Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Amizal Shaifit meminta agar para pemain bersabar dahulu buat masa ini.
Perlis dilanda masalah tunggakan gaji pemain yang agak kritikal. Sebelum ini 18 pemain PNL 2 menyatakan mereka masih belum mendapat gaji mereka. Amizal mengkritik tindakan pemain tersebut yang menggunakan media untuk mengutarakan masalah tersebut.
Namun beberapa hari lalu, nama besar dalam bola sepak Malaysia, Safee Sali tidak mengendahkan tegahan daripada Amizal – dengan memberitahu media bahawa beliau menuntut PFA menepati janji untuk membayar gaji mereka.
Safee meminta pembayaran gaji mengikut apa yang dijanjikan itu termasuk pemain PNL 2 dan pemain lain yang masih tertunggak gaji dengan Perlis sejak 2016.
Safee Sali kemudian menghubungi PFAM, meminta nasihat organisasi tersebut selepas tidak menerima gaji pertama dan juga kedua beliau.
Presiden PFAM – Rezal Zambery Yahya ternyata kecewa dengan PFA yang disifatkan beliau tidak serik. Ini selepas 2 musim sebelum ini PFA melakukan kesalahan yang sama. Rezal berharap PFA selesaikan segera tunggakan gaji tersebut.
Datuk Amizal semalam, memberitahu Berita Harian bahawa pasukan Perlis memang sedang berhadapan masalah tunggakan gaji sejak musim lalu lagi.
Beliau meminta pemain bersabar dan tidak terburu-buru untuk angkat kaki. Namun begitu beliau sedar akan ada peruntukan yang membolehkan pemain menamatkan kontrak mereka sekiranya masalah gaji berlarutan selama 2 bulan.
Amiza menambah: “Kita tak boleh halang kemahuan para pemain. Namun saya berharap mereka dapat bersabar kerana masalah kewangan kita ini adalah susulan daripada masalah musim lalu [di bawah pengurusan sebelum ini].”
Beliau menyatakan PFA sudah memberikan makluman kepada para pemain tentang kelewatan pembayaran gaji dan mereka kini sedang mencari penyelesaian.
Amizal berharap pemain akan kekal fokus untuk berhadapan dengan UKM FC dalam aksi sulung Liga Perdana musim ini. Ianya dianggap perlawanan penting.
Amizal juga memberitahu PFA sentiasa terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak serta penaja.
“Kita sentiasa mengalu alukan jika ada pihak yang mahu menaja dan membantu Perlis,” tambahnya lagi.
Selain daripada isu gaji, Amizal juga sedang berusaha menyelesaikan pencahayaan di Stadium Tuanku Syed Putra agar melepasi piawaian 1,200 lux.
Menurut Amizal, jika masalah itu tak diselesaikan, ianya akan memburukkan lagi keadaan – dalam usaha Perlis mahu mendapatkan kutipan tiket yang lebih tinggi. Sekaligus membantu mereka menyelesaikan masalah gaji pemain.