Kelebihan empat mata meninggalkan Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) diakui Alisson Becker sebagai keadaan yang masih belum selamat buat Liverpool.
Penjaga gol kelahiran Brazil tersebut turut mengakui bahawa Manchester City yang merupakan juara bertahan merupakan pilihan utama bagi mendakap trofi EPL pada musim ini.
Liverpool yang masih belum mengecapi nikmat selaku juara sejak EPL diperkenalkan pada tahun 1992, kini berada di landasan tepat untuk merealisasikan impian menggunung tersebut.
Dengan saingan berbaki 15 perlawanan sahaja lagi, Alisson melihat Manchester City mampu untuk tampil dengan lebih kuat bagi memberikan persaingan yang cukup getir buat Liverpool.
”Liverpool kini mempunyai kualiti untuk merebut trofi yang besar, tiada keraguan mengenai perkara ini.”
”Tetapi perjalanan masih terlalu jauh untuk dilalui dan ia sangat penting untuk memastikan ke mana kami akan pergi.”
”Manchester (City) membuktikan kekuatan mereka apabila memenangi saingan liga musim lalu dengan cukup selesa. Mereka juga melabur pada musim ini, jadi pasukan mereka menjadi lebih baik ketika ini.”
”Mereka merupakan lawan yang sangat sukar dan adalah pilihan utama (menjuarai EPL).”
Namun begitu, penjaga gol berusia 26 tahun itu tetap berkeyakinan bahawa Liverpool mampu untuk dinobatkan selaku juara liga musim ini.
”Bagaimanapun, kami (Liverpool) tetap mempunyai cita-cita untuk memenangi saingan liga musim ini dan saya percaya dengan bakat yang dimiliki akan berjalan dengan lancar. Tetapi kami perlu memikirkan langkah demi langkah dan memastikan kami akan terus bertahan.”