Tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), dan tujuh Piala FA menjadikan Arsene Wenger sebagai pengurus terhebat di dalam sejarah Arsenal.
Soalannya sekarang, siapakah yang bakal mengambil alih kerusi panas di Emirates?
Kami tampilkan 10 nama beserta analisis pengurus-pengurus yang berkemungkinan akan mengambil alih jawatan pengurus daripada pengendali legenda tersebut.
10. Carlo Ancelotti (tanpa kelab)
Jika pencapaian lalu diambilkira, pasukan yang dikendalikan oleh Ancelotti merupakan antara pasukan yang tampil menghiburkan.
Namun sejak beberapa musim yang lalu, taktikal oleh jurulatih veteran ini seperti kurang kekuatan dan stabiliti jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan utama eropah yang lain.
Terdapat pendapat yang mengatakan kehebatan Ancelotti sudahpun diatasi oleh jurulatih-jurulatih yang lebih muda. Idea ini mungkin nyata ketika beliau di Bundesliga yang memiliki ramau pengendali muda.
Ini menjadikan bola sepak yang bakal diterapkan oleh Ancelotti tidak jauh berbeza dengan apa yang bakal diterapkan oleh Wenger.
Pengendali dari Itali ini mempunyai pengalaman memenangi kejuaraan EPL. Namun kejayaan itu bukan tiba bersama pasukan yang perlu dibina dari permulaan.
Apatah lagi pasukan seperti Arsenal yang jelas perlu dibina kembali dan memperolehi sentuhan taktikal bola sepak moden.
9. Mikel Arteta (Manchester City)
Sukar untuk memberi pendapat mengenai bekas pemain tengah Arsenal ini kerana Arteta belum pernah mengendalikan mana-mana pasukan utama setakat ini.
Dalam satu temuramah pada 2014, Arteta pernah memberitahu bahawa beliau gemarkan bola sepak yang menghiburkan sekaligus membenarkan pemain melakukan ekspresi diri.
Pernah menjadi kapten Arsenal satu ketika dahulu, Arteta boleh dianggap sebagai arif dengan selok belok di bilik persalinan di Emirates.
Walaupun tidak mempunyai pengalaman, Arteta adalah seorang jurulatih sebenar yang sangat sesuai untuk sebuah kelab bola sepak yang mahu membina pasukan dari ‘ground zero’.
Bekerja di bawah Pep Guardiola di Manchester City, Arsenal mungkin tertarik untuk memiliki seorang pengurus muda yang mempunyai idea taktikal seperti pengurus Catalan itu di Emirates.
8. Massimiliano Allegri (Juventus)
Jika kita berbicara mengenai perubahan taktikal ketika perlawanan, tidak ramai pengurus yang mampu menandingi kepakaran yang dimiliki oleh Massimiliano Allegri.
Beliau adalah pakar di dalam melakukan ‘taktikal tweaks’ dengan hanya melakukan pertukaran pemain, dan sangat fleksibel di dalam kepelbagaian sistem bola sepak sejak menyertai Juventus. Ini kekuatan utama Allegri.
Walaupun kepakaran taktikal Allegri tidak diragui, kepelbagaian yang dimiliki itu menyebabkan Allegri tidak memiliki bola sepak yang jelas.
Allegri juga merupakan seorang pengendali yang tegas. Buktinya, beliau berani melakukan perubahan dan membuat keputusan seperti merehatkan pemain bintang, Paulo Dybala.
Namun demikian, seperti Ancelotti, Allegri turut tidak pernah membina pasukan dari bawah. Kejayaan bersama Juventus adalah selepas beliau dilantik meninggalkan pasukan yang terlebih dahulu dibina oleh Antonio Conte.
7. Brendan Rodgers (Celtic)
Seperti Allegri, Brendan Rodgers juga mempunyai corak bola sepak yang fleksibel dengan kepelbagaian formasi.
