Penyokong Liverpool mungkin sudah boleh menarik nafas lega selepas kelab Merseyside itu telah melengkapkan perpindahan bernilai £65 juta bagi membawa masuk Alisson Becker ke Anfield.
Nilai tersebut telah menjadikan Alisson sebagai penjaga gol termahal dalam sejarah bola sepak.
Mengulas mengenai perpindahan ini di laman web rasmi Liverpool, penjaga gol antarabangsa Brazil itu teruja dengan langkah baru dalam karier bola sepaknya.
”Saya sangat gembira, ia merupakan mimpi yang menjadi kenyataan dapat menyarung jersi berprestij buat kelab besar ini.”
”Dari segi kehidupan dan karier saya, ini adalah langkah besar yang diambil bagi menjadi sebahagian daripada kelab ini dan keluarga ini.”
”Anda boleh meyakini bahawa saya akan memberikan segala-galanya.”
Bagi pengendali Liverpool, Jurgen Klopp turut menyatakan kegembiraannya selepas berjaya menandatangani penjaga gol berusia 25 tahun itu.
🇧🇷 x 🔴https://t.co/t4msWAm2sU pic.twitter.com/jTq9gqOFI4
— Liverpool FC (@LFC) July 19, 2018
”Pada satu ketika, dalam masa beberapa minggu, anda berpeluang untuk menandatangani salah seorang daripada penjaga gol terbaik di dunia, secara jujurnya ia tidak memerlukan untuk berfikir panjang.”
”Ia hanya perlu berbincang dengan pemilik pasukan. Mereka jelas sangat teruja dan kami melakukannya.”
Bekas penjaga gol AS Roma yang diikat Klopp selama enam tahun itu merupakan rekrut keempat buat Liverpool bagi menghadapi musim 2018/19 selepas Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri terlebih dahulu dibawa masuk oleh Klopp.
Sebelum ini, Jurgen Klopp telah membawa masuk Virgil Van Dijk dengan nilai £75 juta yang sekaligus menjadikannya sebagai pertahanan termahal di dunia.
Nampaknya skuad Liverpool dibarisi dua orang pemain yang merupakan pembelian termahal di dunia.
Adakah pemburuan mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat mereka sejak sekian lama bakal berakhir musim baharu ini?
Menarik untuk disaksikan!
Foto: Liverpool FC