Pengarah Teknikal Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards berpendapat kejuaraan Piala Malaysia tidak semestinya menobatkan pasukan yang berjaya sebagai bergelar juara sebagai Raja bola sepak tanah air.
Sebaliknya Alistair kejayaan sesebuah kelab harus dinilai melalui konsistensi mencapai kejayaan dalam kesemua pertandingan utama yang disertai oleh setiap pasukan di Liga Malaysia.
Kenyataan tersebut disiarkan melalui laman media sosial rasmi Facebook JDT, JOHOR Southern Tigers sebentar tadi.
Menurut Alistair pencapaian JDT harus diukur secara lebih menyeluruh; sejak kelab bola sepak di selatan semenanjung itu melalui revolusi pada 2013 di bawah pimpinan Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim Ismail, Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Sejak membangunkan JDT sebagai sebuah kelab bola sepak dan antara jenama terkenal bola sepak tanah air, JDT telah mencipta pelbagai sejarah tersendiri di dalam dan juga luar negara.
JDT adalah kelab bola sepak pertama yang menjuarai kejuaraan Liga Super Malaysia sebanyak 4 kali berturut-turut sejak 2014. Di peringkat Asia, pencapaian terhebat JDT semestinya kembali pada 2015, apabila muncul sebagai juara Piala AFC.
Malah JDT adalah satu-satunya pasukan dari Malaysia yang berjaya melayakkan diri beraksi di peringkat Asia Champions League- pertandingan tertinggi peringkat kelab benua Asia.
Melalui kenyataan yang disiarkan oleh laman JOHOR Southern Tigers, Alistair dipetik sebagai berkata:
“Kami tidak perlu untuk memenangi Piala Malaysia untuk menjadi Raja bola sepak tanah air. Dengan projek yang kami lakukan dan kejayaan di dalam dan luar padang, ia telah membuktikan kepada dunia luar yang lebih memberi pengiktirafan kepada kami berbanding di dalam negara sendiri.”
“Jadi, kami tidak perlu membuktikan siapa Raja bola sepak tanah air kerana negara-negara dan pihak-pihak luar tahu siapa Raja bola sepak tanah air yang sebenar,” ujar Alistair.
Untuk rekod, JDT tidak pernah memenangi pertandingan Piala Malaysia sejak revolusi bola sepak negeri Johor pada 2013. Namun demikian, Piala Malaysia pernah dimenangi oleh pasukan bola sepak negeri Johor sebanyak 2 kali ketika bernaung secara terus dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
Johor pertama kali menjuarai Piala Malaysia pada 1985, apabila menewaskan Selangor 2-0 dalam perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Merdeka pada ketika itu.
Skuad Johor hampir mengulangi kejayaan pada 1985 pada tahun berikutnya, namun Selangor yang dibarisi pemain seperti Zainal Abidin Hassan, dan juga Allayarham Mokhtar Dahari menafikan mereka dengan kemenangan 6-1 di perlawanan akhir.
Kali terakhir Piala Malaysia ke bumi Johor ialah pada 1991, apabila Johor menundukkan lawan yang sama dengan jaringan 3-1. Alistair Edwards membentuk gandingan import yang digeruni bersama-sama dengan Ervin Boban dan Abbas Saad pada era tersebut.
Kenyataan terbaru daripada JDT ini kedengaran angkuh. Namun ia juga merupakan perang psikologi yang telah bermula sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia 2017, menemukan juara Liga Super 2017, JDT dan juga juara bertahan Piala Malaysia, Kedah FA di Stadium Shah Alam pada 4 November hadapan.