Bezanya, Rodgers jelas mempunyai falsafah bola sepak berasaskan pertukaran posisi (rotational position) dan juga penguasaan bola di dalam permainan tanpa mengira bentuk formasi yang digunapakai.
Rodgers juga adalah seorang jurulatih yang inovatif di dalam sistemnya. Malah Rodgers terlebih dahulu menggunakan sistem 3-4-3 yang dipraktikkan oleh Conte ketika membantu Chelsea muncul juara EPL pada musim 2016/17.
Selain daripada pengalaman di EPL, satu perkara menarik mengenai Rodgers ialah kecenderungan beliau untuk membina bakat muda di dalam pasukan.
Ketika bersama Liverpool, Rodgers memberikan peluang kepada Raheem Sterling. Manakala di Celtic nama-nama seperti Kieran Tierney, Callum McGregor dan Kristoffer Ajer mulai menjadi sebutan.
6. Leonardo Jardim (Monaco)
Sebagai pakar taktikal, kebolehan Leonardo Jardim sememangnya tidak diragui. Namun apakah bezanya pasukan Leonardo dengan Arsenal zaman sebelum tibanya Wenger?
Ini kerana corak permainan yang diterapkan oleh Leonardo disifatkan sebagai bosan. Cenderung dengan sistem orthodoks 4-4-2 dan 4-2-3-1, Leonardo gemarkan corak permainan bertahan sebelum menghukum lawan dengan gerakan balas pantas.
Bagi pasukan seperti Arsenal yang pernah menampilkan corak permainan hantaran pendek yang menghiburkan, gaya permainan bertahan pasti bukan satu pilihan.
Namun di sisi positifnya, pengendali dari Portugal ini telah membentuk deretan bintang bahari. Antaranya Kylian Mbappe, Anthony Martial, Bernardo Silva, Thomas Lemar dan Tiémoué Bakayoko.
Hasil kerja di pusat latihan dan sifat keterbukaan untuk bakat muda mungkin sesuatu yang Arsenal telah lama kehilangan dan wajar dikembalikan.
5. Luis Enrique (tanpa kelab)
Nama Luis Enrique adalah antara calon pengganti yang disebut-sebut bakal ke Emirates. Jika hasil kerja Enrique di Nou Camp satu ketika dahulu, mungkin nama Enrique bole dianggap sebagai calon kegemaran.
Tatkala bola sepak berasaskan penguasaan bola atau pun ‘tiki-taka’ milik Barcelona mulai malap, Enrique dengan beraninya melakukan perubahan dengan bola sepak yang lebih direct.
Tanpa mengubah DNA bola sepak milik gergasi Catalan itu, Enrique menerapkan gaya transisi di dalam bola sepak Barcelona yang memaksimakan kualiti yang dimiliki oleh Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar.
Kebijaksanaan Enrique mengadaptasi perubahan yang dibawa ke dalam tradisi milik kelab adalah sesuatu yang Arsenal perlukan di dalam struktur bola sepak mereka.
Rekod Enrique bersama pasukan di luar Sepanyol mungkin diragui. Namun setelah saban musim ketandusan kejuaraan utama, keupayaan Enrique untuk memenangi treble, dan juga bergelar juara berganda bersama Barcelona mungkin akan menjadi pemangkin ketibaan Enrique di Emirates.
4. Diego Simone (Atletico Madrid)
Jika gaya yang anda cari, maka Diego Simone bukanlah calon yang sesuai. Begitu juga jika anda mengimpikan corak permainan menarik dan menyerang.
Ini kerana Simone adalah antara pengurus yang pakar di dalam falsafah bola sepak bertahan, menentingkan barisan pertahanan yang kompak dan pressing menggunakan formasi asas 4-4-2.
Di Atletico Madrid, sistem ini sangat efektif. Namun ianya diragui berkesan di Arsenal dengan barisan pemain penyerang yang mereka miliki.
Bagaimanapun Simone adalah calon yang sesuai jika Arsenal mahukan satu projek jangka masa panjang. Bersama Atletico Madrid, Simone menghasilkan kualiti kerja yang menakjudkan sepanjang tempoh 7 tahun di Madrid.
Simone juga memiliki personaliti garang dan aktif di bahagian teknikal padang ketika perlawanan, sepertimana yang ditunjukkan oleh Jurgen Klopp dan Antonio Conte.
Itupun jika gaya sebegitu digemari oleh penyokong Arsenal.
3. Patrick Viera (New York City FC)
Bekas kapten dan ‘the prodigal son of Arsenal’ ini secara terbuka mengatakan beliau belum bersedia untuk membimbing Arsenal baru-baru ini.
Tetapi siapa tahu jika ianya akan berubah. Lagipun pada tahap ini, kami yakin belum ada sebarang perbincangan yang terlah diadakan di antara kedua-dua pihak.
Jika sistem dan gaya permainan yang dijadikan syarat. Patrick Viera adalah calon paling sesuai dengan Arsenal.
Menggemari formasi 4-3-3 atau 4-2-3-1, Viera membuatkan New York City membina serangan dari bahagian pertahanan ke atas.
Dan taktikal Viera turut disertai dengan gaya permainan high pressing dan counter-pressing yang setakat ini amat berkesan digunakan bersama New York.
Watak digemari di kalangan penyokong setia Arsenal, Viera dengan mudah akan menerima segenap sokongan yang diperlukan untuk membina kembali Arsenal ke era kegemilangannya.
2. Joachim Low (Jerman)
Jika Arsenal memerlukan kesembuhan dari kecederaan yang parah, maka Joachim Low disifatkan memiliki tonik penyembuh semulajadi yang diperlukan.
Low terkenal dengan sistem 4-2-3-1 bersama skuad kebangsaan Jerman, dan mementingkan fluidity dalam penguasaan bola.
Aspek serangan bukan satu-satunya kekuatan di dalam sistem Low. Lebih daripada itu, pengendali ini turut menitikberatkan corak pertahanan yang agresif.
Menarik sekali, adakalanya Low turut bereksperimentasi dengan taktikal ‘false 9’ di bahagian serangan.
Jika Arsenal menggunakan khidmat Low pada musim hadapan, maka peluang untuk kita menyaksikan baka pemain ‘false 9’ seperti Roberto Firmino semakin cerah.
Buat masa ini, baka pemain seperti Firmino masih lagi asing di EPL. Arsenal turut boleh menarik nafas lega kerana seperti Jurgen Klinsmann, Low turut arif membangunkan sesebuah pasukan juara berasaskan pemain muda.
Musykil? Tanyakan sahaja kepada penyokong Jerman.
1. Julian Nagelsmann (Hoffenheim)
Kaedah ‘build up’ di dalam permainan adalah kelemahan terbesar Arsenal sejak beberapa musim yang lalu. Untuk itu, Julian Nagelsmann mampu memberikan penyelesaian segera.
Hoffenheim kendalian Nagelsmann mampu beraksi cemerlang ketika diberikan tekanan oleh lawan, dan tangkas menggerakkan bola di kawasan ‘final third’ serangan menggunakankan formasi 3-4-2-1 atau 3-1-4-2.
Pada usia 30 tahun, Nagelsmann adalah salah seorang pengendali muda yang berkebolehan di dunia.
Beliau dianggap berkebolehan kerana mampu meningkatkan prestasi pemain seperti Kevin Vogt, Kerem Demirbay dan Mark Uth. Lebih daripada itu, Nagelsmann turut berkebolehan membentuk prospek seperti Nadiem Amiri dan Dennis Geiger.
Selain daripada usia dan kebolehan yang luar biasa, Sven Mislintat turut dikhabarkan amat berminat untuk merekrut pengurus muda ini.
Penutup
Apa kata penyokong Arsenal? Anda bersetuju dengan 10 calon pengurus pilihan kami? Siaakah calon pilihan anda?
Anda mempunyai calon lain untuk diusulkan? Nyatakan kepada kami beserta pendapat anda di runagan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.