Kelab bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) melakukan perpindahan pemain import di saat akhir sebelum jendela perpindahan ditutup sepenuhnya hari ini apabila ketua jurulatih merangkap pengurusan pasukan itu, Abu Bakar Fadzim mengesahkan mereka telah menandatangani pemain dari Filipina dan Brazil.
Menurut Stadium Astro, Abu Bakar mendedahkan pemain pertahanan skuad Piala Asia Filipina, Amani Aguinaldo akan mengisi kuota pemain import Asean. Pemain ini beraksi dengan Ceres-Negros musim lalu dan memiliki 35 kaps dengan skuad kebangsaan Filipina.
“Saya berharap Aguinaldo akan dapat memberikan sumbangan besar dan bekesan kepada pasukan.
“Dia sudah lulus ujian serta pemeriksaan kesihatan dan kini hanya menunggu sijil perpindahan antarabangsa (ITC) bagi membolehkannya beraksi dengan PKNP FC, Sabtu ini,” katanya.
Ketika ini skuad itu diperkuatkan oleh 4 pemain import iaitu Thomas Abbey, Siyovush Asrorov, Coulibaly Yero dan Yashir Pinto. Namun, Abu Bakar tidak berpuas hati dengan prestasi Coulibaly Yero.
Tanpa menunggu masa yang lama, Abu Bakar mengambil tindakan terhadap Yero dengan menukar pemain kelahiran Senegal itu dengan dengan pemain PJ City FC, Giancarlo Rodrigues, secara pinjaman.
“Kami mendapatkan Giancarlo secara pinjaman daripada PJ City FC yang mempunyai lebihan pemain.
“Pemain itu beraksi menentang kami baru-baru ini dan kami tahu kemampuannya,” katanya.
Sementara itu, Aguinaldo merupakan pemain ke 4 dari Filipina yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini selepas Luke Woodland (Kuala Lumpur), Patrick Reichelt (Melaka United) dan Joshua Grommen (PJ City FC).
Kesemua pemain ini mewakili skuad kebangsaan Filipina beraksi dalam saingan Piala Asia yang berlangsung di UAE bulan lepas kecuali Joshua Grommen.