Dua perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia menentang Thailand pada 14 November dan Indonesia hadapan adalah perlawanan yang amat penting bagi skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Enam mata maksimum daripada dua perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pasti akan memberikan kelebihan kepada pasukan negara di saingan Kumpulan G sebelum kunjungan ke Abu Dhabi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Mac, sebelum melayan kunjungan Vietnam di Bukit Jalil selang empat hari kemudian.
Perlawanan persahabatan menentang Tajikistan pada malam ini dianggap penting oleh Tan Cheng Hoe sebelum pertemuan menentang Thailand dan Indonesia. Berikut adalah lima perkara penting yang perlu kita tahu menjelang perlawanan menentang Tajikistan pada malam ini.
Isu kecergasan
Berdasarkan senarai 26 pemain yang dipanggil oleh Tan Cheng Hoe pada 30 November lalu, tidak boleh dinafikan ini adalah antara kelompok pemain terbaik yang dimiliki oleh pasukan negara pada hari ini berdasarkan fakta berikut.
19 daripada 26 pemain yang dipanggil adalah daripada empat pasukan yang mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir pertandingan Piala Malaysia yang lalu. Namun isu kecergasan pemain juga perlu diambil kira ketika pasukan negara menharung tiga perlawanan dalam tempoh 10 hari – selepas menghadapi musim yang panjang.
Terdapat beberapa perubahan pada senarai pemain kali ini. 19 pemain daripada tiga perlawanan kelayakan yang lalu dikekalkan. Empat pemain digugurkan. Muka-muka baharu yang mendapat panggilan adalah Baddrol Bakhtiar, Afiq Fazail, Syazwan Andik, Farhan Roslan dan Haziq Nadzli yang menggantikan Ifwat Akmal sebagai penjaga gol.
Skuad yang lebih seimbang
Skuad kali ini juga dilihat lebih seimbang di setiap posisi berbanding sebelum ini. Dalam beberapa perlawanan lalu, bahagian tengah sering dilihat pincang terutama ketika melibatkan pemain utama seperti Azam Azih.
Kali ini Tan Cheng Hoe turut menyenaraikan Baddrol Bakhtiar dan Afiq Fazail untuk posisi tengah. Tatkala Badrrol adalah pemain yang kaya dengan pengalaman dan sememangnya mampu beraksi di posisi tengah seperti dibuktikan bersama Kedah, prestasi Afiq bersama JDT juga adalah perkara positif yang diperlukan oleh pasukan negara.
Di bahagian pertahanan pula, gandingan Aidil Zafuan dan Shahrul Saad wajar dikekalkan buat masa ini. Namun ia bukan perkara yang mengejutkan sekiranya Tan Cheng Hoe akan menggandingkan Aidil dan Adam Nor Azlin – mengambil kira persefahaman kedua-dua pemain itu di JDT.
Jentera tengah
Antara perkara yang perlu diselidiki dan ditentukan oleh Tan Cheng Hoe dalam perlawanan menentang Tajikistan adalah gandingan pemain di bahagian tengah.
Seperti semua sedia maklum, 4-2-3-1 atau 4-3-3 adalah formasi yang sering digunakan oleh Cheng Hoe dalam tiga perlawanan pusingan kelayakan yang lalu. Dengan barisan pemain sedia ada, Cheng Hoe mempunyai lebih banyak pilihan pemain untuk digandingkan, namun gandingan terbaik harus dicari dalam perlawanan menentang Tajikistan.
Jika mahu menggunakan sistem dua pivot misalnya, gandingan Brendan Gan dan Baddrol Bakhtiar boleh digunakan, tetapi mempergunakan sepenuhnya keupayaan Azam Azih sebagai pemain No.8 tampak lebih sesuai dalam sistem tiga pemain tengah. Gandingan Brendan-Baddrol-Azam wajar mendapat perhatian tatkala ketiadaan Afiq yang masih bercuti kerana baru sahaja melangsungkan perkahwinan.
Syafiq Ahmad sebagai No.9
Isu siapakah pemain paling berkebolehan untuk bergelar penyerang utama pasukan negara sentiasa menjadi topik perbualan dan tumpuan media sejak perlawanan pertama kelayakan menentang Indonesia. Setakat ini, penyerang veteran Norshahrul Idlan Talaha adalah pilihan utama Tan Cheng Hoe di posisi tersebut.
Namun Norshahrul setakat ini masih gagal menyumbangkan sebarang jaringan dari tiga perlawanan kelayakan yang dilalui setakat ini. Tumpuan kini pasti terarah kepada Syafiq Ahmad selepas prestasi cemerlang beliau bersama JDT dan beberapa perlawanan lalu bersama pasukan kebangsaan.
Walaupun Tan Cheng Hoe berkemungkinan melakukan eksperimen untuk menjadikan Syafiq sebagai penyerang utama dalam perlawanan menentang Tajikistan pada malam ini, hakikatnya beliau sebenarnya adalah pemain No.10 – seperti yang dibuktikan dari beberapa perlawanan antarabangsa yang lalu.
Namun kami percaya ia bukan masalah besar untuk meletakkan Syafiq sebagai No.9. Beliau membuktikan dirinya boleh memberikan ancaman efektif selepas menggantikan Diogo Luis Santo dengan menjaringkan satu gol di perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu. Pilihan lain ialah menggunakan sistem False 9 dengan meletakkan Mohomadou Sumareh di bahagian tengah serangan.
Posisi Sumareh & Safawi
Satu perkara yang sering menjadi kejanggalan di dalam sistem Tan Cheng Hoe bersama pasukan kebangsaan ialah apabila Safawi Rasid beraksi sebagai pemain sayap kiri bagi memberikan laluan kepada Sumareh di sebelah kanan.
Keputusan tersebut boleh difahami kerana Tan Cheng Hoe mahu mendapatkan aksi terbaik daripada Sumareh. Namun sering kali langkah ini menyebabkan Safawi ‘isolated’ di sebelah kiri. Safawi adalah seorang ‘inverted winger’. Walaupun mempunyai kebolehan menggunakan kaki kiri yang baik, ia tidak bermakna beliau boleh bermain baik di posisi sayap kiri.
Ini kerana kekuatan utama pemain ini ialah kecenderungan beliau melakukan larian ke dalam untuk menewaskan pemain pertahanan lawan, sebelum melepaskan percubaan dengan kaki kiri. Kedua-dua pemain mampu untuk saling bertukar posisi ketika perlawanan. Namun ia bukan langkah yang baik ketika pasukan negara amat memerlukan jaringan. Ini adalah salah satu perkara yang Tan Cheng Hoe perlu lihat secara mendalam.
Penutup
Misi Malaysia amat mudah. Lapan juara beserta empat naib juara terbaik kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan kelayakan kelayakan Piala Dunia seterusnya, dan tiket automatik ke Piala Asia.
Jika gagal, maka laluan lebih berliku untuk ke Piala Asia bakal menanti. Oleh kerana itu perlawanan menentang Tajikistan pada malam ini dianggap penting bagi pengendali, Tan Cheng Hoe untuk menentukan gandingan terbaik sebelum berhadapan Thailand dan Indonesia selepas ini.