Semalam, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengumumkan bahawa mereka akhirnya mendapat perkhabaran positif mengenai status Akhyar Rashid selepas kes perpindahan kontroversi pemain ke JDT hampir setahun berlalu.
Melalui satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook sebantar tadi, Setiausaha Agung KFA, Mohd Asmirul Anuar Bin Aris berkata keputusan oleh Asian International Arbitration Centre (AIAC) yang dirujuk sebagai Majlis Timbangtara, kes Akhyar kini telah memihak kepada KFA.
Bagaimanapun, jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh pihak JDT masih perlu dipertimbangkan.
“Apa yang dapat di fahami, menurut Majlis Timbangtara, kes berpihak kepada KFA. Kita menang tetapi jumlah pampasan yang di tetapkan masih lagi perlu di pertimbangkan,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.
“Berita ini bercampur [Suka dan ralat]. Suka kerana kita di pihak yang benar. Sedikit ‘ralat’ kerana jumlah pampasan yang ditawarkan tidak di sertai bersama pampasan latihan.
“Sebolehnya saya ingin segera mengadakan perbincangan di kalangan exco KFA agar dapat berbincang secara teliti tentang pemasalahan dan tuntutan yang ingin di utamakan.
“Peguam mencadangkan agar kami [KFA] segera memfailkan tuntutan lain [terkini] selari dengan jumlah tuntutan yang diperlukan. Tentunya kita tidak akan bertolak ansur tentang jumlah tuntutan.”
Mengenai jumlah pampasan, Amirul berkata tiada jumlah yang telah ditetapkan setakat ini kerana kes tersebut akan masih dalam proses perundangan (kes susulan).
“InsyaAllah saya akan menyatakan dalam sidang media apabila kesemua proses tuntutan yang baru telah siap di bincangkan,” tambah beliau lagi.
“Kita masih berpeluang dan masih boleh mendapatkan jumlah pampasan latihan dengan tuntutan yang baru.”
Perpindahan Akhyar ke JDT sebelum ini tidak dipersetujui oleh KFA, namun terpaksa akur dengan Artikel 15A Peraturan FAM.
Perkara itu mendorong KFA, pada mulanya untuk membawa kes tersebut ke mahkamah, namun selepas beberapa siri rundingan dengan FAM, akhirnya bersetuju sekadar merujuk kes tersebut kepada AIAC yang berpengkalan di Kuala Lumpur.
Respon JDT
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards tampil dengan penjelasan ke atas isu tersebut. Menurut Alistair Edwards, JDT tiada kaitan dengan isu melibatkan dengan penamatan kontrak pemain itu.
Ianya adalah isu di antara Akhyar Rashid dan Kedah FA.
Alistair berkata: “Berkenaan berita baru-baru ini mengenai keputusan Majlis Timbangtara tentang kes yang melibatkan pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Akhyar Rashid, JDT ingin menjelaskan bahawa kelab ini tidak terbabit dalam keputusan tersebut.”
“Kes tersebut adalah di antara Akhyar dan bekas majikan beliau berkenaan pampasan semasa penamatan kontrak, di mana JDT tidak terlibat pada ketika itu.”
“Jadi kepada mereka yang tidak memahami kes ini, tidak perlu melompat-lompat dan mengatakan bukan-bukan tentang keputusan itu. ”
“JDT telah berhubung dengan para peguam kami dan diberitahu bahawa kelab bukan sebahagian daripada kes ini dan tidak terjejas dengan sebarang tuntutan.”