Prestasi hambar yang dipamerkan oleh skuad kebangsaan bawah 23 negara (B-23) dalam saingan Piala AFF B-23 2022 di Kemboja baru-baru ini membuktikan terdapat suatu jurang yang amat besar untuk skuad pilihan utama dan skuad kedua negara apabila mencatat dua kekalahan berturut-turut menentang negara yang asalnya bukan pilihan, Laos.
Dr Pekan Ramli selaku pemerhati bola sepak negara mengakui perkara tersebut setelah melihat sendiri dua aksi pertemuan skuad kebangsaan sewaktu bertemu Laos yang dilihat memberi saingan cukup sengit selain memantau aksi mereka pada saingan kelayakan Piala Asia B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Oktober lalu.
Untuk itu, Pekan berharap agar prestasi lemau yang dipamerkan di Kemboja lalu mampu untuk menyedarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari dibuai-buai dengan keselesaan setelah apa yang berlaku itu untuk sentiasa serius dalam mempersiap pasukan bagi menyertai mana-mana kejohanan sekali pun.
“Jurang itu memang sudah nampak kerana apabila kita hantar pasukan utama kita ke Mongolia, kita cuma menang tipis 1-0. Di Kemboja pula, kita cuma hantar pasukan kedua yang serba kekurangan, jadi memang kita sengaja cari nahaslah.
“Dekat situ sudah terbukti ada jurang yang ketara antara pasukan utama dan pasukan sokongan kita. Sudah tiada lagi tolak ansur, tiada lagi pilih memilih penyertaan atau kejohanan, tiada lagi eksperimen atau sebagainya.
“Kita perlu ambil ‘serius’ dalam pertandingan apa sekalipun kerana ianya membabitkan maruah dan bendera negara. Jangan pandang ringan soal ini.
“Walaupun hanya hantar pasukan kedua, ketiga atau apa sahaja pasukan, kita tetap perlu memberikan persembahan terbaik dan perjuangan paling jitu. Jangan kata tidak boleh beri yang terbaik kerana hantar pasukan kedua, apatah lagi kalah pada pasukan seperti Laos.
“Pendedahan memang bagus cuma bukan untuk merasai pengalaman mengalami kekalahan dan kecaman yang sangat berat. Apapun, saya tetap percaya skuad sebenar kita jauh lebih baik berbanding Laos sekiranya mereka dapat dibawa ke kejohanan AFF itu,” katanya menerusi Berita Harian.
Dalam masa yang sama, selaku Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Pekan juga memberi penegasan dalam hujah beliau dengan prestasi yang dipamerkan Laos sewaktu menentang skuad negara menjadi bukti mereka sememangnya serius dalam pembangunan bola sepak dan bukan lagi boleh diratah oleh mana-mana pasukan terdekat.
Beliau berkata demikian setelah melihat sendiri perkembangan dan peningkatan yang semakin hari lebih baik dipamerkan oleh anak buah Micheal Weiss untuk memberi bukti betapa kini mereka sudah mampu untuk menghambat jaguh-jaguh negara Asean lain.
“Pasukan bawah umur seperti Laos, Myanmar dan Kemboja dalam proses untuk merapatkan jurang dan malah mereka semakin dapat mendekati kehebatan pasukan yang lebih ternama seperti Thailand, Vietnam ataupun Malaysia.
“Cuma sebenarnya, kita yang memberi kesempatan kepada mereka di mana bukan setakat untuk merapatkan jurang tetapi telah menconteng arang ke muka kita pula. Jadi saya harap isu ini boleh diperbaiki segera.
“Kita ingat kita hebat tetapi mungkin pembangunan di negara mereka jauh lebih baik berbanding kita. Kita tidak boleh lagi pandang rendah atau berbangga dengan sejarah silam kepada mana- mana pasukan yang dahulunya ‘lauk kita’ di rantau ini,” katanya.