Sukan bola sepak tidak pernah berhenti berevolusi sejak ia mula dimainkan pada kurun ke-18 lagi di eropah. Daripada formasi 0-0-11 ketika ia dimainkan, bola sepak pada hari ini ibarat pemainan catur, dengan pengurus atau jurulatih sebagai pengatur strategi. Itulah yang kita gelarkan sebagai taktikal pada hari ini.
Bola sepak mempunyai banyak formasi. 1-1-8, 2-3-5, 3-2-5, 5-3-2, 4-3-3, 4-4-2, 4-2-3-1 dan macam-macam lagi. Sistem pernomboran ini dinamakan formasi di mana pemain diletakkan di posisi tertentu dengan peranan yang berbeza. Bagaimana ia dimainkan pula digelar taktikal.
Di dalam bola sepak, taktikal dan formasi sering berkaitan. Kebiasaannya jurulatih akan memainkan formasi tertentu sesuai dengan taktikal yang mahu diterapkan di dalam perlawanan.
Ada jurulatih yang amat flesibel di dalam pengendalian formasi dan taktikal, bergantung kepada lawan yang mereka hadapi. Ada juga jurulatih yang sememangnya pakar dan berkebolehan di dalam susun atur formasi dan taktikal tertentu sehingga ia menjadi falsafah dan trademark jurulatih tersebut.
Di negara ini, formasi 4-4-2 adalah antara sistem yang amat sinonim di kalangan pasukan bertanding di Liga Malaysia. Sepertimana di negara lain, bola sepak di negara ini juga mulai melalui perubahan.
Era bola sepak moden menyaksikan sistem 4-4-3 dan 4-2-3-1 kemudiannya menjadi pilihan popular. Dari segi persamaan, semua sistem ini akan mempertarukan dua bek tengah, dan dua pemain pertahanan di bahagian sisi untuk membentuk sistem empat pemain di barisan pertahanan.
Sistem bek bertiga semakin popular
Sejak beberapa musim lalu, sistem bek bertiga menjadi semakin popular di kalangan pengendali dan pasukan di Liga Malaysia. Untuk menerapkan sistem ini, formasi 3-4-3 atau 3-5-2 akan menjadi pilihan jurulatih.
Ada sebab mengapa ia semakin digemari. Sistem ini memberi lebih kestabilan kepada pasukan-pasukan ketika bertahan kerana ia akan membentuk barisan akhir di bahagian pertahanan yang terdiri dari lima pemain, sekaligus memberikan kelebihan secara numerical ketika menyerap asakan pasukan lawan.
Ramai juga di kalangan peminat bertanggapan sistem ini sebagai taktikal “parking bus”. Anda sangat naif jika berpendapat demikian. Sepertimana sistem lain di dalam bola sepak, sistem bek bertiga juga boleh menghasilkan corak permainan yang menarik untuk pasukan.
Dari perspektif serangan, sistem ini membenarkan pasukan melakukan serangan menggunakan bek sayap. Dua bek sayap akan beraksi di garis tinggi menyebabkan bahagian serangan seolah-olah memiliki lima pemain penyerang. Menentang pasukan yang sukar dipecahkan di bahagian pertahanan, sistem ini memberikan kelebihan dari segi numerical.
Ini menjadikan sistem ini memerlukan pemain di posisi bek sayap yang memiliki kepantasan, stamina yang tinggi, dan work rate yang luar biasa untuk melakukan serangan dan turun ke bawah untuk bertahan ketika diperlukan.
Mari kita lihat antara pasukan-pasukan di Liga Malaysia yang mengamalkan sistem ini, khususnya di pertandingan Piala Malaysia yang sedang rancak berlangsung.
Sarawak United ( Sistem 5-3-2 E. Elavarasan)
Jurulatih berpengalaman, E. Elavarasan boleh dianggap sebagai salah seorang jurulatih yang flesksibel di dalam formasi dan taktikal yang dimainkan bersama Sarawak United pada musim ini.
