Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Bin Shari menyatakan manifesto beliau untuk Pilihanraya Negeri (PRN) kali ini dengan sesuatu yang sangat unik.
Antara ditekankan beliau dalam manifesto kali ini termasuklah mengenai skuad gergasi Liga Malaysia (Liga M) Selangor bersama siri kejayaan dijanjikannya jika Amirudin Shari kekal sebagai pemimpin negeri tersebut.
— Amirudin Shari (@AmirudinShari) August 1, 2023
Jelas Amirudin, beliau bakal menjadikan Selangor sebagai pusat pembangunan utama untuk bakat baharu dalam sukan bola sepak dengan melahirkan bakat-bakat berkualiti.
Malah, Amirudin juga menetapkan sasaran untuk menjadikan The Red Giants sebagai salah satu kuasa baharu bola sepak tempatan dan Asia dengan meraih beberapa siri kejuaraan.
Antara kejuaraan disasarkan oleh Amirudin kali ini termasuklah Piala Malaysia, SUKMA, serta saingan Liga Super untuk edisi 2025 selain Piala AFC pada tahun 2027.
“Selangor pusat pembangunan bakat sukan utama di Malaysia dengan memperkasa Akademi Merah Kuning bagi melahirkan bakat terbaik bidang bola sepak.
“Aspirasi kita, Selangor dengan sasaran tiga serangkai iaitu pasukan Merah Kuning menjadi Juara Piala Malaysia, SUKMA, dan Liga Super menjelang tahun 2025 dan Piala AFC pada tahun 2027,” jelas kenyataan tersebut.
Persoalannya kini, adakah ia mampu direalisasikan Amirudin atau ianya sekadar suatu manifesto untuk memastikan beliau terus kekal menerajui negeri tersebut pada masa hadapan.
Menjadikan bola sepak Selangor sebagai suatu manifesto bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap tidak serius kerana pasukan itu memiliki barisan penyokong cukup fanatik di Malaysia.
Sekiranya ia gagal direalisasikan mengikut ketetapan tarikh dibuat, maka itu akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong The Red Giants serta menjadi bahan bualan dalam kalangan peminat kelab lain.
Apapun, itu juga tidak mustahil untuk dijadikan sebagai realiti kerana rata-rata mengakui pembangunan bola sepak di Selangor kini juga antara terbaik dalam negara dan sudah pun dibuktikan sejak beberapa tahun.
📸 Action shots from our Malaysia Cup Round of 16 triumph. 🔴🟡 #MKLK#KitaSelangor #PDRMSEL #PialaMalaysia2023 #LigaMalaysia2023 pic.twitter.com/Zu11R5ELsf
— Selangor FC (@selangorfc) August 3, 2023
Malah, keadaan semasa Selangor kini juga cukup positif bawah kendalian Tan Cheng Hoe selepas mereka berada di tangga kedua Liga Super serta menampilkan corak permainan berkualiti.
Walaubagaimana pun, menarik kini untuk diperkatakan tentang sasaran Amirudin untuk menjadikan Selangor sebagai pasukan kedua menjuarai Piala AFC bagi wakil Malaysia selepas Johor Darul Ta’zim (JDT).