Amanda Staveley dan PCP Partners dikhabarkan telah bersedia untuk mengambil alih kelab Liga Perdana Inggeris, Newcastle United pada harga £300 juta dari pemilik asal, Mike Ashley.
Kumpulan yang diterajui oleh Staveley itu telah melakukan perbincangan dengan Mike Ashley selepas menandatangani perjanjian yang tidak didedahkan dan telah memasuki usaha yang sewajarnya untuk menilai kewangan kelab.
Kini dipercayai PCP Partners mengganggarkan nilai buat Newcastle United adalah berharga £300 juta dan pelaburan terhadap pemain akan dilakukan apabila perjanjian kedua-dua belah pihak tersebut berjaya dimeterai.
Laporan daripada UAE melaporkan Amanda Staveley mahukan segala urusan pengambilalihan tersebut dirungkaikan sebelum bulan Disember ini untuk memberikan peluang kepada Rafa Benitez bagi merencana strategi perpindahan pemain pada awal tahun 2018.
Pemilik ketika ini, Mike Ashley menyatakan bahawa beliau hanya akan menjual kelab tersebut kepada PCP Partners sekiranya kumpulan itu bersedia untuk membawa Newcastle United ke peringkat yang lebih tinggi, dan jelas bahawa Staveley akan berjaya dalam usahanya untuk membeli United kerana janjinya untuk memberikan sokongan kewangan kepada Rafa Benitez pada jendela perpindahan nanti.
Laporan di United Kingdom pada minggu lalu mengatakan bahawa Staveley akan menyalurkan £500 juta kepada Benitez pada dua jendela perpindahan akan datang.
Satu keadaan yang menyaksikan Newcastle United mampu untuk membelanjakan pemain yang ingin dimiliki dengan lebih mudah berbanding keadaan ketika ini sekiranya Staveley sah menjadi pemilik kelab tersebut.
”Pengalaman yang saya miliki akan gunakan sepenuhnya untuk menghadapi situasi pengambilalihan kelab Liga Perdana Inggeris ini,” ujar Amanda Staveley.
Sebelum ini Staveley pernah terlibat dalam urusan jual beli bagi membantu Sheikh Mansour untuk urusan mengambil alih Manchester City pada tahun 2009.