Quantcast

BERITA

Alistair Tampil Jelaskan Isu Kanvas Di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos

Tuduhan di media sosial mengatakan JDT sengaja meninggalkan separuh kawasan padang di bahagian pasukan Pahang kekal tertutup, sebelum sepak mula perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan pada Selasa lalu adalah tidak benar.

Sebelum ini timbul tuduhan mengatakan JDT sengaja tidak membuka kanvas bahagian padang yang digunakan oleh pasukan Pahang untuk tujuan memanaskan badan.

Turut tersebar ialah beberapa gambar yang menunjukkan pemain-pemain Pahang terpaksa mengalihkan sendiri kanvas yang menutup separuh dari permukaan padang di stadium itu.

Pemain-pemain Pahang dikatakan terpaksa berbuat demikian disebabkan kesuntukan masa untuk memulakan sesi memanaskan badan.

Padang di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin terpaksa ditutup menggunakan kanvas oleh petugas stadium selepas hujan lebat yang turun di sebelah petang, menjelang sepak mula perlawanan.

Melalui satu kenyataan media, Alistair Edwards yang merupakan Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim berkata tuduhan tersebut tidak benar.

Menjelaskan perkara tersebut, Alistair berkata kanvas tersebut sebenarnya sedang di dalam proses untuk dialihkan.

“Kanvas yang menutup padang di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin mengambil masa kira-kira 15-20 minit untuk dipasang dan 15-20 minit lagi untuk dialihkan serta memerlukan seramai 100 orang.

“Kami mempunyai hanya lebih kurang 20-30 orang pada hari Selasa lepas dan kami mula mengalihkannya di bahagian JDT dan kemudian mengalihkannya di bahagian Pahang.

“Tuduhan di media sosial mengatakan JDT meninggalkan separuh kawasan di bahagian pasukan Pahang tertutup adalah tidak benar. Ia sedang dalam proses dialihkan,” jelas beliau.

JDT menewaskan Pahang 2-0 dalam perlawanan itu untuk melebarkan kedudukan di persada Liga Super.

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!