Di dalam saingan Liga Premier pada musim ini, formasi 4-4-2 (Diamond) menjadi pilihan utama dengan gandingan Tommy Mawat, Taylor Regan, Badrul Affendy, dan S. Chanturu menjadi pilihan membarisi kesebelasan utama di bahagian pertahanan.
Namun insiden panas menentang Negeri Sembilan di Cheras pada akhir musim menyebabkan beberapa pemain digantung, termasuk bek tengah, Badrul Affendy. Situasi ini menyebabkan Elavarasan terpaksa merombak bahagian pertahanan Sarawak.
#PenangFC #SarawakUnited
-Chanturu digunakan sebagai RB
-Stuart Wark bermain as CB
-Tommy mawat work rate tinggi dah macam LWB
-Sandro dan Zahril sebagai CM. Atas faktor umur Sandro. Seringkali nampak Zahril bekerja keras keseorangan apabila transisi bertahan. pic.twitter.com/L25j2Rz6Tj— ADL33_analisabola (@ADL33_) September 27, 2021
Ibarat pepatah Inggeris, pergantungan tersebut ibarat a blessing in disguise buat skuad Enggang Emas. Langkah Elavarasan beralih ke sistem bek bertiga di pertandingan Piala Malaysia sehingga kini telah memberikan dua kemenangan berturut-turut kepada pasukan itu menentang dua pasukan dari Liga Super – menang 3-1 ke atas Penang FC, dan menewaskan Sri Pahang FC 1-0.
Di dalam sistem ini, Elavarasan menggandingkan Khair Jones – Taylor Regan – Stuart Wark sebagai bek tengah. Khair Jones yang beraksi sebagai bek kiri bersama pasukan terdahulu seperti Melaka United tidak mempunyai masalah beraksi di posisi tersebut.
Beliau selesa dengan bola di kaki, menjadikan beliau sebagai ball-playing centre back buat Sarawak United. Begitu juga dengan Stuart Wark yang sebelum ini merupakan seorang pemain tengah.
Dua posisi bek sayap Sarawak United pula diisi oleh Tommy Mawat di sebelah kiri dan S. Chanturu di sebelah kanan. Work rate tinggi kedua-dua pemain di bahagian sayap sering menjadi ancaman kepada pasukan lawan.
Sabah FC (Sistem 3-4-3 Ong Kim Swee)
Datuk Ong Kim Swee adalah salah seorang jurulatih di Malaysia yang dianggap sebagai pakar dengan sistem bek bertiga.
Sepanjang 14 tahun bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), formasi 3-4-3 adalah antara sistem utama yang diterapkan oleh beliau bersama pelbagai pasukan peringkat umur. Paling diingati ialah ketika Kim Swee mengemudi pasukan negara di Kejohanan AFC Bawah-23 di China pada 2018, dan juga Sukan Asia pada tahun yang sama di Palembang.
Di bawah kendalian Kurniawan Dwi Yulianto sebelum ini, Sabah FC kerap kali menggunakan sistem 4-3-3. Pelantikan Kim Swee oleh pengurusan Sabah FC pada bulan lalu, ini bermakna sistem 3-4-3 akan menjadi sistem yang lebih sinonim dengan Sabah selepas ini.
#SabahFC #PJCityFC
– Mirror formation. Sabah bermain 5 at the back seperti PJ City.
– Park, Mitrevski, Rawilson as CB
– Levy dan Azizan Nordin sebagai duo central midfielder pic.twitter.com/9xXKGge1Em— ADL33_analisabola (@ADL33_) September 29, 2021
Dua perlawanan Piala Malaysia, Sabah FC sudah berjaya mencatat dua keputusan seri setakat ini. Sistem ini juga mungkin sistem yang masih baharu bagi pemain-pemain Sabah.
Untuk pasukan Sabah, Datuk Ong Kim Swee akan menurunkan gandingan Rawilson Batuil, Risto Mitrevski dan Park Tae-su sebagai gandingan bek bertiga. Park Rae-su akan bertindak selaku ball-playing defender kerana pemain ini juga acap kali diturunkan di posisi No.6 ketika era Kurniawan sebelum ini.
Bek kiri hampir pasti menjadi Nazirul Naim, manakala Alto Linus akan memainkan peranan bek sayap kanan.
Pj City FC (Sistem 3-4-3 P. Maniam)
P. Maniam dianggap sebagai salah seorang pelopor sistem bek bertiga di Liga Malaysia di era moden ini. Sistem ini mulai dibawa ke liga utama ketika P. Maniam bergelar pengendali Selangor pada musim 2017, sekaligus memberikan kelainan kepada taktikal yang kebiasaan dihidangkan sebelum ini.
Walaupun tidak terus bersama Selangor selepas itu, P. Maniam turut menggunakan sistem yang sama apabila membawa skuad B-15 tahun negara menjuarai Kejohanan AFF B-15 di Thailand pada 2019.
Bekas penyerang skuad kebangsaan dan Selangor itu menyertai PJ City pada musim 2020 selaku pembantu kepada K. Devan, sebelum dilantik sebagai pengendali utama pada musim ini selepas Devan memilih untuk kembali ke Negeri Sembilan FC.
P. Maniam hanya perlu meneruskan apa yang dilakukan oleh K. Devan sebelum ini, tetapi dengan bajet kewangan yang lebih kecil. Di bawah pengendali bekas jurulatih Air Asia FC itu, gandingan K. Prabakaran, Raffi Nagoorgani dan Zainal Abidin Jamil menjadi pilihan sebagai gandingan bek bertiga.
Ketiga-tiga pemain diapit oleh M. Kannan dan D. Kugan selaku bek kiri dan bek kanan.
Negeri Sembilan FC ( Sistem 5-3-2 K. Devan)
K. Devan adalah seorang jurulatih yang amat berpengalaman dan dianggap berjaya mengikuti peredaran masa dari segi taktikal terkini di dalam bola sepak.
Antara pasukan yang pernah dikendalikan oleh K. Devan adalah seperti Felda United, Penang FA, dan Petaling Jaya FC sebelum kembali ke Negeri sembilan pada musim ini.
Langkah Negeri Sembilan FC mengambil kembali bekas pengendali yang pernah membawa mereka muncul juara Liga Super pada musim 2005/06 nyata tidak sia-sia apabila musim ini skuad Hoben Jang Hoben muncul juara Liga Premier dan memenangi promosi beraksi di Liga Super pada musim hadapan.
#MelakaUnited #NegeriSembilanFC pic.twitter.com/VY9uy9iDCu
— ADL33_analisabola (@ADL33_) September 30, 2021
Amat sinonim dengan sistem 3-4-3 yang diterapkan bersama PJ City FC sejak empat musim lalu, K. Devan turut membawa DNA bola sepak yang sama ke Paroi.
Di dalam sistem bek bertiga yang diterapkan K. Devan, gandingan Athur Cunha, Nasrullah Haniff, dan Annas Rahmat akan membentuk gandingan tiga pemain pertahanan.
Mereka bertiga akan diapit oleh dua bek sayap yang mempunyai kepantasan seperti Aroon Kumar di sebelah kanan, dan Zamri Ramli di sebelah kiri. Di fasa serangan, sistem ini akan menjadi 3-5-2 atau seakan-akan membentuk 2-4-4 dengan dua bek sayap berada di garis tinggi, dan pemain seperti Annas membantu bahagian tengah.
Penutup
Apa yang diterangkan di atas adalah gambaran kasar kepada sistem bek bertiga yang dipratikkan di Liga Malaysia pada musim ini.
Jika diperhatikan, sistem ini lebih digemari oleh pasukan-pasukan yang dianggap bukan pilihan. Namun seperti Sarawak United pada musim ini, sistem ini berbaloi untuk dipertaruhkan setelah menumbangkan dua pasukan dari Liga Super di pertandingan Piala Malaysia.
Tidak mustahil satu hari nanti, lebih banyak pasukan akan lebih fleksibel dengan sistem yang mereka pakai termasuk sistem bek bertiga.
Wajarkah juga skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe menggunakan sistem yang sama pada masa hadapan?