menjadikan Herrera sekali lagi menjadi pilihan.

Sekali lagi Herrera menunjukkan ketajamannya seperti yang kita saksikan pada musim lalu sehinggalah giliran Matic merencatkannya sekali lagi.

Herrera adalah watak yang disenangi di kalangan pemain dan penyokong United. Namun Matic jelas memiliki profil pemain yang benar-benar dikehendaki oleh Jose Mourinho sejak musim lalu.

Mustahil untuk Matic beraksi kesemua perlawanan domestik dan juga eropah.

Mungkinkah peranan terbaik Ander Herrera di Manchester United ialah sebagai pemain sokongan kepada Nemanja Matic?

Rumusan

Anda mungkin mempunyai pandangan yang berbeza dengan kami. Anda mempunyai pendapat, peranan, posisi atau pun taktikal khusus untuk Ander Herrera bersama Manchester United?

Atau masih relevankah Ander Herrera untuk berada di Old Trafford?

Nyatakan kepada kami. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

Sumber:

1. Mark Froggatt, manutd.com (2016): HERRERA AND MOURINHO AGREE ON POSITION; http://www.manutd.com/en/News-And-Features/Football-News/2016/Aug/united-midfielder-Ander-Herrera-reveals-his-discussions-with-Jose-Mourinho-about-his-new-position.aspx

2. Damian Buxton, Squawka (2014): Man United’s Ander Herrera reveals his favoured playing position; http://www.squawka.com/news/man-uniteds-ander-herrera-reveals-his-favoured-playing-position/147100#DQo4o8EzwmXvdOvk.99

3. Nick Wright, Sky Sports (2017): Ander Herrera impressing behind Paul Pogba in Man Utd midfield; http://www.skysports.com/football/news/11667/10611311/ander-herrera-impressing-behind-paul-pogba-in-man-utd-midfield

4. ESPN FC: Jose Mourinho says he, Eden Hazard ‘have different concepts of No. 10’; http://www.espnfc.com/chelsea/story/2732620/jose-mourinho–different-concept-of-no-10-than-eden-hazard

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN