Analisis: 4 Kategori Perpindahan Pemain Kelab EPL Yang Anda Perlu Tahu

Oxlade-Chamberlain

Liga Perdana Inggeris sekali lagi memecahkan nilai rekod perpindahan pemain yang dicipta pada musim lalu. Beberapa perpindahan saat akhir oleh kelab-kelab Inggeris menyaksikan nilai perpindahan pemain mencecah angka £1.4 billion pada musim panas ini.

Di sebalik nilai perpindahan tertinggi sejak EPL diperkenalkan pada 25 tahun yang lalu, nama-nama yang sering menjadi tajuk perpindahan media di UK seperti Alexis Sanchez, Ross Barkley, Virgil van Dijk, Riyad Mahrez, Thomas Lemar, Diego Costa, Ross Barkley masih kekal di kelab masing-masing.

Bayangkan angka perpindahan tersebut jika semua perpindahan tersebut direalisasikan. Untuk membantu anda memahami apa yang berlaku dan mengapa kelab sanggup berbelanja besar di pasaran pemain, kami mengkelaskan pembelian dan perpindahan pemain kepada 4 kategori.

Mari kita ikuti setiap kategori perpindahan tersebut

1. Perpindahan kelas 1

Perpindahan jenis ini akan berlaku dalam senario yang paling ideal. Ia dianggap sebagai pembelian dan perpindahan yang sempurna. Pengurus pasukan biasanya sudah mempunyai nama pemain yang diinginkan walaupun sebelum jendela perpindahan dibuka.

Urusniaga akan dimulakan dan ditutup sebaik jendela perpindahan dibuka, untuk membenarkan pemain baharu tersebut menyertai pasukan baharunya untuk latihan pra musim.

(Photo by Matthew Peters/Man Utd via Getty Images)

Untuk jendela perpindahan pada kali ini, kami melihat Jose Mourinho adalah pakar kepada perpindahan di dalam kategori ini. Bermula dengan Lindelof dan Lukaku yang dibawa masuk pada Julai, Nemanja Matic menyusul untuk mempersiapkan skuad Manchester United sebelum perlawanan kompetitif pertama menentang Real Madrid dalam perlawanan UEFA Super Cup.

Zlatan Ibrahimovic kemudiannya melengkapkan musim panas yang sempurna untuk Jose Mourinho.

Jose Mourinho bukan bernasib baik. Tetapi Jose dan Manchester United melakukan ‘kerja rumah’ mereka dengan kemas.

(Photo by Rob Newell – CameraSport via Getty Images)

Mereka mengenalpasti kelemahan pasukan, kenal pasti pemain yang dikehendaki sebelum melengkapkan perpindahan yang mereka inginkan berdasarkan profil yang dikehendaki

Perkara yang sama juga dilakukan ketika Mourinho di Chelsea apabila membawa masuk Diego Costa dan Cesc Fabregas. Anehnya musim ini, hanya Tiemoue Bakayoko yang perpindahannya tergolong di dalam kategori ini.

2. Perpindahan kelas 2

Disebabkan oleh pelbagai sebab dan rintangan untuk membawa masuk pemain asal, pengurus terpaksa berpuas hati dengan calon pemain yang paling layak untuk mengisi profil pemain yang dikehendaki.

Untuk perpindahan di dalam kategori ini, Kyle Walker adalah contoh paling jelas. Pep Guardiola mahukan Dani Alves. Apabila sudah jelas Dani Alves tidak akan ke Etihad, Guardiola dan City tidak membuang masa untuk mengetuk pintu Tottenham Hotspurs dan mendapatkan Kyle Walker.

Perkara sama juga yang melibatkan perpindahan Alvaro Morata daripada Real Madrid ke Chelsea. Romelu Lukaku adalah pilihan utama Antonio Conte di Stamford Bridge. Malah Chelsea sanggup melakukan bidaan terakhir untuk mencuri Lukaku di saat akhir daripada Manchester United.

Apabila Lukaku jelas dengan pendiriannya untuk kembali berganding dengan Mourinho, Conte dan Chelsea terus mengalihkan perhatian mereka kepada Morata. Adakah ini bermakna Chelsea gagal dalam membawa pemain yang mereka kehendaki?

Pada jendela perpindahan yang sama pada musim lalu, Conte mahukan Radja Naiggolan untuk menyertai revolusi beliau di Stamford Bridge. Pemain tengah AS Roma itu mengambil keputusan untuk kekal di Serie A dan Conte terus mensasarkan pilihan keduanya, N’golo Kante.

Selepas prestasi yang menakjubkan oleh pemain dari Perancis itu pada musim lalu sehingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan oleh PFA dan FWA pada penghujung musim, tidak mungkin Conte tersilap dalam pilihan keduanya.

3. Perpindahan kelas 3,4,5…(anda boleh namakan apa sahaja)

Jika seorang pengurus sudah mulai mengaktifkan kelas perpindahan ini, ia sudah tidak penting untuk dinamakan apa sahaja. Namun ia masih sesuatu yang bermakna untuk memastikan pasukan anda mempunyai pemain yang tepat untuk kekal kompetitif.

Perpindahan pemain di dalam kategori ini biasanya berlaku di bulan Ogos. Calon pemain untuk kategori ini juga berada di senarai terbawah dalam senarai semak pemain yang ingin dibeli.

(Photo by Serena Taylor/Newcastle United via Getty Images)

Ini adalah pemain yang pengurus fikirkan kualiti dan profilnya masih lagi boleh dikompromi untuk pasukan.

Sumber kewangan juga merupakan faktor utama pengurus pasukan memilih perpindahan kategori ini. Siapa yang tidak mahukan pemain yang mempunyai kualiti dan pakej yang lengkap. Tetapi pengurus pasukan juga harus sedar bahawa mereka tidak semestinya akan medapat pemain yang mereka inginkan.

Ada pemain ditawarkan dengan harga di luar kemampuan kewangan kelab. Ada juga pemain yang memilih untuk ke kelab lain. Ini semua mendorong pengurus untuk melihat pemain yang jatuh di dalam kategori ini.

Newcastle United adalah contoh terbaik pada musim ini. Rafael Benitez mempunyai pilihan pemainnya sendiri. Disebabkan oleh kekangan kewangan, mereka membawa masuk dengan pemain lain, punyai profil yang dikehendaki oleh Benitez namun pada harga yang jauh lebih murah- sudah tentu dengan kualiti yang lebih rendah juga.

Maka tidak hairanlah Rafael Benitez seperti agak kecewa dengan hierarki pengurusan di Newcastle.

(Photo by Matt Lewis/Getty Images)

Malah Guardiola dan Wenger juga seolah-olah melihat ke kategori ini apabila turut mensasarkan Johnny Evans. Evans akhirnya kekal bersama West Brom.

Sekali lagi Antonio Conte menarik perhatian kami. Jendela perpindahan pada kali ini, Danny Drinkwater dan juga Davide Zappacosta berada dalam kategori ini. Tidak adil untuk kita memperkatakan kualiti kedua-dua pemain untuk Chelsea sekarang.

Musim lalu, David Luiz dan Marcos Alonso adalah pemain yang dibawa masuk oleh Conte di dalam kategori ini. Namun 2 pemain ini merupakan 2 pilihan bijak daripada Conte. Kita semua tahu betapa pentingnya David Luiz dan Marcos Antonio dalam sistem 3-4-3 Antonio Conte.

4. Pilihan panik, terdesak atau pencarian inspirasi?

Tatkala kelab sudah tidak punyai pilihan pemain untuk dibawa masuk, mereka cenderung untuk membawa sesiapa sahaja! Kategori pembelian dan perpindahan pemain di bawah kategori ini adalah berisiko.

Ia boleh menjadi tindakan terdesak untuk memenuhi tekanan dan kehendak penyokong dan juga pengurusan tertinggi kelab. Hakikatnya ia boleh menjadi pembelian yang menjerat diri.

(Photo by Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images)

Wilfried Bony ke Stoke, Georges-Kevin Nkoudou tke Tottenham, Dieumerci Mbokani ke Hull, Alvaro Arbeloa ke West Ham. Malah, perpindahan bernilai £30 juta Moussa Sissoko ke Tottenham adalah antara pembelian yang dikatakan dilakukan atas sifat panik kelab.

Adakah pembelian Alex Oxlade-Chamberlain jatuh ke dalam kategori ini? Di manakah keperluannya untuk Klopp dan Liverpool? Adakah Oxlade-Chamberlain akan menambah baik kualiti sedia ada di Liverpool? Bolehkah Oxlade-Chamberlain menjadi inspirasi kepada Liverpool untuk mengejar kejuaraan pada musim ini?

Kelab seperti Manchester United tidak terkecuali dalam melakukan pembelian pemain di dalam kategori ini. Selepas musim pertama yang mengecewakan, Louis van Gaal perlu mencari pengganti kepada Robin van Persie yang berhijrah ke Turki.

. (Photo by Matthew Ashton – AMA/Getty Images)

Pada hari terakhir perpindahan musim panas 2015, Manchester United mengumumkan Anthony Martial tiba di Old Trafford dengan tanda harga £36 juta yang boleh meningkat kepada £58 juta bergantung kepada terma yang dipersetujui dengan Monaco.

Di musim yang sukar buat United, prestasi Martial menjadi inspirasi buat skuad United. Di bawah kendalian Mourinho, kita tahu Anthony Martial perlu beraksi lebih konsisten untuk membuktikan nilainya.

Rumusan

Apa pendapat anda tentang jendela perpindahan yang dilalui oleh kelab-kelab di EPL pada musim ini? Adakah kelab anda melakukan pelaburan yang berbaloi?

Atau adakah kelab anda melakukan kesilapan kerana menjual dan membawa masuk pemain yang salah? Bincangkan di ruangan komen. Kami mahu mendengar daripada anda.

Nota editor: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

Sumber:

1. Richard Jolly, ESPN FC (2017): From first class to desperation: Categorising transfers in four groups; http://www.espnfc.com/english-premier-league/23/blog/post/3192323/from-first-class-to-desperation-categorising-all-transfer-deals-in-four-groups

2. Fox Sports (2017): Premier League club-by-club transfer news rated: Manchester United done deals reviewed, analysed; https://www.foxsports.com.au/football/premier-league/premier-league-clubbyclub-transfer-news-rated-manchester-united-done-deals-reviewed-analysed/news-story/d1a62b88d49d9f9dff415c8526bdd36d

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN